Friday, March 15, 2013

Keadaan di Semporna, Lahad Datu tenang


SUASANA di jeti berhampiran Pasar Rakyat Lahad Datu berjalan seperti biasa.


AKTIVITI masyarakat di Kampung Simunul, Semporna dan pekan Lahad Datu, Sabah yang sebelum ini terganggu ekoran pencerobohan kumpulan militan bersenjata dari Sulu kembali pulih.
Selepas lebih seminggu diselubungi ketakutan, keadaan keselamatan yang terkawal tanpa ancaman baharu memberi keyakinan kepada masyarakat tempatan untuk meneruskan aktiviti ekonomi dan sosial di daerah tersebut.
Tinjauan di Semporna mendapati, masyarakat di daerah itu kembali sibuk menjalankan aktiviti masing-masing tanpa bimbang menjadi sasaran kumpulan penceroboh.
Kebanyakan kedai atau premis perniagaan termasuk bank dan stesen minyak membuka perniagaan seperti biasa, manakala pasar-pasar awam kembali meriah dengan pekikan para peniaga melariskan jualan.
Perkhidmatan bot yang menjadi nadi dan alat pengangkutan utama penduduk berulang-alik dari pulau ke pekan Semporna juga dilihat rancak semula dengan jeti-jeti pendaratan dipenuhi bot manakala kawasan tumpuan pelancong yang sebelum ini suram kembali meriah dengan kemasukan pelawat asing.
Pembantu jualan Nurhasni Arabbahasa, 23, berkata, perkembangan itu adalah sesuatu yang amat menggembirakan penduduk kerana mereka kini boleh menjalankan aktiviti harian yang sebelum ini terbantut.
"Saya bersyukur keadaan kembali tenang, sekali gus membolehkan kami menjalankan perniagaan seperti biasa bermula dari awal pagi hingga ke malam, berbanding separuh hari semasa keadaan tegang," katanya yang berasal dari Kampung Kabogan.
Perasaan itu turut dikongsi pemandu kenderaan penumpang yang menyifatkan tindakan segera pihak keselamatan menangani insiden tersebut sehingga keadaan pulih membolehkan beliau dan rakan-rakan kembali menawarkan perkhidmatan seperti biasa.

PEMANDANGAN dan aktiviti di sebuah jeti di pekan Semporna tenang.


Tingkat pendapatan
Hazie Lajari, 39, dari Kampung Tampe-Tampe berkata, keadaan itu mendorong perkhidmatannya diperlukan ramai sekali gus membantu meningkatkan pendapatan.
Harapan supaya seluruh Semporna terkawal sepenuhnya turut disuarakan pesara tentera, Jamdi Kulambal, 57. Beliau berharap pihak keselamatan dapat memulihkan sepenuhnya ketakutan penduduk di daerah itu agar mereka segera boleh kembali menjalani kehidupan yang tenang seperti sebelum ini.
Daerah Semporna baru-baru ini dikejutkan dengan peristiwa berdarah apabila kumpulan pengganas dari selatan Filipina menyerang hendap anggota keselamatan di Kampung Simunul yang mengorbankan enam anggota pasukan keselamatan.
Di Lahad Datu, Ketua Polis Daerah Supt. Shamsudin Mat mengesahkan kehadiran polis yang mengawal keselamatan mengembalikan keyakinan masyarakat di situ untuk menjalankan aktiviti harian seperti biasa.
"Penduduk semakin yakin bahawa kejadian yang berlaku di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari Semporna tidak menjejaskan kehidupan harian penduduk dan ia memberi gambaran masyarakat memiliki kepercayaan tinggi terhadap peranan pasukan keselamatan," katanya.
Peniaga sayur Hanisah Kurana, 50, berkata, memang tiada kekacauan berlaku di pekan Lahad Datu dan tindakan beberapa peniaga menutup kedai hanyalah sebagai langkah berjaga-jaga kerana khuatir insiden di Kampung Tanduo pada 1 Mac lalu merebak ke pekan itu.
Peniaga sayur, Umar Ahani, 30, pula mengakui beliau meneruskan perniagaannya seperti biasa walaupun ramai peniaga lain menutup kedai.
Katanya, beliau yakin kehadiran polis mampu memastikan keadaan di pekan itu selamat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: