Saturday, March 2, 2013
Maserati GranTurismo Sport
PENGIMPORT dan pengedar tunggal kenderaan jenama Maserati di Malaysia, Naza Italia Sdn. Bhd. (Naza Italia) baru-baru ini menambah satu lagi jentera eksotik dalam pasaran tempatan iaitu Maserati GranTurismo Sport. Model yang dilancarkan di pusat 3S (pameran, jualan dan alat ganti) Maserati di Naza Automall di Petaling Jaya, Selangor itu merupakan jentera yang mewarisi tradisi model GranTurismo, produk paling berjaya dalam sejarah Maserati.
Sejak diperkenalkan sewaktu Geneva Motor Show pada tahun 2007, sudah ada kira-kira 15,000 pemilik jentera GranTurismo di seluruh dunia. Varian Sport menjadi pelengkap keluarga GranTurismo apabila ia mengisi kekosongan antara model GranTurismo dan GranTurismo MC Stradale.
GranTurismo Sport dipasang enjin V8 4.7 liter dengan dua pilihan transmisi enam kelajuan. Pilihan itu ialah kotak gear automatik (MC Auto Shift) dan electro-actuated (MC Shift). Ia mampu menghasilkan kuasa 460hp @ 7,000rpm dan kuasa kilas setinggi 520Nm @ 4,750rpm.
Kelajuan maksimum adalah 300 kilometer sejam (km/j) untuk varian dengan transmisi MC Shift dan 298km/j (MC Auto Shift). Pecutan dari titik pegun ke 100km/j mengambil masa 4.7 saat bagi MC Shift dan 4.8 saat untuk MC Auto Shift.
Sistem penyerap hentak aktif model 2+2 tempat duduk itu dinaik taraf dengan menggunakan sistem Sport Skyhook. Keupayaan membrek disandarkan kepada cakera brek jenis berkembar dengan angkup Brembo.
Kelainan utama pada model Sport jelas kelihatan menerusi lampu DRL (Daytime Running Lights) LED. Tidak lupa juga penggunaan lampu jenis kluster Xenon pada lampu utamanya. Secara ringkas, rekaan model sport mewah itu mengambil ilham daripada varian GranTurismo MC Stradale.
Pada hari pelancaran, Naza Italia sudah menerima dua tempahan untuk model baharu itu. Bayaran tempahan adalah sebanyak RM100,000 seunit. Harga kenderaan sport touring itu bermula RM1.118 juta sebuah. Harga itu tidak termasuk insurans, cukai jalan dan caj-caj lain. Pendek kata, harga asas.
Tawaran Maserati dijangka lebih meriah tidak lama lagi apabila ada khabar tiga model baharu bakal memasuki pasaran. Model yang disebut-sebut ialah Quattroporte, Ghibli dan GranCabrio Sport.
Ketibaan tiga model itu bakal membantu Maserati menerokai segmen-segmen baharu dan bukannya kepada sport touring semata-mata.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: