Saturday, March 2, 2013

Lancar dan praktikal


PELEKAT rekaan grafik kini ditampilkan pada badan skuter Suzuki SkyDrive.


SESI tunggang uji kali ini melibatkan model Suzuki SkyDrive. Skuter itu bagaimanapun bukanlah baru di pasaran tempatan.
Jentera jenama Jepun itu telah diperkenalkan pada tahun 2009 oleh Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (Suzuki Assemblers) di Genting Highlands, Pahang.
SkyDrive direka dan dibangunkan sepenuhnya di Jepun. Ia mewarisi tradisi kecemerlangan dan teknologi inovatif Suzuki.
Kedua-dua aspek itu diadun pada reka bentuk dan prestasi skuter tersebut. Sasaran pelanggannya adalah golongan muda urban dan peminat skuter.
Kali pertama memandang SkyDrive, jelas terpapar rekaan yang moden dan futuristik. Set lampu hadapan yang besar dengan reka bentuk tiga dimensi dan garisan badan menguatkan seni rekaannya. Madgad yang melindungi percikan air daripada roda hadapan menjadi pelengkap.
Gayaan sebegitu rupa ada rasionalnya. Ia membantu meningkatkan lagi faktor aerodinamik skuter seberat 107 kilogram itu.
Perkara itu dirasai sewaktu menunggang. Aliran angin di belah dan disalurkan keluar dengan bantuan garis badan dan keluk pada SkyDrive.
SkyDrive dipasang dengan enjin empat lejang silinder tunggal sejukan udara bersesaran 124cc. Untuk pasaran Malaysia, jentera itu hanya didatangkan bersama sistem karburator jenis Mikuni BS 26 berserta transmisi pembolehubah berterusan (CVT).
Enjin tersebut dikatakan mampu menghasilkan kuasa 6.9kW @ 7,500rpm, manakala tork tertinggi adalah 9.6Nm @ 6,500rpm. Ada dua cara menghidupkan enjin sama ada menerusi butang pemula atau penendang kaki.
Baru-baru ini, saya berpeluang menunggang uji skuter itu. Untuk menghidupkan enjin, tuli brek perlu ditarik terlebih dahulu sebelum menekan butang penghidup. Anda boleh memilih untuk menarik tuli kanan atau kiri untuk tujuan menghidupkan enjin.
Ini perbezaan SkyDrive. Lazimnya, hanya tuli kiri berperanan membantu operasi menghidupkan enjin skuter. Tuli kanan tidak menjadi pilihan pengeluar lain kerana ia berkait rapat dengan soal keselamatan.
Andainya tongkat tunggal tidak dinaikkan, enjin tetap boleh dihidupkan. Saya mendapati tiada suis untuk mematikan enjin dipasang pada tongkat tunggal SkyDrive. Jadi, sila pastikan tongkat sudah dinaikkan sebelum anda memulakan tunggangan.
Deruman bunyi ekzos cukup lembut walapun saya memulas pendikit minyak secara mendadak. Enjin tidak meraung dengan kuat. Hamburan kuasa cukup lancar dan sempurna dengan adanya teknologi kotal gear CVT.

SET lampu belakang kelihatan moden dan memainkan tugas dengan cemerlang.


Saya menunggang jentera menyusuri laluan di sekitar ibu negara dan Selangor selama sembilan hari sebagai motosikal kegunaan harian.
Sepanjang tempoh itu, saya membuat pengisian minyak petrol sebanyak tiga kali (RM5 setiap pengisian). Saiz tangki minyak ialah empat liter.
Pengisian pertama membabitkan kelajuan tunggangan antara 90 kilometer sejam (km/j) sehingga 110kmj. Saya mencatat jarak perjalanan sekitar 68km sahaja.
Jarak itu sama seperti menunggang dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di ibu negara ke bandar Seremban, Negeri Sembilan.
Ujian kedua dengan nilai isian minyak petrol sama dilakukan untuk tunggangan santai. Saya mencatat perjalanan sehingga 116km dengan mengekalkan kadar kelajuan tunggangan di bawah paras 60kmj.
Sepanjang sesi tunggangan saya mendapati suspensi teleskopik untuk tayar hadapan dan penyerap hentak tunggal pada roda belakang menawarkan tahap keselesaan yang masih boleh diterima.
Saiz tayar hadapan bersaiz 70/90 dan 80/90 (roda belakang) pada rim berukuran 14 inci sedikit sebanyak membantu meningkat kestabilan ketika menyusuri selekoh.
Kelajuan maksimum berjaya diperoleh ialah 110kmj.
Keupayaan memberhentikan SkyDrive diserahkan kepada brek cakera hadapan dan gelendong pada roda belakang.
Tugas tersebut disifatkan sebagai bersesuaian untuk mengawal hamburan kuasa enjin skuter berkenaan.
Satu kekurangan nyata jentera Suzuki ini adalah kapasiti ruang simpanan barang di bawah tempat duduknya. Ia agak terhad. Untuk menyelesaikannya, anda boleh memasang kotak simpanan barang.
Ada khabar mengatakan Suzuki Assemblers bakal membawa masuk beberapa model motosikal berkuasa tinggi untuk pasaran Malaysia dalam beberapa bulan akan datang. Benar atau tidak, sama-sama kita nantikannya nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: