Friday, March 15, 2013

Memahamkan Pelajar Isu Kepenggunaan


PROGRAM Kids@Kepenggunaan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik.


MENYEDARI kepentingan ilmu berkaitan kepenggunaan dan cetak rompak amat penting, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil inisiatif menganjurkan Program Kids@Kepenggunaan di sekolah rendah baru-baru ini.
Bertempat di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor,seramai 1,500 murid-murid di sekolah itu didedahkan dengan isu-isu kepenggunaan.
Pelancaran pertama program yang sama diadakan di Sekolah Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur pada bulan November lalu.
Dalam program berkenaan, pelbagai aktiviti telah disusun bagi membolehkan murid-murid memahami isu kepenggunaan dengan lebih jelas.
Antaranya, ceramah pendedahan asas kepenggunaan, kesan penggunaan barangan tiruan, cara-cara mengenali barangan tiruan, tulen dan memeriksa harga barang serta tarikh luput sebelum membeli sesuatu produk.
Menerusi program yang sama itu, murid-murid turut diberi peluang bertanya soalan kepada wakil KPDNKK berkaitan isu-isu kepenggunaan.
Pelaksanaan aktiviti yang menggunakan pendekatan secara santai nyata menarik minat murid-murid berkenaan selain memahami isu kepenggunaan dengan mudah.
Seorang murid, Nuratiqah Abdul Rahman, 10, mengakui dia sebelum ini membeli makanan ringan tanpa melihat tarikh luput.
"Saya tidak tahu, tarikh yang tertera di belakang plastik makanan ringan memberitahu pengguna ia boleh dimakan sehingga tempoh itu sahaja.
"Selepas mendengar ceramah, barulah saya memahami fungsi tarikh yang terdapat pada produk-produk makanan," jelasnya.
Bagi Muhammad Azri Muhammad Azam, 9, pula dia tertarik dengan pameran produk penapis minyak tiruan dan tulen.
"Kedua-dua produk itu nampak sama tetapi hakikatnya terdapat perbezaaan dari segi warna," ujarnya.

SALAH satu aktiviti susun suai gambar menuntut ketelitian yang tinggi.


Turut hadir, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak, Selangor, Khasanah Ibrahim.
Sementara itu, Menteri KPDNKK, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program itu bertujuan untuk memberi kesedaran di peringkat awal tentang keburukan kegiatan cetak rompak dan membeli barangan tiruan.
"Pendidikan kepenggunaan perlu ditanam dalam diri kanak-kanak agar mereka menolak barangan tiruan," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya telah mewujudkan Kelab Pengguna Sekolah (KPS) dan Kelab Koperasi Sekolah di sekolah-sekolah.
Bagaimanapun, pada masa ini KPS secara dasarnya hanya ditubuhkan di sekolah menengah.
"Begitupun, KPDNKK sentiasa mengalu-alukan sekolah rendah yang berminat untuk menubuhkan KPS.
"Bagi sekolah rendah yang menubuhkan KPS, mereka akan diberi geran bantuan kewangan sebanyak RM500 bagi menganjurkan program-program kesedaran berhubung isu-isu kepenggunaan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: