Sunday, March 31, 2013

Michelle Yeoh Mahu Terus Aktif Dalam Lakonan


Michelle Yeoh
KUCHING: Bintang filem antarabangsa kelahiran Malaysia Datuk Seri Michelle Yeoh berkata beliau mahu terus aktif dalam industri hiburan kerana minatnya yang begitu mendalam dalam bidang itu.
Beliau secara berjenaka berkata, dengan pelbagai kejayaan yang telah dicapai dalam industri, ia bukan petanda untuknya bersara.
"Saya memperoleh banyak kejayaan sepanjang hidup ini, dan berharap ia bukan berupa mesej 'untuk pulang sekarang', tetapi saya mengambilnya sebagai insentif untuk melakukan lebih baik.
"Kalau boleh saya mahu mencapai kejayaanlebih lagi," katanya kepada pemberita pada malam Jumaat.
Beliau berada di sini sempena Anugerah Festival Filem Antarabangsa dan Asean 2013 (AIFFA) selama tiga hari yang akan berakhir pada Sabtu (hari ini).
Yeoh dilahirkan pada 6 Ogos di Ipoh. Beliau mula terkenal apabila melakukan aksi ngeri sendiri dalam filem-filem aksi Hong Kong pada awal 1990-an.
Beliau terus menempa nama di peringkat antarabangsa menerusi filem James Bond bertajuk Tomorrow Never Dies.
Beliau terus mendapat penghormatan apabila dipilih memegang watak pemimpin prodemokrasi Burma, Aung San Suu Kyi dalam filem The Lady.
Mengenai filem terbaharunya, Yeoh berkata ia diarahkan pengarah kelahiran Korea-Amerika, Gina Kim yang kini pada peringkat postproduksi yang beliau harap dapat ditayangkan musim panas ini.
Beliau juga akan melancarkan program pencarian bakat baharu bagi mencari bintang Asia.
"Kami dalam proses merancang dan akan mengumumkannya nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: