Saturday, March 2, 2013

Model pertama guna platform MQB



SAMA ada kita sedar atau tidak, Volkswagen (VW) Golf mempunyai sejarah yang agak panjang di negara ini. Bagi orang lama, mereka sudahpun mengetahui tentang model kompak itu menerusi generasi-generasi awalnya.
Golf membuat kemunculan semula dengan ketara menerusi generasi kelima sejak beberapa tahun lalu. Ketika itu, ia menjadi pilihan orang muda yang berduit. Walaupun pada peringkat awalnya ia dibawa masuk oleh grey importer, persona Golf membuatkan orang ramai tidak berfikir panjang untuk memilikinya.
Kini, Golf merupakan antara model terlaris yang ditawarkan oleh Volkswagen Group Malaysia (VGM). Selepas sukses dengan Golf generasi keenam yang berada di bilik pameran sekarang, VGM dikatakan bakal tampil dengan dengan Golf generasi ketujuh (Golf VII) tidak lama lagi.
Untuk makluman, Golf baharu diperkenalkan kepada dunia pada 4 September 2012, selepas 38 tahun berada di pasaran dan terjual lebih 29 juta unit di seluruh dunia. Model itu benar-benar mendefinisikan semula segmen kereta kecil untuk keluarga.
Harus tahu bahawa Golf generasi ketujuh itu merupakan model serba baharu. Bukan itu sahaja, ia juga menjadi model pertama keluaran VW yang dibina berasaskan platform Modular Transverse Matrix (MQB) atau bahasa Jermannya, Modularer Querbaukasten.
Walaupun sudah menjadi salah sebuah pengeluar kenderaan terbesar di dunia, VW tetap memerlukan MQB sebagai salah satu cara paling ekonomikal untuk terus bersaing dalam industri automotif dunia yang semakin sengit.
Sinergi teknologi utama

GOLF menawarkan ruang tempat duduk belakang yang selesa dan luas.


MQB bertujuan mengeksplotasi sinergi teknologi-teknologi utama tanpa mengira kelas kenderaan dan jenama yang bernaung di bawah VW.
Kesimpulannya, MQB menjadi paksi kepada penghasilan model baharu VW, Audi, Skoda dan Seat selepas ini. Lebih menarik lagi, MQB membolehkan teknologi-teknologi yang biasanya eksklusif untuk jentera mewah diakses oleh model keluaran massa.
Ia menyeragamkan banyak parameter komponen kenderaan tanpa mengira kelas atau jenama. MQB merangkumi segmen A0 hingga B. Bagi jenama VW, ia meliputi model seperti Polo, Beetle, Golf, Scirocco, Jetta, Tiguan, Touran, Sharan, Passat dan Volkswagen CC. Pada masa akan datang, semua model tersebut secara teorinya boleh dihasilkan di atas saluran pemasangan yang sama.
Di atas platform MQB, Golf baharu dikatakan lebih ringan, selamat, maju, luas, cekap dan lengkap cirinya berbanding Golf sebelumnya.
Dilihat secara luarannya, Golf baharu menampilkan gayaan lebih kemas, sporty dan tidak berlebih-lebih. Memang betul, walaupun dimensi tubuh telah bertambah, reka bentuk keseluruhan membuatkan sesiapa sahaja mengenalinya sebagai sebuah Golf.
SISTEM Infotaimen Modular (MIB) yang terdiri daripada skrin sentuh dan paparan navigasi tiga dimensi (3D).


Menurut Ketua Pereka Bentuk Volkswagen AG, Walter de Silva, salah satu faktor utama kejayaan Golf adalah kesinambungan gayaannya.
Satu perkara penting yang perlu anda tahu, Golf itu 100 kilogram lebih ringan berbanding model sebelumnya. Justeru, ia 23 peratus lebih cekap dalam aspek penggunaan bahan api.
Bahagian kokpit, sudut konsol tengah diarahkan kepada pemandu. Rekaan ergonomik itu membolehkan pemandu lebih mudah untuk mencapai butang kawalan sistem infotaimen dan pendingin hawa. Ruang tersebut juga dihasil agar lebih mewah menerusi penggunaan material berkualiti tinggi.
Golf VII dilancarkan bersama dua generasi enjin serba baharu iaitu TSI (EA 211) berkuasa 60PS hingga 150PS dan enjin diesel TDI berkod EA 288 dengan kuasa mencecah 90 hingga 190PS.
Untuk pasaran tempatan, enjin yang dibekalkan pastinya enjin petrol TSI yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DSG) tujuh kelajuan. Cuma berapa kuasa PS sahaja yang belum dapat dipastikan.
Menyentuh tentang ciri keselamatan pula, Golf menerima penghormatan untuk menjadi model pertama dipasang dengan beberapa sistem bantuan pemanduan yang inovatif. Sebagai contoh, brek multipelanggaran yang belum pun digunakan oleh model mewah lain.
Sistem itu berfungsi memberhentikan sepenuhnya kenderaan selepas berlaku pelangaran bagi mengurangkan tenaga kinetik. Sekali gus meminimumkan impak pelanggaran kedua.

SUSUN atur butang kawalan dan rekaan papan pemuka yang ergonomik.


Selain brek multipelanggaran, Golf turut dilengkapi sistem bantuan lain seperti Adaptive cruise control (ACC), Front Assist, City Emergency Braking, Lane Assist, Park Assist, Sign Assist, Light Assist, pengesan papan tanda, sensor keletihan dan sistem perlindungan penumpang yang proaktif.
Soalan seterusnya, berapakah harga hot hatch itu? Saya percaya VGM akan cuba sedaya upaya untuk meletakkan tanda harga tidak terlalu mahal berbanding model yang digantinya. Untuk menurunkan harga, tidak mustahil akan ada ciri-ciri yang terpaksa ditiadakan.
“Sama ada bergerak atau berhenti, Golf seolah-olah dibina dengan material yang lebih kuat berbanding hatch lain di pasaran. Golf bukan lagi sebuah kereta yang anda perlukan, tetapi jentera yang anda mahukan,” kata Editor Perunding Top Gear, Paul Horrell.
Anda sudah tidak sabar untuk menunggu kehadiran Golf baharu? Saya pun sama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: