Saturday, March 2, 2013
Model era baharu Nissan!
PASARAN kereta hari ini sangat kompetitif. Dahulu terdapat tiga kuasa utama iaitu jenama Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun. Mereka bersaing sesama sendiri dan saiz pasaran cukup untuk menuai keuntungan.
Tetapi tidak buat masa sekarang apabila pasaran semakin besar tetapi sangat kompetitif. Ia didorong oleh beberapa faktor seperti kemerosotan ekonomi, peralihan minat pembeli dan banyak model alternatif untuk sesuatu segmen.
Pembeli hari ini ditawarkan dengan banyak pilihan terutama daripada pengeluar Korea Selatan. Strategi Kia dan Hyundai adalah melambakkan pasaran dengan kenderaan berharga lebih murah dan spesifikasi tinggi.
Pengguna masa kini pula sudah bijak dan tahu menilai. Justeru, terbukti pengeluar Korea Selatan menjadi ‘pengacau’ yang berjaya.
Sudah biasa kita dengar daripada pengguna bahawa kereta buatan Korea lebih berbaloi jika dibandingkan di atas kertas. Bahkan ada yang langsung menyindir kereta buatan Jepun yang sudahlah mahal, tetapi dengan spesifikasi biasa-biasa sahaja.
Bukan itu sahaja, reka bentuk kereta Korea juga sudah menjadi penanda aras atau contoh untuk dibuat perbandingan dengan kereta lain. Dengan trend tersebut, adakah pengeluar kereta Jepun ingin duduk sahaja dan melihat jualan kenderaan mereka semakin terhakis?
Kebelakangan ini, pengeluar Jepun telah melancarkan serangan balas dengan menghasilkan kereta yang lebih arus perdana. Toyota misalnya mengambil serius kritikan yang mengatakan reka bentuk kereta mereka membosankan. Honda pula sudah bertindak dengan produk masa depan yang nampak meyakinkan. Namun masih dikira sebagai agak lambat untuk bertindak.
Komitmen Inovasi
Satu lagi pengeluar Jepun yang penting ialah Nissan. Mereka kini nampaknya bersedia untuk bersaing dalam lapangan yang sengit ini. Pengenalan model baharu iaitu Note pada bulan Mac 2013 merupakan isyarat gelombang model-model baharu yang lebih berani akan diperkenalkan Nissan.
Komitmen pengeluar itu terhadap inovasi, gayaan dan sesuatu yang menyeronokkan dibuktikan melalui beberapa model seperti Qashqai dan Juke.
Note merupakan penyambung projek tersebut. Ia dipakejkan dengan teknologi keselamatan terkini pada harga mampu milik.
Memetik laporan agensi berita Newspress, Note ialah sebuah kereta dalam segmen B yang dibangunkan di Eropah untuk pelanggan Eropah. Kerja-kerja kejuruteraannya dilakukan di Pusat Teknikal Nissan Eropah (NTCE) di United Kongdom (UK) dan Sepanyol dengan kilang produksi di Sunderland, UK.
Faktor jualan terbesar Note ialah teknologi keselamatannya yang dikenali sebagai Safety Shield. Teknologi tersebut terdiri daripada beberapa sistem iaitu Blind Spot Warning System yang akan memberi amaran jika terdapat objek pada sisi kereta.
Lane Departure Warning pula memberi amaran jika kereta terkeluar dari laluannya. Sementara Moving Object Detection pula berfungsi memberi amaran jika terdapat sebarang pergerakan di luar kereta.
Ketiga-tiga sistem tersebut disokong oleh kamera belakang yang turut dilengkapi sistem cucian dan pengeringan jika lensa kamera kotor.
Note juga merupakan kereta segmen B pertama dilengkapi Around View Monitor (AVM), kamera keliling yang berfungsi sebagai alat bantuan untuk proses parkir. Ciri-ciri tersebut sangat membantu ketika memarkir kereta dan mengurangkan risiko kemalangan kecil terutama di parkir bandar.
“Note ialah model yang penting dalam barisan produk kami. Model ini menggabungkan rekaan bijak dan teknologi yang belum pernah ditawarkan dalam segmen B. Kami menggunakan reka bentuk dan inovasi kejuruteraan bagi membolehkan teknologi premium mampu dimiliki ramai,” jelas Ketua Pengurus Pemasaran Nissan Eropah, Geraldine Ingham.
Sedar tidak bahawa ungkapan sebegitu biasanya diucapkan oleh wakil-wakil dari pengeluar kereta Korea?
Bagi menggerakkan Note, tiga opsyen enjin ditawarkan dengan teknologi stop-start sebagai ciri standard untuk semua varian. Antara enjin yang ditawarkan adalah bersesaran 1,198cc 12 injap tiga silinder. Enjin tersebut berkuasa 80PS pada 6,000rpm dengan tork 110Nm pada 4,000rpm.
Enjin kedua ialah 1.2 liter DIG-S berkuasa 98PS @ 5,600rpm dengan 142Nm @ 4,000rpm. Pilihan ketiga ialah enjin 1.5 liter turbo diesel berkuasa 90PS yang baru dibangunkan hasil usahasama Renault-Nissan Alliance.
Benar kata orang, persaingan tidak semestinya melemahkan. Malah sesebuah organisasi akan mencari jalan keluar untuk tampil dengan lebih hebat. Apa yang berlaku dalam dunia automotif sekarang benar-benar menguntungkan pengguna.
Dalam konteks ini, kereta menjadi lebih selamat dan bernilai untuk dimiliki. Terima kasih Kia dan Hyundai.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: