Saturday, March 23, 2013

Kehijauan Rumah Rehat Kuala Kubu Bharu


HOTEL bajet ini menawarkan penginapan yang privasi kepada para tetamu.


MENDAKI Bukit Kutu, mandi-manda di Sungai Chiling atau mandi air panas merupakan sebahagian daripada aktiviti jika berkunjung ke Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Tidak kurang juga, orang ramai dari arah Kuala Lumpur menjadikan Kuala Kubu Bharu sebagai transit untuk ke Bukit Fraser, Pahang.
Kewujudan pusat-pusat pengajian tinggi atau pusat pengajian seperti Darul Quran, Maktab Rendah Sains Mara, Pusat Belia Negara, Pusat Latihan Khidmat Negara dan Pusat Latihan Polis membuatkan mukim tersebut tidak sunyi daripada dikunjungi orang luar.
Justeru, jika anda merancang untuk bermalam di pekan Kuala Kubu Bahru, apa kata berkunjung ke Rumah Rehat Kuala Kubu Bharu yang terletak di Jalan Padang Golf.
Bola golf
Sesuai dengan nama jalan tersebut, rumah rehat itu dikelilingi padang golf yang menghijau. Rumah rehat itu satu-satunya pusat peranginan di kawasan tersebut yang dikelilingi padang golf, gunung-ganang dan hutan belukar.
“Ekoran itu, kawasan ini tidak tercemar dengan asap kenderaan atau kilang. Bagi pemain-pemain golf menginap di sini pastinya satu kelebihan kerana lokasi yang berdekatan dengan padang sekali gus memudahkan mereka bermain golf,” kata Pengurus Besar S. Fik Services, Mohd. Taufik Yahaya ketika ditemui baru-baru ini.
Suasana tenang dan udara segar dapat dinikmati di rumah rehat yang dikategorikan sebagai hotel bajet itu. Ia hanya mempunyai 12 buah bilik dilengkapi pendingin hawa, televisyen, tandas, mandian panas dan telefon.

AKTIVITI barbeku menjadi kegemaran pelanggan terutamanya yang datang dalam kumpulan besar.


Kemudahan-kemudahan disediakan termasuk dewan seminar yang boleh memuatkan 250 orang, surau, restoran, bilik mesyuarat dan tempat permainan kanak-kanak.
Pengunjung yang ingin melakukan aktiviti barbeku juga boleh berbuat demikian kerana tempat memanggang turut disediakan.
Sebaik melangkah masuk ke dalam bilik, pengunjung dapat merasai ruangan dalaman yang selesa untuk menginap.
Antara pilihan bilik yang disediakan ialah bilik keluarga, deluxe dan standard dengan harga dari RM90 hingga RM250 semalam. Bagi yang ingin menambah tilam boleh juga berbuat demikian.
Mohd. Taufik berkata, sambutan pengunjung amat menggalakkan terutamanya pada hujung minggu dengan tempahan mencecah 90 peratus.
“Ekoran harga bilik murah, keluarga yang datang dengan ahli keluarga besar biasanya menyewa lebih daripada sebuah bilik.
“Justeru, mereka yang datang tanpa membuat tempahan awal dikhuatiri pulang hampa,” katanya yang turut memberi diskaun harga bilik pada hari biasa sebanyak 20 peratus bagi bilik-bilik tertentu.
Bagi keluarga yang ingin mengadakan majlis seperti kenduri, perkahwinan, tahlil, berzanji dan hari keluarga boleh berbuat demikian dengan menyewa dewan yang mampu memuatkan 400 orang.
Kedudukannya agak jauh dari penempatan orang ramai pastinya memberi privasi pada majlis yang bakal dianjurkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: