|
KETIKA ini sudah banyak rancangan realiti televisyen yang dianjurkan oleh stesen televisyen tempatan bertujuan mencungkil bakat terpendam orang ramai sama ada dalam bidang lakonan atau nyanyian.
Terbaharu menyaksikan sebuah rancangan yang diberi nama iaitu Bintang Mencari Bintang terbitan TV3, program yang memerlukan para peserta berkebolehan membuat komedi dan menyanyi.
Rancangan yang dianjurkan buat julung-julung kalinya itu juga mempunyai keistimewaan tersendiri apabila para peserta bakal dibimbing oleh setiap individu yang sememangnya mempunyai nama besar dalam dunia hiburan.
Antara yang terpilih seperti Sabri Yunus, Raja Azura, Faizal Ismail, Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik serta kumpulan Senario dan mereka ini digelar sifu. Setiap sifu pula akan diberi tanggungjawab melatih dua orang peserta.
Salah seorang sifu iaitu Sabri berkata, dia sendiri meluahkan rasa gembiranya apabila dipilih menyertai rancangan Bintang Mencari Bintang dan menyifatkan rancangan berkenaan mampu melahirkan lebih ramai penghibur.
"Pada mulanya saya pernah menolak apabila ditawarkan menjadi sifu dalam rancangan ini. Bukan tidak berminat untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan, sebaliknya ia disebabkan faktor masa memandangkan jadual agak padat.
"Kemudian apabila pihak TV3 menyatakan mereka bersetuju untuk ikut jadual kerja saya, barulah persetujuan saya berikan kepada mereka kerana merasakan rancangan ini memang menarik," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran rancangan tersebut baru-baru ini.
Diberi tanggungjawab untuk membimbing dua peserta iaitu kumpulan Titan dan Bog Too, Sabri menyatakan, antara matlamat utamanya adalah mahu melahirkan seorang penghibur yang bijak.
Menurutnya, bakat komedi yang dimiliki sekadar merangkumi 20 peratus dan selebihnya bergantung kepada minat, kreativiti dan kebijaksanaan seseorang individu itu.
"Sebelum ini saya sudah beberapa kali terlibat dalam pelbagai rancangan pencarian bakat. Jadi, untuk rancangan ini saya membuat sedikit kelainan dalam pemilihan peserta.
"Sebagai contohnya, saya telah memilih beberapa individu yang semasa uji bakat dan membentuk mereka dalam satu kumpulan. Kemudian saya biarkan mereka untuk berbual apa sahaja topik dan barulah pemilihan dilakukan menerusi pemerhatian yang saya buat," jelasnya.
Mengenai pemilihan Azizul Ammar Abu Hassan dan Fazlisham Mat Hussin (Titan) dan Nor Alif Mohd. Mokhtar dan Mohamad Shafiq Raside (Bog Too) sebagai peserta bimbingannya, Sabri menyatakan kedua-dua kumpulan itu memiliki kekuatan tersendiri.
"Saya yakin bakat yang mereka ada mampu digilap dan dibentuk lagi. Cuma saya agak risau tidak mampu memberi sepenuh komitmen membimbing mereka dan mungkin saya dapat bertemu mereka selepas pukul 12 tengah malam kerana jadual saya yang padat.
"Bagaimanapun, saya harap ia tidak menjadi satu halangan buat mereka untuk tampil dengan persembahan yang terbaik. Saya akan mencurahkan segala ilmu dan pengalaman yang dimiliki agar dapat melahirkan penghibur yang berkualiti," ujarnya.
Berkenaan persembahan nyanyian pula, Sabri secara terus terang menyatakan dia memang tidak berkebolehan untuk menyanyi. Namun begitu, ia tidak akan mengambil mudah mengenai perkara itu.
"Apa yang saya tahu markah yang diberi lebih kepada sketsa komedi berbanding nyanyian, tetapi saya mahu persembahan kedua-dua peserta saya seimbang. Jadi, saya mungkin akan meminta pertolongan rakan yang boleh menyanyi untuk membantu saya memantau mereka," ujarnya.
Pelawak wanita
Merupakan satu-satunya sifu wanita, Raja Azura menggalas tugasan besar membimbing kumpulan Kelawak yang dianggotai Syed Atiq Wan Long dan Muhd. Maaruf Zamani Lim serta Awok yang menampilkan satu-satunya peserta wanita iaitu Filzah Azmi dan Nurul Ain Othman.
Raja Azura atau lebih popular dengan panggilan Kak Engku memberitahu, dia sebenarnya mempunyai matlamat tersendiri apabila terbabit dalam rancangan Bintang Mencari Bintang ini.
"Selama ini kita dapat lihat tidak ramai wanita yang berminat menjadi pelawak, sedangkan ia merupakan bidang yang mampu mendatangkan pendapatan lumayan.
"Menerusi rancangan ini saya memang merancang untuk memilih sebuah kumpulan wanita yang akan bersaing dengan peserta lain. Biarpun menjadi satu-satunya peserta wanita, saya tetap yakin Awok sedia mengharungi setiap cabaran yang bakal dilalui," ujarnya.
Jelas Kak Engku, memandangkan dunia komedi tempatan kurang penyertaan golongan wanita dan didominasi oleh lelaki, Kak Engku berhasrat mahu melahirkan pelawak wanita yang hebat dan mampu bersaing dengan pelawak sedia ada.
Menurutnya, semasa sesi uji bakat berlangsung sebelum ini Filzah dan Nurul Ain masing-masing datang berpasangan bersama peserta lelaki, lalu dia membuat keputusan memecahkan pasangan tersebut dan menggandingkan mereka berdua.
"Walaupun matlamat saya mahu melahirkan pelawak wanita yang berjaya, ia tidak bermakna saya mengabaikan kumpulan Kelawak. Saya akan membimbing kedua-duanya secara sama rata dan mahu melihat mereka mara ke peringkat yang lebih jauh," ujarnya.
|
Terkejut
Seorang lagi sifu yang terpilih iaitu Faizal Ismail pula mengakui dia sebenarnya terkejut apabila dipilih oleh pihak TV3 untuk menyertai rancangan Bintang Mencari Bintang.
Pada peringkat awal dia sendiri agak hairan memandangkan dia lebih dikenali sebagai seorang penyampai radio dan bukanlah seorang pelawak atau pelakon komedi.
"Sebenarnya pembabitan saya ini sebagai pengganti kepada seorang pelawak lain yang tidak jadi menyertai rancangan ini, tetapi saya tetap tertanya-tanya apa yang menyebabkan saya mendapat tawaran ini.
"Apabila saya bertanyakan perkara ini kepada pihak TV3, mereka menyatakan terdapat unsur-unsur komedi dalam diri saya. Akhirnya saya bersetuju dengan tawaran ini untuk mencabar kebolehan diri sendiri," ujarnya.
Dalam rancangan tersebut, Faizal selaku sifu diberi tugasan untuk membimbing dua peserta iaitu kumpulan Tapaw yang dianggotai Khairul Faiz Sulaiman dan Mohd. Shahrizal Sulaiman serta peserta solo iaitu Wan Azrul Azizan (Ajo).
Selain kumpulan Titan, Bog Too, Kelawak, Awok, Tapaw dan Ajo, lain-lain peserta yang turut bersaing seperti Bowl dan Bocik (Afdlin Shauki), Achey dan XOXO (Harun Salim Bachik) serta Gegau dan Tocai (Senario) untuk merebut hadiah wang tunai RM200,000.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: