Wednesday, March 27, 2013

Wanita Hari Ini lebih segar


NABIHAH (kiri) diberi tanggungjawab menggalas tugasan untuk mengendalikan segmen fesyen dalam salah satu slot program bual bicara Wanita Hari Ini.


TAHUN ini genap 12 tahun program bual bicara Wanita Hari Ini disiarkan di TV3. Program bual bicara yang disiarkan setiap hari Isnin hingga Jumaat dari pukul 12 tengah hari hingga 1 petang itu kini tampil dengan musim baharu.
Menurut Penerbit Eksekutifnya, Siti Hatija Yusof, sempena musim baharu, Wanita Hari Ini memperkenalkan set yang lebih elegan, segmen-segmen baharu dan juga pengacara baharu iaitu Nabihah Rosdi.
“Nabihah merupakan salah seorang peserta Top Host 2010. Selama dua tahun dia bekerja di belakang tabir sebelum kami jadikan dia pengacara Wanita Hari Ini.
“Sengaja kami lakukan begitu kerana mahu dia mempunyai pengalaman yang luas dalam selok-belok dunia kewartawanan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran wajah baharu Wanita Hari Ini di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Jelasnya, kepetahan Nabihah dalam mengacara juga menjadi platform gadis lulusan ijazah sarjana muda Bahasa Inggeris (TESL) dari Universiti Teknologi Mara (UITM) dipilih sebagai pengacara Wanita Hari Ini.
Siti Hatija memberitahu, bukan sahaja segmen baharu malah Wanita Hari Ini turut menggabungkan segmen terdahulu untuk menjadikan kandungan program tersebut lebih menarik dan segar.
Ulasnya, setiap hari Isnin, Wanita Hari Ini akan membincangkan topik kecantikan, fesyen dan trend masa kini. Khusus bagi kaum wanita yang prihatin dan menitikberatkan kesihatan, siaran hari Selasa adalah rujukan terbaik.
Beralih dari segmen kesihatan, kata Siti Hatija, segmen hari Rabu pula memaparkan topik bualan hangat dan isu-isu semasa yang membabitkan wanita, remaja dan anak-anak kecil.
“Wanita Hari ini juga memperkenalkan segmen Dari Fail Mahkamah sebagai topik mingguan pada setiap hari Khamis. Wanita Hari Ini ibarat seperti majalah. Kita kena pandai uruskan topik supaya ia menjadi ringan tetapi dalam masa yang sama, lain daripada lain serta menarik.
“Disebabkan itu, segmen Asam Garam Rumah Tangga yang bersiaran pada setiap hari Jumaat dikekalkan kerana ia diminati ramai,” ujarnya lagi.
Sementara itu, menurut pengacara baharu, Nabihah, dia bersyukur kerana pengalaman yang ditimba selama dua tahun bekerja di belakang tabir membuatkannya faham mengenai perjalanan dan cara kerja program bual bicara wanita itu.
Mengakui berasa takut dan gementar bila pertama kali muncul sebagai pengacara program, Nabihah juga pernah berasa berbelah bahagi untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara program itu.
“Mula-mula hati saya rasa berbelah bahagi sebab saya tidak tahu sama ada dapat pikul tanggungjawab atau tidak mengacarakan program siaran langsung. Bagaimanapun, saya sahut cabaran tersebut,” ulasnya.
Selain Nabihah, program Wanita Hari Ini masih mengekalkan barisan pengacara lama iaitu Hasfizza Sabjahan, Azizah Ariffin, Nor Azzura Azizul Azman, Hazrena Kassim, Teh Syuhaida dan Irin Putri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: