Wednesday, March 27, 2013

Diana Amir Tidak Gentar Sertai Misi Ke Gaza

Diana tidak berasa gentar akan menjejakkan kaki ke bumi Gaza.
SEPANG: Pelakon Diana Amir tidak berasa gentar untuk menjejakkan kaki ke Semenanjung Gaza, Palestin bagi mengikuti misi kemanusiaan bersama-sama rombongan daripada kumpulan selebriti Usrah Fitrah.
Pemilik nama sebenar Nurdiyana Amir Hashim, 27, ini sebaliknya berkata, dia tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke bumi bergolak itu bagi melihat sendiri keadaan di sana.
"Walaupun pelbagai cerita kita dengar mengenai keadaan di Gaza tetapi saya tidak berasa gentar kerana ingin melihat sendiri kehidupan masyarakat di sana dan menghulurkan apa-apa bantuan sekiranya perlu," jelasnya kepada mStar Online.
Seramai 28 ahli rombongan menyertai misi itu termasuk beberapa orang artis seperti Yatt Hamzah, Siti Nordiana, Zoey Rahman, Heliza, Sufian (Saujana) dan Eenaz Mokhtar.
Kumpulan itu akan berada di Gaza selama dua hari pada lawatan yang bermula Isnin lalu hingga 2 April ini selain membuat lawatan ke Kaherah, Mesir.
Dalam pada itu, Diana berkata, peluang ke Gaza akan digunakan untuk bermuhasabah diri dalam menjadi seorang Muslimah yang lebih baik selepas ini.
"Seperti mana yang kita tahu saya masih baru berhijrah dan masih banyak kekurangan terdapat pada diri saya. Ini adalah peluang saya untuk menimba pengalaman supaya menjadi lebih baik selain berkongsi dengan masyarakat," jelasnya.
Sementara itu, Diana berkata, peluang melawat Mesir juga akan digunakan sebaik-baiknya dan tidak menganggap pemergian mereka ke sana sebagai satu percutian.
Sebaliknya kata Diana, tumpuan adalah lebih kepada untuk melawat tempat-tempat bersejarah penting bagi menambahkan lagi ilmu pengetahuan.
"Banyak tempat-tempat bersejarah yang telah dirancang untuk lawatan ini dan kesempatan ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk mendalami sejarah Islam," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: