Wednesday, March 6, 2013
Nasib pelombong kanak-kanak
SANJAY CHHETRI, 13, mempunyai perasaan takut yang sering bertandang di dalam fikirannya. Dia takut suatu hari nanti, lombong yang gelap dan lembap di Rymbai, India iaitu tempat dia bekerja akan runtuh lalu menimbusnya hidup-hidup.
Sama seperti beribu-ribu kanak-kanak lain di pedalaman timur laut India, jadual kerja Chhetri bermula pada tengah malam. Dia akan menggali lubang, merangkak melalui terowong sempit dan memotong serpihan batu arang.
Dengan ketinggian 137 sentimeter (sm) dan tubuh yang kurus kering, kerja tersebut adalah pilihan yang sesuai untuknya. Ia sebuah industri yang amat menguntungkan di negeri Meghalaya.
Lubang-lubang yang kurang sempurna di lombong batu arang itu terlalu kecil untuk kebanyakan orang dewasa untuk memasukinya.
Setiap hari, Chhetri melalui beberapa laluan bertangga yang licin dalam lorong gelap sambil membawa dua buah beliung dengan lampu suluh terpasang di kepala.
Walaupun sudah tujuh bulan bekerja, dia masih lagi melangkah dengan berhati-hati supaya tidak terjatuh ke dalam lubang yang mempunyai kedalaman 50 meter itu.
Sebaik dia sampai di dasar, Chhetri mencangkung serendah yang boleh dan menyusup ke dalam lubang dengan ketinggian 61 sm sambil membawa gerabak kosong di belakangnya.
Di situlah mimpi ngeri remaja itu bermula.
"Amat menakutkan untuk membayangkan bumbung ini runtuh di atas saya ketika bekerja," katanya.
Selepas 12 jam bekerja, Chettri akan menerima 200 rupee (RM12.40) untuk sehari bekerja, lebih banyak berbanding ibu bapanya yang bekerja sebagai buruh di ibu negeri, Shillong.
Anak lelaki sulung daripada 10 beradik itu terpaksa meninggalkan dunia persekolahan dua tahun lalu apabila keluarganya tidak lagi mampu membayar yuran.
"Kerja ini amat sukar, saya bersusah- payah menarik keluar gerabak yang saya penuhkan dengan batu arang," luahnya.
Dia kelihatan menggigil dalam jean yang kotor dengan kesan batu arang dan berselipar mendedahkan kaki yang berkedut. Kakinya nampak seperti orang tua.
Kata Chhetri, ibu bapanya sering memintanya bekerja dengan mereka, tetapi dia belum bersedia untuk meninggalkan lombong itu.
"Saya perlu menyimpan duit, jadi saya boleh sambung belajar semula. Saya rindu dengan rakan-rakan, malah masih terbayang alam persekolahan. Saya juga mempunyai impian," ceritanya lagi.
Pengurus lombong, Kumar Subba berkata, kanak-kanak seperti Chhetri muncul beramai-ramai di luar lombong batu arang Meghalaya untuk memohon kerja.
"Budak-budak baharu sering muncul di sini dan mereka tipu mengenai usia. Katanya sudah berumur 20 tahun tetapi dengan hanya melihat wajah sudah mengetahui mereka terlalu muda," ujarnya.
Tangga lombong
Surya Limu yang mempunyai wajah keanak-anakan merupakan antara pekerja baharu yang menyertai kumpulan Subba di kampung Rymbai.
Limu mendakwa berusia 17 tahun dan meninggalkan negaranya, Nepal untuk ke Meghalaya selepas bapanya mati dalam tragedi kebakaran. Bapanya meninggalkan seorang balu dan dua orang anak.
Tidak seperti rakan sekerja lain yang lebih berpengalaman, Limu bergerak terlalu perlahan menuruni tangga lombong yang berbahaya.
Wajahnya yang lembut itu jelas membayangkan kepayahan yang ditanggung.
"Sudah tentu saya rasa takut, tetapi apa yang boleh saya buat? Saya memerlukan duit, apa cara lagi yang membolehkan saya terus hidup?" keluhnya.
Buruh kanak-kanak secara rasmi diharamkan di India dengan beberapa negeri mengadakan undang-undang sesiapa mengaji pekerja bawah 18 tahun di industri berbahaya merupakan kesalahan tidak boleh diikat jamin.
Lebih-lebih lagi, Akta Lombong India 1952 melarang syarikat-syarikat batu arang menggaji sesiapa sahaja bawah 18 tahun bekerja di dalam lombong.
Bagaimanapun, Menghalaya dikecualikan kerana status istimewanya sebagai negeri timur laut yang memiliki populasi puak-puak tradisonal.
Itu bermakna, sesetengah sektor seperti perlombongan, undang-undang kelaziman melangkaui peraturan kebangsaan.
Pemilik lombong boleh menggali tanah untuk batu arang di negeri tersebut dan undang-undang kelaziman tidak memerlukan mereka menyediakan langkah-langkah keselamatan di tempat kerja.
Menurut badan sukarela berpangkalan di Shillong, Impulse NGO Network, kira-kira 70,000 kanak-kanak kini bekerja di lombong-lombong di Meghalaya dengan beberapa ribu lagi bertugas di depoh batu arang.
"Pemilik lombong mendapati lebih murah mengeluarkan batu arang menggunakan kaedah lama, tidak saintifik dan menggaji kanak-kanak.
"Pihak polis pula menerima rasuah untuk tidak mengendahkan perkara tersebut," kata aktivis Impulse, Rosanna Lyngdoh.
Selepas berdekad-dekad operasi perlombongan tanpa undang-undang, negeri berkenaan akan menguat kuasa polisi melombong pertama pada tahun ini.
Teknik lubang tikus
Draf perundangan itu mengarahkan pemilik-pemilik lombong tidak boleh menggaji pekerja kanak-kanak, tetapi ia masih membenarkan teknik melombong 'lubang tikus'.
"Selagi mereka membenarkan perlombongan lubang tikus, kanak-kanak akan terus diupah di lombong kerana saiz mereka cukup kecil untuk merangkak masuk," kata Lyngdoh.
Kemalangan dan pengebumian senyap adalah perkara biasa apabila tiada kawalan menggali lombong selama bertahun-tahun membuatkan lubang-lubang tikus tidak stabil dan mudah runtuh pada bila-bila masa.
Gopal Rai menetap bersama tujuh pelombong lain di sebuah pondok yang diperbuat daripada logam dan buluh bertutup kain terpal pada ketinggian antara 244 hingga 305 sm.
Menurutnya, jarang ada wang pampasan ganti rugi. Jika ada pun, bayaran dibuat kepada kanak-kanak yang tercedera sahaja.
Remaja berusia 17 tahun itu membelanjakan gajinya untuk membeli pakaian, muat turun telefon bimbit dan memotong rambut gaya tercacak kesan pengaruh hiburan Korea setiap dua minggu sekali.
"Kadangkala saya berasa baik-baik sahaja, tetapi pada hari-hari lain, terasa bagai sukar mahu bernafas pun ada," kata Rai.
Dia kelihatan seperti tiada sebab untuk membuat pemeriksaan dengan doktor.
"Apakah keperluannya? Lagipun, bila saya keluar rumah untuk bekerja, belum pasti lagi saya boleh pulang dalam keadaan masih bernyawa," ujarnya menoktah bicara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: