Saturday, March 30, 2013
Lentera Hati ST12
NAMA band kelahiran Indonesia, ST12 bukanlah asing dalam industri muzik di Indonesia mahupun industri tempatan sendiri. Bagaimanapun, sememangnya telah diketahui umum, ST12 sudah lama menyepikan dan dibubarkan kerana ketiadaan vokalis mereka, Charly.
Akui Ilham Febry selaku pemain drum yang juga pengasas band ST12, kehilangan empat tahun band itu dalam industri muzik, memang dirindui oleh peminat tegar ST12. Ujarnya yang lebih mesra disapa sebagai Pepep, ada yang menangis kerana mengetahui tentang pembubaran band tersebut.
Cintanya terhadap muzik membuatkan Pepep kembali meneruskan perjuangan band ST12 dengan menjalankan uji bakat selama satu setengah tahun bagi mencari vokalis yang sesuai untuk menggantikan Charly.
Hasilnya, remaja berusia 16 tahun, Ridho Tuah berjaya mengharungi uji bakat yang dihadiri oleh lebih 500 orang peserta yang bertempat di markas ST12 di Bandung, Indonesia.
“Pemilihan Ridho sebagai vokalis baharu ST12 adalah kerana dari segi keunikan vokalnya sendiri. Oleh kerana umur yang masih muda, suaranya juga kedengaran muda dan justeru ia menampilkan kesegaran.
“Tidak mungkin saya akan mencari penyanyi yang serupa dengan Charly. Ini kerana, bagi saya setiap orang yang berbeza dan begitu juga Ridho,” jelas Pepep yang ditemui ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Selasa lepas.
Namun, walaupun dilihat mempunyai anggota band yang baharu secara keseluruhannya, jelas Pepep, ST12 masih akan menggunakan konsep muzik yang dibawa sebelumnya, iaitu Pop Melayu.
Bicara jejaka kelahiran Sumatera ini, sejak penubuhan band ST12i, mereka telah berjaya dengan konsep muzik Pop Melayu, jadi tiada salahnya mereka masih ingin memperjuangkan genre yang sama walaupun telah bertukar anggota terutamanya vokalis.
“Mengapa tidak berbangga dengan budaya Melayu kita sendiri, seperti Barat contohnya yang sentiasa mengetengahkan budaya mereka tidak kira dalam apapun baik muzik mahupun filem. Tidak perlu untuk membawa aliran muzik Barat. Walhal pada hakikatnya, bukan semua masyarakat yang dapat menerima muzik yang mereka bawa,” tegas Pepep yang ingin pertahankan muzik Pop Melayu melalui band ST12.
Album kelima
Mungkin kini peminat ST12 boleh menarik nafas lega kerana mereka kini kembali memeriahkan semula industri muzik Indonesia mahupun tempatan. Empat tahun telah dimanfaatkan sebaiknya oleh kesemua anggota apabila akhirnya mereka tampil dengan sebuah album terbaharu yang diberi judul Lentera Hati.
Kehilangan ST12 dalam industri muzik tidak sama sekali meruntuhkan populariti yang dibina band ini sejak tahun 2004 lagi. Buktinya, single pertama yang berjudul Putih Putih Melati, daripada album kelima berjaya menambat hati peminat.
Lentera Hati mengandungi 10 buah lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Pepep serta sebuah lagu yang dinyanyikan olehnya yang berjudul ST Setia.
“Lagu yang berjudul ST Setia merupakan lagu yang sangat istimewa. Ini kerana dalam lagu tersebut, ia menggabungkan setiap emosi saya bersama ST12 sebelum in termasuk perasaan saya saat berhadapan dengan dugaan serta pembubaran band ini,” katanya yang masih berkawan dengan Charly walaupun tidak lagi bersama.
Lentera Hati sudah mula dipasarkan ke seluruh Asia Tenggara oleh Universal Music dan Rumpun Records.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: