Friday, March 15, 2013

Ruang membentuk fizikal dan minda kanak-kanak

IBU BAPA tidak perlu risau mengenai keselamatan anak-anak mereka kerana Kizsports & Gym amat menitikberatkan aspek tersebut.


MELANGKAH masuk sahaja ke Kizsports & Gym, sudah kedengaran tawa riang kanak-kanak bermain di taman permainan yang terletak di tingkat dua pusat beli-belah Great Eastern Mall, Jalan Ampang.
Sedang mereka bermain, kelihatan ada ibu bapa memantau dari jauh sambil berbual mesra antara satu sama lain tanpa perlu bimbang akan keselamatan anak masing-masing.
Di satu sudut lain pula, kelihatan kanak-kanak berusia dalam lingkungan tiga dan empat tahun khusyuk melukis dan mewarna.
Sementara itu, di bilik-bilik lain, ada yang sedang belajar membaca, menari balet dan sibuk mencalit warna pada hasil kraf dengan bimbingan tenaga pengajar.
Sudah namanya anak kecil, bukan mudah untuk memenangi hati mereka jika tidak kena caranya. Sewaktu mahu mengambil gambar, ada yang nampak sedikit resah kerana aktiviti ‘eksklusif’ mereka didekati orang dewasa.
Begitupun, lebih ramai yang kelihatan ceria dan ramah saat lensa kamera dihalakan ke arah mereka, seolah-olah mahu berkongsi keseronokan yang sedang dialami.
“Beginilah keadaan setiap hari di sini, sentiasa dimeriahkan dengan kehadiran kanak-kanak yang hadir sama ada untuk bermain atau mengikuti pelbagai program yang ditawarkan di sini.
“Kebanyakan kanak-kanak di sini ditemani ibu bapa. Sungguhpun begitu, ada juga ibu bapa yang meninggalkan anak-anak mereka di sini sementara mereka membeli-belah atau melakukan urusan lain,” kata Penolong Pengurus Pusat Kizsports & Gym Ampang, Ng Su Khiam.
WALAUPUN masih kecil, kanak-kanak ini memberikan komitmen tinggi untuk belajar tarian balet.


Pemantauan
Menurut Su Khiam, ibu bapa yang meninggalkan anak-anak mereka di sini tidak perlu bimbang kerana staf Kizsports & Gym akan sentiasa memantau dan menjaga anak-anak mereka tetapi caj tambahan akan dikenakan bagi setiap jam.
Kanak-kanak yang dihantar ke sini oleh ibu bapa mereka bukan sekadar meluangkan masa bermain semata-mata, malah ada yang mengikuti pelbagai program dan kelas.
Antara program popular ditawarkan oleh Kizsports & Gym ialah Early Learning Academy (prasekolah), Early Fitness Academy (prakecergasan), kelas membaca, kelas seni dan kraf, taekwando, karate dan balet.
“Early Learning Academy akan bermula pukul 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bagi kanak-kanak bermula usia dua tahun ke atas.
“Bagi program-program yang lain, ia diadakan berdasarkan jadual yang telah ditetapkan kecuali kelas seni dan kraf yang dijalankan pada bila-bila masa,” ujarnya yang dikenali sebagai Uncle Eric oleh pengunjung-pengunjung cilik di situ.
Kebiasaannya, pihaknya akan bertanya kepada ibu bapa yang datang, sama ada mereka membawa anak-anak untuk bermain sahaja atau berminat bagi mengikuti program-program yang disediakan.
Andai ada dalam kalangan ibu bapa yang berminat, Eric akan mencadangkan beberapa program yang bersesuaian dengan peringkat umur anak-anak mereka.
“Kita galakkan ibu bapa menjadi ahli Kelab Kizsports & Gym kerana selain anak-anak mereka datang untuk kelas-kelas tertentu, mereka boleh bermain di sini dengan percuma. Jika datang pada hari tiada kelas, ibu bapa dapat masuk bermain dengan kadar istimewa.
Kizsports & Gym yang mempunyai empat cawangan iaitu di Bangsar Village II, Great Eastern Mall, Empire Shopping Gallery dan Desa Parkcity tidak pernah sunyi dengan kunjungan si kecil lebih-lebih lagi pada hujung minggu,” ujarnya sambil memberitahu setiap program yang ditawarkan diajar oleh tenaga-tenaga pengajar berpengalaman dan bertauliah.
Kizsports & Gym bertambah meriah pada hujung minggu kerana ada sahaja pelanggan yang mahu mengadakan parti hari lahir di premis tersebut.

KIZSPORTS & GYM bukan sahaja tempat untuk bermain dan belajar, malah menjadi tempat untuk mencari kawan baharu.


Selain daripada parti hari lahir, Kizsports & Gym juga sentiasa mengadakan sambutan acara istimewa seperti Parti Krismas, Parti Tahun Baru Cina, dan Parti Halloween
Misi Kizsports & Gym adalah untuk menjadi sebuah pusat pusat sehenti bagi pembangunan kanak-kanak baik dari segi fizikal dan mental dengan cara yang menyeronokkan.
Menyentuh mengenai aspek keselamatan, Eric memberitahu bahawa Kizsports & Gym merupakan pusat sehenti rekreasi yang sesuai untuk kanak-kanak kerana ia selamat.
“Setiap daftar masuk dan keluar direkodkan dengan teliti bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
“Pintu keluar masuk dikunci dan dikawal oleh kakitangan bertugas,” katanya sambil memberitahu, seseorang yang mahu menjadi staf Kizsports & Gym perlu ada sifat kasih sayang dan sukakan kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: