Hana Mohammad, 26, yang juga seorang guru di sebuah sekolah rendah di Kerteh berkata, kesan itu dilihatnya pada Khamis lalu dan lebam yang sangat ketara pada bahagian belakang badan, pinggang, paha dan lengan anak tunggalnya itu.
“Pada hari itu, kira-kira jam 4 petang, suami saya ambil anak di taska dan ketika itu anak saya meraung. Apabila suami tanya kepada pengasuh, dia cakap anak baru bangun tidur, sebab itu menangis.
“Tetapi, selepas tiga jam kemudian, sewaktu saya mahu memandikan anak, saya terperanjat apabila tengok badan anak begitu. Jadi, saya segera menghubungi pengasuh, namun dua orang pengasuh di taska itu masing-masing tidak menjawab telefon seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena,” katanya kepada Sinar Harian.
Digigit kanak-kanak lain
Menurutnya, bagi mendapatkan penjelasan, dia cuba bertanya seorang daripada pengasuh di taska itu menerusi mesej dalam laman sosial Facebook, dan pengasuh terbabit menjelaskan kemungkinan bayinya itu digigit kanak-kanak lain.
“Dia juga memberitahu, pada hari itu, penyelia taska mereka berada di taska itu. Jadi kesemua empat pengasuh di taska itu sangat sibuk.
“Sebenarnya sehari sebelum itu, saya juga perasan lengan anak saya lebam seperti kesan gigit, tetapi apabila saya tanya kepada pengasuh, dia beritahu yang anak saya kena gigit oleh kawannya. Jadi saya abaikan sahaja perkara itu, tetapi apabila seluruh badan lebam begini, saya dan suami risau dan pada malam Khamis itu juga kami bawa anak ke sebuah klinik swasta di Kerteh,” katanya kesal.
Kata Hana, selepas memeriksa anaknya itu, doktor mengesahkan yang anaknya itu bukan digigit tetapi didera dan menasihatkannya membuat laporan polis.
Justeru, Hana dan suami, Ashraf Mohamad, 30, yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang, Kelantan membuat laporan polis di Balai Polis Kerteh kira-kira jam 10 malam sebelum terpaksa dimasukkan ke wad di Hospital Kemaman.
Asna Hafy dibenarkan pulang pada petang kelmarin dan kesan lebam pada badannya masih belum hilang.
Takut berhadapan orang ramai
Ibu muda ini berkata, kejadian itu juga menjawab teka-teki yang bermain di fikirannya selama ini kerana bayinya itu sejak akhir-akhir ini kelihatan agak trauma dan seperti ketakutan apabila berdepan dengan orang ramai, sedangkan anaknya itu sebelum ini amat mesra dengan sesiapa sahaja walaupun tidak dikenalinya.
“Sebelum ini banyak yang saya tutup mata sahaja kerana tidak mahu memanjangkan kes. Sebelum ini, banyak kali juga baju anak saya koyak dan apabila tanya pengasuh, macam-macam alasan diberikan. Anak juga kerap demam.
“Saya sangat kesal dengan kejadian ini. Jadi kami suami isteri nekad buat laporan polis agar tidak mahu anak orang lain turut menerima nasib sama, biarlah anak saya jadi yang terawal dan terakhir yang menerima nasib seperti ini,” katanya yang mula menghantar anak di bawah jagaan taska di Kerteh itu sejak Januari lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan dan beliau memaklumkan, kes masih dalam siasatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: