Saturday, March 23, 2013

Dekatkan anak istimewa dengan sukan

WALAUPUN diklasifikasikan sebagai orang kelainan upaya, Zaim Abu Hirzan Zaidan (tiga dari kiri) sentiasa bersemangat untuk bersukan.


FIZIKAL Zaim Abu Hirzan Zaidan, 17, sama seperti remaja lain yang seusia dengannya. Walaupun pada zahirnya, dia nampak sempurna, namun hakikatnya ada kekurangan yang tersembunyi pada diri anak muda itu.
Biarpun mempunyai masalah intelektual (terencat akal ringan), pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur itu cukup bijak berkata-kata ketika ditemubual wartawan.
Dia yang lebih mesra disapa dengan panggilan Zaim ketika ditemui di Bengkel Pendidikan Media - The Power of Sports yang dianjurkan oleh Procter & Gamble Malaysia (P&G) dan Sukan Olimpik Istimewa Malaysia (SOM) itu langsung tidak menunjukkan sebarang kekurangan yang ada pada dirinya.
Zaim antara insan yang tergolong sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) intelektual di bawah program SOM.
Siapa sangka, dua tahun lalu, Zaim pernah mengharumkan nama negara dengan membawa pulang satu pingat perak dan sebutir gangsa menerusi acara boling individu lelaki dan berpasukan pada kejohanan Sukan Istimewa Olimpik Dunia 2011 sempena musim panas di Athens, Greece.
Kejayaan Zaim jelas mencerminkan bahawa golongan kurang intelektual sepertinya mampu mengorak langkah kehadapan seperti insan normal yang lain.
Pencapaian membanggakan Zaim dalam hidupnya itu sesuai dijadikan contoh kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang senasib seperti Zaim.
Tingkatkan kualiti hidup
Bengkel yang diadakan di Pusat Gymnasium, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor baru-baru itu, khas untuk pengamal media yang bertujuan untuk membuka mata orang ramai selain mendidik rakyat Malaysia mengenai kepentingan sukan dalam kehidupan insan yang mengalami masalah intelektual.
“Ia sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat P&G di bawah kempen, Open Minds. Melalui Open Minds, kita telah berjaya mengubah dan meningkatkan mutu kehidupan lebih daripada 10,000 kanak-kanak istimewa.
“Mereka termasuklah daripada kategori kanak-kanak autistik, disleksia, palsi serebrum dan sindrom down,” ujar Ketua Komunikasi P&G, Zulhaimi Abdul Hamid.

SALAH seorang peserta menunjukkan gerakan senaman ringkas menggunakan peralatan di gimnasium.


Tambahnya, pihak P&G sentiasa komited dalam memberi sokongan dan bantuan dalam bentuk dana kewangan kepada pihak SOM untuk mengetengahkan bakat golongan OKU.
Bengkel yang diadakan selama empat jam itu turut diisi dengan slot perkongsian ilmu oleh dua individu yang banyak terlibat dalam mencorak perubahan kanak-kanak istimewa dalam bidang sukan.
“Kanak-kanak istimewa yang melibatkan diri dengan sukan dapat meningkatkan keupayaan fizikal, memupuk sifat keyakinan diri yang tinggi selain membentuk imej kendiri yang lebih positif.
“Mereka akhirnya bukan sahaja mampu mengembangkan bakat, tetapi sekali gus suara mereka akan mula didengar umum,” ujar penceramah jemputan, Nagoor Meera Abdullah yang merupakan Ketua Unit Bahagian Sukan Kurang Upaya, Institut Sukan Negara.
Menurut Nagoor lagi, menerusi sukan, ia mampu menjana perkembangan daripada segi mental, sosial dan spiritual kanak-kanak istimewa itu.
Sementara itu, jurulatih SOM, Shukry Hussain berkata, ibu bapa yang mempunyai anak-anak kurang intelektual perlu diberi pendedahan mengenai sukan.
Jelasnya, tidak ramai yang tahu bahawa sukan boleh membantu perkembangan kemahiran motor neurologi kanak-kanak.
“Jika kita ditakdirkan mempunyai anak OKU intelektual, tidak perlu mengurung mereka di dalam rumah.
“Sebaliknya, berilah mereka pendidikan khas dan galakan,” ujar Shukry yang juga guru pendidikan khas di SMK Alam Damai.
Menurutnya, kanak-kanak itu perlu diberi peluang mencuba pelbagai jenis sukan sebelum bakat sebenar mereka dikenal pasti.
Sehingga kini, terdapat 100 atlet daripada golongan kurang intelektual di bawah SOM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: