Sunday, March 31, 2013

Aura Nasha belum terusik

NASHA Aziz


BERMULA dengan filem Kad Cinta pada tahun 1995 dan mungkin kali terakhir menerusi drama Supermak dua tahun lalu, kelibat Nasha Aziz menerusi naskhah popular sejak akhir-akhir ini sukar dipintas.
Sikap selektif Nasha ternyata sementara sebaliknya dia kekal meletakkan seluruh jiwa terhadap setiap langkah seninya. Sementelah kestabilan karier serta kematangan usia menjadikan Nasha persis tidak terusik auranya biar dikelilingi puluhan muka baharu.
Buat peminat yang merindui keletah supermodel itu, Nasha menjanjikan sesuatu yang istimewa.
Kata Nasha, biarlah dia jarang-jarang muncul di televisyen atau layar lebar asalkan produk yang disertainya itu memberikan impak, bukan sekadar tangkap muat. Berbangga dan penting lagi gembira dengan pengalaman yang dilalui, akui Nasha, dia seronok kerana diberi peluang berlakon menerusi Maskara.
“Saya sukakan drama itu ia boleh menjadi sumber inspirasi kepada wanita lain supaya terus kuat jika berdepan masalah,” katanya yang melakonkan watak seorang ibu tunggal, Liza. Wanita berumur 30-an itu berjuang untuk mempertahankan hak wanita demi membesarkan anak dan mencari sesuatu yang lebih harmoni dalam hidupnya.
Bagi Nasha, jalan cerita dan konsep yang diketengahkan dalam drama arahan Nizam Zakaria itu sangat menarik. Maskara bukan sekadar komedi atau drama biasa yang mengangkat kisah wanita, tapi ia lebih daripada itu.
Maskara bakal menemui penonton menerusi slot Tayangan Perdana setiap Khamis 10 malam di TV1 menjelang pertengahan April ini. Selain Nasha, drama yang menampilkan perjalanan hidup empat wanita dalam mengharungi kehidupan di kota metropolitan menyaksikan Lisa Surihani sebagai Lynn, Anzalna Nasir (Hani) dan Andrea Abdullah (Sue).
Kisah jelitawan berumur 42 tahun itu tidak lengkap tanpa dihiasi cerita cintanya dengan jejaka bernama Nur Iman Tang. Lelaki berketurunan Cina itu sering dilihat bersama Nasha bahkan pada satu ketika pernah tersiar cerita kononnya Nasha dan Iman telah sama-sama ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah.
Bertanyakan soalan yang masih belum terungkai itu, cepat-cepat Nasha mengalihkan perhatian. Katanya: “Jangan buat spekulasi awal. Selagi belum ada sebarang ikatan, tiada apa yang istimewa. Kenapa saya tidak boleh ada teman atau kawan sedangkan orang lain boleh?
“Kami masih berkawan dan setiap teman harus keluar bersama atau bersembang. Saya rasa saya perlu menjaga hubungan atau persahabatan ini.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: