Monday, March 11, 2013

Ana Raffali pilih 800 peminat istimewa

ANA RAFFALI kini sudah muncul dengan single terbaharunya, Jauh ke Syurga.


JUARA Anugerah Juara Lagu pada tahun 2010, Ana Raffali, 28, dilihat menyepikan diri setelah membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama seorang jurugambar bebas, Ahmad Aznaim Abdullah awal tahun lalu.
Bagaimanapun, penyanyi merangkap komposer dan penulis lirik itu sebenarnya mengakui, dia bukan sengaja mahu memencilkan diri daripada dunia seni tapi lebih mengutamakan kerja produksi lagu belakang tabir selain sedang merancang pembikinan album terbaharunya.
Penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku tersebut ditemui pada majlis pelancaran album Asmidar, Kali Pertama di Black Box, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini mendapatkan kepastian lanjut.
Kosmo!: Ke manakah menghilangnya Ana Raffali yang sebelum ini pernah meraih populariti sekitar dua tahun lalu?
ANA RAFFALI: Saya kini melatih diri untuk menjadi seorang penerbit bagi album saya yang akan datang. Sekarang saya sendiri berpeluang dan bertanggungjawab sepenuhnya sepanjang pembikinan muzik, lagu dan album saya. Saya boleh memilih bunyi yang bagaimana saya mahukan dan saya suka melakukan kerja-kerja ini. Selain itu, saya memfokuskan kehidupan bersama suami dan keluarga saya.
Adakah Ana merajuk dengan industri?
Jauh sekali tidak. Malah, saya sentiasa memikirkan cara untuk kembali mencuri tumpuan peminat, sepanjang saya menjadi isteri orang pun saya tidak putus-putus diajukan pertanyaan sedemikian dan hadiah saya untuk peminat adalah lagu saya. Alhamdulillah pada 24 Januari lalu saya telah melancarkan single terbaharu saya berjudul Jauh ke Syurga dan sedang sibuk mempromosikan single itu.
Bagaimanakah sambutan peminat terhadap single itu kerana difahamkan lagu itu juga lebih bersifat Islamik?
Alhamdulillah dua hari selepas single itu dilancarkan, ia sudah mendapat lebih 65,000 hit di laman YouTube. Saya terharu dengan sambutan yang diterima. malah sebagai penghargaan, saya telah memilih 800 orang peminat bertuah untuk menerima lagu itu yang saya kirimkan melalui e-mel.
Saya seorang penulis lagu yang ingin berkongsi cerita dan lagu itu merupakan satu doa kepada isteri dengan harapan jodoh yang dipertemukan akan berkekalan sampai ke syurga. Kalau disebut dan dinyanyikan banyak kali akan menjadi satu doa.
Bagaimanakah kehidupan peribadi Ana bersama Aznaim?
Kami bahagia dan gembira. Sekarang, fokus saya adalah keluarga dan saya bersyukur kerana sentiasa ditemani oleh suami apabila berdepan waktu-waktu yang susah. Sekurang-kurangnya saya mendapat inspirasi yang positif walaupun dia hanya tidur di samping saya ketika saya sedang sibuk menyiapkan lagu. Kalau soal anak, kami tidak merancang kerana Allah mengetahui jalan hidup kita, saya berserah dan menantikan yang terbaik.
Kosmo! difahamkan Ana turut terlibat menyumbangkan sebuah lagu kepada Asmidar untuk dimuatkan dalam album terbaharunya, boleh Ana jelaskan lebih lanjut mengenai kolaborasi itu?
Lagu berjudul Sepasang Sudu dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh saya. Asmidar memiliki suara dan nada yang unik serta sesuai dengan lagu itu. Lagu Sepasang Sudu menceritakan situasi ketika minum petang dengan seorang teman baik tapi masing-masing menyimpan perasaan suka dalam hati namun malu-malu untuk diluahkan. Lagu ini ditulis sejak tahun 2008 dan mujurlah saya tidak merakamkan lagu ini untuk saya kerana sekarang ia sudah berjumpa dengan pemilik sebenarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: