|
RAMAI pembikin filem bebas baik pelajar institusi pengajian tinggi atau orang perseorangan menggunakan peluang mereka untuk mendedahkan bakat dalam penerbitan filem pendek melalui pertandingan Talk To The Lens yang diadakan baru-baru ini.
Bertempat di pawagam TGV Setia Walk, Puchong, pertandingan filem pendek Tamil itu dibuka dengan objektif utama iaitu memberi peluang dan pengiktirafan kepada pembikin filem Tamil Malaysia yang masih baharu.
“Saya melihat ramai pihak yang berminat membuat filem, tetapi mereka sama ada tidak tahu bagaimana, tiada sumber rujukan ataupun hasrat itu tidak dilayan pihak yang sewajarnya memberi bimbingan.
“Oleh itu, Renbash bersama-sama rakan kerjasama kami, Kaadhaldesam.com memulakan cabaran ini,” kata M. Subash Manan, pengarah yang pernah tampil dengan beberapa filem Tamil, Melayu dan Cina.
Terkenal melalui lakonan dan arahan filem Pensil, Subash bersama rakan sekerja, M. Suurya mengakui, kekurangan sumber kewangan dilihat banyak menyekat bakat anak muda yang mahu berkecimpung dalam bidang itu selain beberapa sebab-sebab lain.
“Kami menerima 35 penyertaan dan 16 penyertaan telah disenarai pendek. Lima dipilih sebagai filem terbaik. Semuanya berdasar kualiti filem, jalan cerita, kualiti audio, nilai komersial, pengajaran dan semua elemen yang perlu ada dalam sebuah penyampaian filem pendek,” kata Subash.
Walaupun berpuas hati dengan percubaan para peserta filem pendek, beliau menggesa supaya pembikin filem berusaha dalam menyampaikan produk yang terbaik kerana masih banyak kekurangan yang tidak diambil perhatian oleh pembikin filem mahupun pelakon.
“Mungkin kerana ini kali pertama. Tetapi secara keseluruhannya, kami sangat berpuas hati dan bangga dengan komitmen dan hasil kerja mereka,” katanya yang turut berjanji untuk memberi peluang kepada pemenang pengarah terbaik Talk To The Lens, menjadi pengarah bagi filem beliau yang akan datang dengan geran bernilai RM250,000.
Percubaan pertama
Sementara itu, pemenang filem terbaik pertandingan tersebut, S. Arivalagan, 23, ketika ditemui di majlis penyampaian hadiah berkata, beliau tidak sangka percubaan pertamanya itu berjaya.
“Saya sangat bersyukur atas kejayaan ini. Menggunakan kamera yang dipinjam daripada rakan, saya mahu membuktikan kemampuan saya pada tahap yang lebih besar selepas ini,” kata pemilik filem pendek berjudul Happy Deepavali Aruna.
Menurut Arivalagan yang juga seorang guru, filemnya menceritakan tentang seorang lelaki penghidap kanser yang jatuh hati dengan kehadiran seorang wanita asing bernama, Aruna.
Pemenang anugerah pengarah terbaik pula dimenangi M. S. Kubendaren yang merupakan pelajar jurusan filem digital dan televisyen tahun kedua, Universiti Limkokwing. Menceritakan kisah genre suspens masyarakat, filem pendek kisah benar berjudul Naan Thirudan itu bukan sahaja sarat dengan mesej semasa malah penuh humor.
“Saya dan tiga rakan lain menghasilkan filem pendek ini dengan saya sendiri memegang watak pencuri. Selain filem pendek, kami juga terlibat dalam lima projek komersial lain,” katanya yang melihat peluang yang ditawarkan oleh Renbash sebagai satu platform terbaik kepada pembikin filem baharu seperti mereka.
Subash pada akhir acara meminta agar individu yang mahu melibatkan diri dalam industri perfileman tempatan supaya berhubung dengan beliau atau pihak Renbash kerana pihaknya senantiasa bersedia untuk membantu.
Dalam pada itu, acara pada petang itu juga dimeriahkan dengan majlis prapelancaran sebuah filem Tamil tempatan terbaharu oleh Renbash, Phuyal 18 yang bakal menemui penonton pada tahun ini.
Dibintangi Kavitha Thiagarajan yang memegang watak utama, ia juga merupakan filem pertama bagi dirinya selepas enam tahun berehat daripada melibatkan diri dalam hiburan tempatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: