Friday, March 15, 2013

Tangani kecewa melampau


APABILA kita dilanda kesedihan dan kekecewaan adakalanya kita melepaskan perasaan itu dengan cara yang tidak rasional seperti bersikap baran atau menjerit-jerit.


KECEWA itu biasa. Sedih juga perkara biasa. Menangis juga adalah perkara biasa tetapi tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana mampu mengundang masalah lain pula.
Meraung? Menjerit? Marah-marah? Fenomena ini juga bukan agak luar biasa, tetapi adalah melampau.
Biasanya, kekecewaan melampau ini terjadi dalam perhubungan cinta atau perkahwinan. Perbuatan meraung, menjerit atau marah-marah adalah kesan tekanan melampau yang dirasai oleh seseorang yang kecewa terhadap sesuatu.
Perbuatan ini perlu dihentikan segera kerana jika dibiarkan akan membawa padah bukan sahaja kepada insan yang kecewa, bahkan kepada insan sekelilingnya.
Takluk dan tandingi
Jika anda berhadapan dengan insan-insan kecewa dan bersikap seperti ini anda perlu bertindak untuk mententeramkan mereka. Perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah takluk dan tandingi mereka.
Sudah pasti anda perlu bersikap lebih agresif berbanding rakan atau saudara anda yang kecewa itu. Bukan agresif yang negatif sebaliknya yang positif.
Jika insan kecewa tersebut menangis meraung-raung, pegang atau peluk dirinya agar dia rasa lebih tenang. Jika anda tidak berdaya memegang atau memeluk paksa dia berhenti meraung.
Tanamkan dalam fikiran, hidupnya tidak akan berakhir walau tanpa insan yang mengecewakan dirinya itu.
Sudah nyata insan yang mengecewakan tersebut bukan lelaki atau gadis terbaik untuk dirinya. Minta dia mengingati ibu bapa atau siapa sahaja insan tersayang lain yang ada dalam hidupnya.
Apakah perasaan mereka jika melihat dirinya yang bersikap sedemikian? Sudah tentu mereka juga akan sedih dan kecewa. Apakah dia sanggup kecewakan orang yang betul-betul ikhlas menyayangi semata-mata kerana seorang insan penipu?
Mungkin ketika ini, anda perlu tinggikan sedikit suara anda. Yang penting, anda perlu menakluk dan menandingi emosinya ketika itu.
Insan yang menangis dan meraung ini terlalu mengikut perasaan hingga tidak mampu memikirkan perkara lain kecuali kekecewaannya.
Tugas dan peranan anda untuk membawa emosi dan perasaannya ke dunia nyata semula. Sama juga jika insan kecewa tersebut menjerit atau marah-marah.
Tindakan tersebut adalah satu luahan kekecewaan. Ketika ini, anda perlu lawan emosi marah tersebut. Bukan marahkan sikapnya sebaliknya mengingatkan insan kecewa tersebut agar tidak marahkan orang lain yang tidak bersalah dan tidak ada kaitan dengan kekecewaannya.
Ingat Allah
Paling penting, minta dia beristighfar mengingati Allah.
Insya-Allah, dalam beberapa ketika, dia akan mula tenteram dan tenang. Minta insan kecewa ini mandi untuk memulihkan emosi dan tekanan perasaannya.
Anda juga perlu memantau setiap perlakuan dan perbuatan insan kecewa ini. Jangan biarkan dia bersendirian. Elakkan daripada membincangkan perkara yang mengecewakan tersebut jika dia belum bersedia.
Dia hanya bersedia jika anda dapati, dia boleh bercakap mengenai kekecewaan tersebut secara bersahaja. Hingga tiba saat itu, setiap kali dia cuba luahkan kekecewaannya, minta dia bertenang dan jangan dikenang lagi kisah-kisah lama yang boleh melukakan lagi hatinya.
Jangan minta dia melupakan sebaliknya elakkan daripada memikirkan kisah-kisah luka tersebut dengan menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti lain.
Jangan sebut sabar
Cuba elakkan daripada menyebut perkataan sabar sebab ada ketikanya perkataan sabar ini akan lebih menambahkan kekecewaannya.
Kenapa? Semua orang tahu, sabar adalah perkara yang perlu dipraktikkan dalam setiap agenda kehidupan, tetapi sabar bukanlah perkara yang mudah dilakukan.
Bagi insan-insan yang kecewa, sabar boleh mengundang pelbagai maksud. Ada ketikanya, perkataan sabar mampu didefinisikan sebagai hidupnya sedang berdepan dengan ujian yang maha berat dan sukar ditangani. Ada juga yang merasakan dia perlu bersendirian mengharungi hidupnya.
Sebaliknya anda boleh gunakan perkataan harus kuat, pasti boleh atau pelbagai lagi kata-kata semangat dan motivasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: