Saturday, March 30, 2013

Hillary Ang & Ian Antono Gegarkan Wings Rockestra


Wings bersama Ian Antono dan Hillary Ang bakal menggegarkan konsert Wings Rockestra.
PETALING JAYA: Dua gitaris terkenal iaitu Hillary Ang dan Ian Antonio, gitaris kumpulan God Bless yang diterbangkan khas dari Indonesia bakal berkongsi pentas bersama kumpulan Wings menggegarkan konsert Wings Rockestra.
Konsert tersebut akan berlangsung pada pada 26, 27, 28 dan 30 April depan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Menurut salah seorang ahli Wings iaitu Joe, kumpulannya sengaja memilih dua nama ini sebagai memberi kelainan dan pengalaman berbeza daripada konsert-konsert yang pernah dilakukan mereka.
"Dahulu semasa membesar saya dengar juga lagu God Bless dan tertarik dengan muzik yang ditampilkan. Ini antara sebab saya menjemputnya beraksi buat julung kalinya bersama Wings.
"Dan apabila mereka bergandingan dengan kami, saya percaya aura persembahan yang dibawakan pastinya berbeza," katanya menerusi kenyataan media yang diberikan kepada mStar Online.
Tambah Joe, dia, Hillary dan Ian bakal bersatu dalam sebuah segmen khas persembahan instrumental selama 20 minit pada Konsert tersebut.
Bukan itu sahaja, Ian turut akan memainkan beberapa buah lagu Wings dan berkolaborasi bersama Joe, Awie, Eddie dan Black bagi memeriahkan suasana pentas IB.
Bermula pukul 8.45 malam, Panggung Sari juga turut dipadukan dengan persembahan 43 pemuzik Orkestra Simfoni Kebangssan.
Membentuk kembali sebuah atmosfera rockestra, Wings sekali lagi bergandingan bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer, dipadukan lagi dengan Pengarah Muzik (Musical Director) galasan Joe Wings dan penggubah muzik orkestra (orchestra music arranger) Miss Lee Tse Wan.
Hillary Ang juga menjawat tanggungjawab sebagai penyusun muzik pertama dan dibantu Rozario sebagai penyusun muzik untuk grup.
Saksikan gabungan yang bukan calang-calang dan akan membentuk atmosfera rock yang tersendiri malah boleh dijadikan sebagai sebuah tanda aras dalam sejarah persembahan sebuah grup rock tempatan.
Tiket Konsert Wings Rockestra 2013 boleh dibeli menerusi www.ticket2u.biz pada harga RM499, RM399, RM299, RM249, RM199, RM149, RM99 dan RM69.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: