Saturday, March 23, 2013

Kembara bermotor rentas sempadan


AHLI KKBUM sempat mengambil gambar kenangan di Kompleks Imigresen Sadao.


KATA orang, jauh perjalanan luas pemandangan. Berpeluang berkelana sejauh kira-kira 500 kilometer (km) menunggang motosikal berkuasa tinggi ke Sadao, selatan Thailand baru-baru ini sememangnya mengujakan sebahagian ahli Kelab Kembara Bermotosikal Utusan Melayu (KKBUM).
Mula ditubuhkan pertengahan tahun lalu, ia merupakan kembara sulung KKBUM sebagai persediaan mental dan fizikal menjelang acara utama kelab iaitu Kembara Queen Street menuju Singapura yang dijangka berlangsung pada Jun depan.
Percaya atau tidak, ia sememangnya tidak semudah yang digambarkan dengan kata-kata. Apa tidaknya, majoriti ahli KKBUM rata-ratanya sudah lama tidak menempuh perjalanan jauh.
Kami berkumpul di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur pukul 7.30 pagi pada 9 Mac lalu. Sebelum bertolak, kami melakukan pemeriksaan rapi terhadap jentera masing-masing termasuk petrol, tayar dan rantai.
Empat perhentian
Memulakan perjalanan awal pagi hari itu memang satu keputusan yang tepat kerana cuaca baik serta tidak terlalu banyak kenderaan di lebuh raya. Selepas hampir sejam menunggang, kami tiba di perhentian pertama iaitu kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah, Perak untuk bersarapan.
Kami berhenti tidak lama memandangkan masih ada tiga perhentian R&R yang perlu kami singgah iaitu di Gunung Semanggol, Perak selain Gurun dan Changlun, Kedah sebelum tiba di Sadao.
Sepanjang perjalanan itu, beberapa ahli ditugas melaksanakan tanggungjawab sebagai marshal bagi memastikan kembara kami tidak tertangguh.
Di R&R Gunung Semanggol, kami berehat sekitar 10 minit untuk mengisi petrol sebelum memakan masa lebih lama di R&R Gurun bagi urusan insurans kenderaan sepanjang berada di sempadan.
Bagi mereka yang berhasrat berkonvoi ke Thailand, jangan sesekali menghilangkan insurans berkenaan sepanjang berada di sana jika tidak mahu motosikal anda 'gagal' pulang bersama anda ke Malaysia.
Bukan apa, boleh 'menangis tidak berlagu' mengenangkan nasib badan gara-gara kecuaian diri sendiri.
Kira-kira pukul 2 petang, kami akhirnya tiba di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam, Kedah sebelum bermalam di Sadao dan bertolak pulang keesokan paginya.

KEPENATAN berkonvoi tidak dirasakan apabila kami berpeluang menikmati variasi juadah enak.


Syurga makanan
Keletihan menunggang seolah-olah tidak dirasai apabila berpeluang menikmati pelbagai juadah enak di Sadao terutamanya menjelang waktu malam.
Di Sadao, kami tidak bimbang mencari makanan halal memandangkan majoriti peniaga di sana beragama Islam.
Selain comel bertudung, peniaga di sana juga cukup ramah meskipun ada antara mereka yang kurang fasih berbahasa Melayu mahupun Inggeris.
Dianggap seolah-olah 'syurga' makanan, segenap pelosok gerai dan restoran telah kami jelajah untuk mengetahui sendiri kelazatan makanan tradisional di sana berbanding hanya mendengar cakap-cakap orang sebelum ini.
Juadah wajib pastilah pulut ayam goreng, pulut mangga dan pulut durian yang enak dimakan bersama santan pekat.
Seorang peniaga tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Kun Mon, 33, memberitahu, juadah berkenaan sememangnya menjadi pilihan rakyat Malaysia yang melancong ke Sadao.
Dia yang merupakan generasi ketiga keluarganya berniaga pulut ayam sejak puluhan tahun dahulu memberitahu, juadah itu bagaikan 'duta pelancongan' bagi mempromosikan pekan Sadao kerana rasanya yang lazat dan dijual pada harga berpatutan.
Satu lagi juadah istimewa yang tidak wajar dilepaskan ketika berada di Sadao ialah daging salai. Rasanya masam-masam manis, selain dagingnya juga telah direbus empuk.
Selain itu, kami juga tidak melepaskan peluang menjamah hidangan masakan Thailand yang biasa didapati di Malaysia seperti ikan siakap tiga rasa, sotong goreng tepung, tomyam campur, sayur kailan ikan masin dan pelbagai lagi menu sampingan dengan kos kira-kira RM100 untuk lapan orang. Berbaloi bukan?

PULUT ayam merupakan menu wajib yang harus dicuba apabila berkunjung ke Sadao.


Bukan sekadar kembara
Dalam pada itu, Pengarah Projek Kembara Queen Street, Asmaruddin Jamaluddin menyifatkan kembara sulung KKBUM itu berjaya mencapai objektif dan ia berjalan dengan lancar.
Menurutnya, kembara itu merupakan prakonvoi bagi mengetahui sejauh mana kemampuan ahli KKBUM mengharungi perjalanan jarak jauh sebelum Kembara Queen Street.
"Kembara itu dijangka memakan masa selama tiga hari dua malam itu bertujuan mengimbau semula sejarah penubuhan akhbar Utusan Malaysia yang mula diterbitkan pada 29 Mei 1939 di Queen Street, Singapura.
"Ia bukan sekadar satu kembara. Antara tentatif program Kembara Queen Street termasuklah melawat dan memberikan sumbangan amal kepada bekas kakitangan Utusan yang telah bersara di sekitar Melaka dan Johor," katanya.
Jelas Asmaruddin, KKBUM yang diketuai presiden kelab, Mohd. Hazli Hassan kini memiliki lebih 30 ahli terdiri daripada wartawan, jurufoto serta pihak pengurusan Utusan dan Kosmo!.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: