Banyak duit dan waktu dihabiskan untuk membeli bahan bacaan berkaitan di samping menekuni kisah tanah air terutama pada zaman kesultanan Melayu.
Dia juga merelakan keringat dan minyak kereta yang bukan sedikit demi memburu warisan lama berkenaan meskipun ia sangat sukar ditemui.
“Mulanya saya pengumpul wang kertas. Tapi selepas empat tahun dan koleksi boleh dikatakan agak lengkap, saya mula rasa tiada hala tuju untuk meneruskan minat tersebut.
“Selepas membaca buku dan buat kajian, akhirnya minat pada mata wang lama yang pernah digunakan pada zaman kesultanan Melayu pun berputik,” cerita anak kelahiran Kg Nakhoda, Selayang, Selangor ini ketika ditemui Sinar Harian.
Justeru, dia nekad menjual wang kertas yang telah dikumpulkannya untuk menumpukan perhatian pada mata wang lama. Minatnya kian bercambah selepas ditakdirkan bertemu seorang pengumpul berbangsa Cina, Dr Kong yang memulakan hobi serupa sejak berusia 15 tahun lalu.
“Dr Kong bertanya pada saya, mengapa orang Melayu sendiri tak ramai yang minat pada warisan Melayu sepertinya? Saya rasa terpukul dan menyedari kebenaran katakata itu,” ujar Raja.
Memandangkan pengumpul mata wang lama zaman kesultanan Melayu masih belum ramai, boleh dikatakan dia kini antara pengumpul paling muda kerana kebanyakannya berusia 40 tahun ke atas.
Baca sejarah cari klu
Menjelaskan minatnya memburu dan mengumpul mata wang lama ikhlas demi kelangsungan sejarah tanah air, Raja tidak terfikir untuk menjual mana-mana koleksi simpanannya buat masa ini. Selain mempunyai nilai sentimental yang tinggi, bukan mudah untuk mendapatkan setiap keping mata wang berkenaan.
“Sangat payah nak dapat tapi itulah 'thrill' yang menambah keseronokan hobi ini. Selain itu saya dapat mendalami sejarah yang mungkin tak ramai tahu berkaitan dunia numismatik negara,” kata Raja yang amat mengagumi seni pada setiap keping mata wang lama yang ditemuinya.
Tidak hairanlah, dia tidak pernah jemu membelek mata wang lama dalam simpanannya. Dia juga aktif bertemu kawan-kawan yang mempunyai minat sama untuk meneliti koleksi milik mereka.
Biasanya, Raja menambah koleksi dengan mendapatkannya daripada kenalan yang mewarisinya turun temurun. Hal ini kerana mata wang zaman kesultanan Melayu sukar ditemui di pasar antik, tidak seperti wang ringgit lama.
Justeru sebagai alternatif, dia mempunyai cara tersendiri yang bermula dengan meningkatkan pembacaan tentang sejarah lama Tanah Melayu.
“Bila saya baca tentang satu-satu tempat yang pernah jadi tempat kapal dagang berlabuh misalnya, saya akan ke sana untuk merisik pada penduduk setempat jika mereka ada mata wang lama.
“Kadang-kadang usaha membuahkan hasil dan tidak kurang juga, saya pulang dalam keadaan hampa,” ujarnya yang kini memiliki sekitar 100 keping mata wang zaman kesultanan Melayu selepas berhempas pulas memburu selama dua tahun.
Ciri khas ikut negeri
Meskipun masih belum berpuas hati dengan apa dimilikinya, dari sisi lain bapa kepada dua cahaya mata ini bersyukur kerana mengetahui banyak fakta tentang sejarah mata wang tanah air. Antara yang ramai tidak tahu, duit Melaka sangat susah ditemui kerana dihapuskan oleh Portugis selepas Melaka berjaya ditakluki.
Kalau ada pun yang ditemui, ia harus diteliti kerana dibimbangkan palsu. Selain itu, setiap negeri mempunyai mata wang dengan ciri-ciri khas. Sebagai contoh, mata wang Terengganu mempunyai tulisan Malik Al-Adil, mata wang Kedah pula di hiasi bunga berkelopak manakala Kelantan, tertera kalimah Khalifatul Mukminin.
Bagi mata wang Johor pula, ia biasanya berbentuk segi termasuk heksagon.
Panggilan bagi mata wang juga berbeza mengikut tempat. Di Kedah, penduduk setempat memanggilnya tra manakala orang Melaka, Terengganu dan Kelantan merujuknya sebagai pitis. Terdapat juga mata wang yang dikenali sebagai jokoh, iaitu duit khas
Kapitan Cina yang dikeluarkan atas kebenaran sultan pada masa itu.
Sudah menjadi undang-undang tak rasmi pengumpul duit lama, setiap keping mata wang zaman kesultanan Melayu yang diperoleh tidak boleh dibersihkan dengan bahan kimia. Justeru apa dilakukan Raja cuma membersihkannya dengan air biasa atau sekadar dilapkan dengan minyak bayi untuk mencuci kotoran yang melekat.
Kesan comot yang biasa terdapat pada mata wang juga sebaik-baiknya dibiarkan sahaja kerana ia menjadi bukti usia dan keunikannya. Lagi pula, usaha mencuci dikhuatiri boleh membuatkan mata wang lama ini patah.
Atas alasan sama, Raja menyimpan koleksi miliknya dalam album khas yang membuatkan ia tidak bertindih antara satu sama lain selepas album ditutup.
Selain itu dia mengelak koleksinya berada dalam persekitaran yang panas kerana dibimbangkan ia boleh meretak.
Maklumlah jika perkara ini berlaku, sudah pasti pencinta dan pemburu mata wang zaman kesultanan Melayu seperti Raja akan berasa ralat yang teramat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: