Wednesday, March 27, 2013

Thailand bergelut kehamilan remaja


PENDIDIKAN seks yang diajar di sekolah kebangsaan kurang berkesan menangani kehamilan remaja Thai.


KETIKA Mallika memberitahu keadaan dirinya yang sedang mengandung, ibu bapa Mallika telah menghentikan persekolahannya. Dia kemudian diarah berkahwin dengan lelaki yang telah menyebabkan dia berbadan dua. Usianya ketika itu 17 tahun.
Bagaimanapun, perkahwinan itu tidak pernah terjadi, dan Mallika menjaga bayi perempuan itu sendirian.
“Saya menyayangi anak saya, tetapi ketika itu saya menyembunyikannya kerana malu,” kata Mallika yang kini sudah berusia 23 tahun dan bekerja sebagai penjual pakaian buatan China di pasar minggu di Bangkok, Thailand.
Dia yang tinggal di sebuah apartmen di pinggir bandar Bangkok menambah, pada masa itu, keluarga lelaki berkenaan menawarkan wang bagi menutup mulut selain meminta tidak mengganggu mereka.
Ibu remaja
Situasi yang dihadapi Mallika bukanlah sesuatu perkara yang luar biasa. Jumlah remaja perempuan mengandung di Thailand merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara selepas Laos, menurut laporan Biro Kesihatan Reproduktif di Kementerian Kesihatan Awam Thailand.
Meskipun, kadar keseluruhan kelahiran di negara Gajah Putih itu jatuh, namun dalam kalangan remaja menunjukkan peningkatan. Daripada 1,000 kelahiran, 54 merupakan ibu remaja berusia antara 15 hingga 19 tahun. Peratusan tersebut lebih tinggi daripada Amerika Syarikat dan 10 kali ganda lebih tinggi daripada Singapura.
Malah, jumlah tersebut naik mendadak. Bilangan kelahiran hidup bagi ibu remaja Thailand berusia antara 15 hingga 18 tahun meningkat kepada 43 peratus antara 2000 hingga 2011, berdasarkan laporan tahunan kesihatan awam Thailand.
Terdapat banyak faktor penyumbang, namun pakar kesihatan menyalahkan faktor budaya sebagai penyumbang utama. Isu-isu berkaitan gender turut merumitkan keadaan.
“Wanita diminta menjaga kesucian diri mereka tetapi lelaki Thai yang melakukan hubungan seks dengan ramai wanita dipandang hebat,” kata Visa Benjamano, pesuruhjaya di Majlis Hak Asasi Manusia Kebangsaan Thailand (NHRC).
“Jika lelaki meniduri ramai wanita, imejnya tidak terjejas seperti yang dialami wanita. Wanita secara umumnya lebih takut membincangkan hal berkaitan hubungan seks secara terbuka,” kata Benjamano.
Walaupun, pendidikan seks merupakan sebahagian daripada kurikulum sekolah kebangsaan, namun ia kurang berkesan. Menteri Pelajaran mengehadkan masa pelajaran kepada lapan jam setahun meskipun berlaku perubahan sikap golongan remaja terhadap seks.
Satu laporan pada tahun 2011 oleh Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dan Lembangan Pembangunan Sosial dan Ekonomi Thailand (NESDB) menunjukkan bilangan wanita yang dimasukkan ke hospital berkaitan pengguguran meningkat lebih 16 peratus antara 1994 dan 2009, mencecah 60,000 pada tahun 2009.
Melakukan pengguguran dilarang di Thailand kecuali kes berkaitan rogol atau sumbang mahram, menyelamatkan nyawa, fizikal atau faktor kesihatan wanita dan berumur bawah 15 tahun.
Pengguguran haram
Di bawah undang-undang Thai, hukuman sekiranya melakukan pengguguran haram ialah penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum 10,000 bath (RM1,000). Bagaimanapun, klinik dan pengguguran haram tetap meningkat.
Pada 2010, polis Thai menjumpai 2,000 janin di kawasan kuil Buddha Bangkok dipercayai dihantar oleh klinik-klinik pengguguran haram.
Penemuan itu membuatkan masyarakat Thai berada dalam dilema kerana perbuatan itu berdosa di sisi agama Buddha yang dianut oleh 95 peratus rakyat Thailand.
Berbanding Filipina yang kebanyakan berfahaman Katolik, di Thailand alat atau pil pencegah kehamilan dan kondom mudah didapati dan dijual di kaunter-kaunter kedai.
Namun, apabila remaja perempuan cuba membelinya masyarakat memandang serong terhadapnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: