Sunday, March 24, 2013

Zain tutup Instagram demi Rozita

ZAIN SAIDIN dan kekasihnya Rozita Che Wan bakal umum tarikh nikah selepas Aidilfitri nanti.


LAMAN sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram bahkan blog-blog video yang semakin digilai hari ini boleh menjadi sumber informasi dan pengisi masa lapang. Bagi golongan selebriti, laman-laman sosial boleh dijadikan alat promosi tanpa perlu mengharapkan publisiti media massa.
Dalam waktu yang sama, laman sosial juga boleh menjadi penyakit dan membikin parah kepada sesetengah pihak. Sambutan luar jangka pengikut ke laman-laman sosial milik artis adakalanya menyumbang impak yang tidak dikehendaki. Niat sekadar hendak berkongsi bahagia dan keseronokan tetapi ia menjadi bahan herdikan dan cacian sehingga mampu merosakkan perasaan bahkan menimbulkan rasa sakit hati.
Apa yang berlaku terhadap pelakon drama, Zain Saidin bukan sesuatu yang pelik. Tanpa kekuatan untuk menangani komen-komen serta cemuhan menjatuhkan di laman Instagram miliknya sendiri, Zain akhirnya mengambil keputusan untuk menutup terus akaunnya itu dengan alasan untuk menyelamatkan maruah kekasihnya, Rozita Che Wan.
Dia juga mahu mengelak daripada terus sakit hati ekoran bermacam-macam kritikan daripada pengikutnya selepas gambar-gambar mesranya bersama Rozita Che Wan dimuat naik ke dalam akaun Instagram.
Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd. Saidin, 29, berkata, keputusan itu dibuat semata-mata untuk menjaga maruah, nama baik serta imej yang dibawa oleh kekasihnya itu.


"Ya, benar saya sudah memadamkan akaun Instagram saya kerana tidak mampu untuk mengawal komen-komen dan kutukan pada setiap gambar yang saya muat naik.
"Gambar-gambar itu hanyalah sekadar gambar biasa sahaja, bukannya gambar tidak sopan. Kalau ada pun mungkin hanya skirt (Rozita) tertarik sikit semasa sedang duduk," akuinya selepas sidang media pelancaran musim baharu drama bersiri Oh My English! di Sekolah Wawasan, USJ 16, Subang Jaya, Rabu lalu.
Dia menamatkan akaun tersebut pada malam Isnin lalu selepas gambar bersama Rozita, 40, dikecam kerana wanita itu dituduh berpakaian seksi.
Hubungan Zain dan Rozita semakin menjadi perhatian apabila pasangan itu mengaku sedang hangat bercinta dan merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat. Perbezaan usia yang ketara antara Zain dan Rozita sebanyak 11 tahun juga bukan halangan lagi untuk pasangan itu hidup bersama ke alam perkahwinan.
Ditanya tentang perancangannya selepas berumah tangga, khususnya soal anak, Zain berkata, dia belum terfikir soal berkenaan memandangkan Rozita sendiri sudah mempunyai cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu. Faktor umur Rozita juga menjadi faktor membataskan kemampuan pelakon seksi itu untuk hamil lagi.
Zain bagaimanapun menyerahkan soal anak kepada Allah.
"Selepas berkahwin nanti saya merancang untuk buat bisnes agar kehidupan kami lebih stabil. Kalau boleh biarlah Rozita berehat dan kerja ikut kemampuan dia.
"Hal zuriat saya serahkan kepada Allah," katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan Zain dan Rozita, membuat pengakuan terbuka mengenai hubungan mereka dan berhasrat untuk mendirikan rumah tangga pada hujung tahun ini.
Pasangan ini memberitahu akan mengadakan sidang media tentang perkahwinan mereka selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: