Wednesday, March 6, 2013
Konsep syariah hospital UIAM
BAGAIMANAKAH seseorang Muslim hendak solat apabila anggota badan mereka dalam keadaan tidak boleh bergerak dan terlentang di katil kerana sakit? Begitu juga halnya dengan wuduk. Apakah kaedah terbaik yang boleh dilakukan sedangkan kaki dan tangan berbalut? Bagaimana pula dengan seorang wanita yang sedang kesakitan hendak bersalin hendak solat apabila masuk waktu solat?
Biarpun tidak mewakili suara majoriti, namun masih ada antara masyarakat Islam mempunyai persepsi bahawa kesakitan yang dihadapi sebagai alasan untuk tidak menunaikan ibadat itu.
Walhal, ia antara satu tunjang fardu ain yang wajib dilaksanakannya walau dalam apa keadaan sekali pun tanpa alasan. Tidak kiralah jika anda dalam keadaan sakit, musafir dan sibuk.
Bagi mereka yang mempunyai keluarga berpengetahuan mengenai kaedah menunaikan solat ketika terlantar sakit, mungkin ia bukan satu masalah.
Kelonggaran
Bagaimana pula dengan mereka yang tidak ada keluarga ataupun kurang pengetahuan agamanya?
Biarpun Islam mewajibkan setiap umatnya menunaikan solat walau dalam apa keadaan sekali pun, namun ia bukanlah satu tuntutan yang membebankan. Bahkan, umat Islam diberi kelonggaran ketika sakit mengikut kemampuan masing-masing.
Contohnya, seseorang pesakit yang menghadapi kesukaran untuk solat berdiri boleh melakukan dengan cara duduk. Bagi mereka yang sukar untuk rukuk atau sujud boleh melakukan secara yang disarankan.
Semua itu antara kaedah yang disarankan dalam Islam bagi mereka yang sakit atau tidak mampu. Hospital pengajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang menawarkan perkhidmatan yang berkonsepkan pematuhan syariah. Ini termasuklah aspek pengajaran latihan solat kepada pesakit.
Dijangka beroperasi pada awal tahun 2016, hospital pengajar UIAM bernilai RM413 juta dengan 300 katil itu bakal dilengkapi perubatan moden dan pelbagai kemudahan lain. Antaranya 20 buah dewan bedah, 10 dewan bersalin, unit haemodialisis, makmal patologi, pengimejan (MRI, angiografi, skan CT dan flourosckopi), rehabilitasi dan klinik pakar.
Istimewanya hospital pengajar ini, perkhidmatan ditawarkan bukan sahaja berlandaskan kepada konsep syariah dengan penekanan halal dan berkualiti malah kemudahan komprehensif turut disediakan kepada pesakit beragama Islam untuk menunaikan solat.
Ia tidak sekadar terangkum kepada penyediaan ruang solat, bahkan pesakit yang tidak dapat bergerak ke surau akan diberi penerangan berhubung kaedah menunaikan solat di atas katil oleh doktor, jururawat mahupun pelajar perubatan.
Lebih menarik, susunan katil ini lazimnya menghadap kiblat sekali gus memudahkan pesakit beragama Islam untuk menunaikan fardu ain itu.
Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, bagi mengaplikasikan integrasi perspektif Islam dalam perkhidmatan perubatan, penting bagi doktor, jururawat dan pelajar perubatan mempunyai pemahaman, pengetahuan berhubung perkara berkenaan.
Menyedari kepentingan ini, setiap pelajar perubatan UIAM diwajibkan mengambil mata pelajaran Islamisation of Human Knowledge.
Berbentuk lebih praktikal, mata pelajaran ini akan mengajar atau melengkapkan komuniti pelajar perubatan ini dengan hukum atau kaedah menunaikan solat ketika sakit termasuklah tata cara tayamum. Tayamum sebagai ganti wuduk bagi orang sakit yang tidak boleh menggunakan air.
Lebih praktikal
Menurut Timbalan Rektor (Akademik dan Perancangan), Prof Datuk Dr. Md. Tahir Md. Azhar, pengaplikasian pengetahuan kaedah menunaikan solat ketika sakit boleh dilakukan secara komprehensif oleh kakitangan, pelajar perubatan apabila beroperasinya hospital ini.
"Kursus kami lebih praktikal kerana kalau sekadar ceramah, sesiapa sahaja boleh bagi. Tetapi apabila disuruh mengajar pesakit solat, pelajar perubatan kekok. Sebab itulah perlunya praktikal," katanya.
Kewujudan hospital pengajar UIAM mesra ibadat ini bukan bertujuan untuk bersaing dengan hospital awam, tetapi ia dilihat sebagai pelengkap perkhidmatan perubatan menerusi kepakaran berkaitan.
Selain itu, hospital pengajar akan memudahkan pelajar perubatan mengaplikasikan pengetahuan yang dimiliki, membuka lebih ruang dan pendedahan berkaitan dunia berkenaan.
Presiden UIAM Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, penubuhan hospital ini juga bakal menjadi gerbang pintu kepada usaha-usaha penyelidikan. Pada masa sama, khidmat perubatan kepada masyarakat tidak akan diabaikan khususnya berkaitan dengan perkhidmatan perubatan pakar.
"Hospital ini bakal menjadi mercu tanda dalam usaha ke arah meningkatkan bidang pelancongan perubatan di Pahang.
"Ia juga akan menjadi pemangkin dalam memacu pertumbuhan dan kemajuan bidang perubatan dan sains kesihatan di Pahang," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: