Saturday, March 30, 2013

BMW Motorrad tawar dua model enduro


JENTERA ini dikuasakan oleh unit enjin 798cc yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.


BMW Group Malaysia (BMW Malaysia) menerusi BMW Motorrad baru-baru ini memperkenalkan dua model motosikal enduro baharu ke pasaran tempatan.
Dua model yang menjanjikan kepuasan tunggangan untuk para peminat jentera off-road itu ialah BMW F 700 GS dan F 800 GS.
BMW F 700 GS merupakan produk baharu yang diperkenalkan bagi menggantikan model sedia ada iaitu F 650 GS.
BMW F 700 GS disasarkan kepada mereka yang kurang berpengalaman dalam tunggangan off-road. Tetapi mahukan sebuah jentera berprestasi tinggi serta ekonomikal untuk kegunaan harian.
BMW F 800 GS pula merupakan model yang ditambah baik daripada model sebelumnya. F 800 GS mengabungkan keupayaan jelajah dan kualiti tunggangan di laluan off-road.
Konsep reka bentuk kedua-dua model tersebut turut berubah daripada karakter urban kepada lebih maskulin dan kontemporari.

BMW F 700 GS menjadi pilihan golongan yang gemar menunggang dalam jarak jauh.


Kedua-duanya dilengkapi enjin dua silinder bersesaran 798cc dengan sistem penyejukan cecair. Bahan api diperoleh menerusi sistem pancitan kawalan elektronik. Kotak gearnya ialah enam kelajuan.
Biarpun begitu, ledakan kuasa bagi kedua-dua model itu agak berbeza. F 700 GS berupaya menjana output maksimum sebanyak 75hp @ 7,300rpm dengan kuasa kilas setinggi 77Nm @ 5,300rpm.
Untuk F 800 GS pula, ia lebih berkuasa apabila kuasa maksimumnya mencecah 85hp @ 7,500rpm. Sementara torknya pula sebanyak 83Nm @ 5,750rpm.
Sistem brek antikunci (ABS) didatangkan sebagai ciri standard bagi kedua-dua model berkenaan. Ciri lain yang turut ditawarkan termasuklah Automatic Stability Control (ASC) dan Electronic Suspension Adjustment (ESA).
BMW F 700 GS ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu kelabu, merah dan perak. F 800 GS pula didatangkan dengan pilihan warna tembaga, biru dan putih.
Harga jualan atas jalan tidak termasuk insurans bagi F 700 GS ialah RM79,800 dan F 800 GS pula dijual pada harga RM89,800. Ia boleh didapati menerusi semua pengedar sah BMW Motorrad di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: