Friday, March 15, 2013

Berus, flos dan kumur

SEKIRANYA anda berdepan dengan apa juga masalah gigi seperti pendarahan gusi atau gigi berlubang dapatkan khidmat doktor gigi.


SENYUMAN menjadi pelaburan utama dalam menjalin hubungan yang baik. Malah, senyuman dan mulut yang tidak berbau juga membawa imej diri saat kita bertemu dengan orang sama ada di pejabat, rumah, kelas atau sewaktu bersukan.
Oleh itu, adalah penting dan menjadi keutamaan setiap orang memberi perhatian kepada kesihatan mulut supaya anda bukan sahaja mempunyai gigi yang sihat dan nafas yang tidak berbau, malah tampil lebih yakin di depan orang ramai.
Difahamkan lebih 80 peratus orang mempunyai masalah keyakinan diri disebabkan masalah-masalah mulut, khususnya gigi.
Jane Joseph Samynadan, 30, yang bekerja sebagai Eksekutif Sokongan Jualan di Etihad Airways, mengakui, kesihatan mulut bukan sahaja penting kerana profesionnya yang memerlukan dia bertemu dengan ramai orang, malah ia sebagai sebahagian daripada rejim penjagaan kesihatan diri.

ORAL-B melancarkan kempen Penjagaan Mulut Sempurna Untuk Senyuman Meyakinkan untuk mendidik rakyat Malaysia menjaga kesihatan mulut.


Wajib jumpa doktor
Oleh yang demikian, Jane memberitahu, dia akan melakukan scalling (pembersihan gigi) setiap dua kali setahun selain berjumpa doktor gigi untuk rawatan apabila ada masalah gigi.
“Saya pernah mempunyai masalah pendarahan pada gusi, jadi saya melabur pada berus gigi yang benar-benar bagus dan ubat gigi yang sesuai dengan masalah itu. Kini saya menjadikan amalan memberus gigi setiap pagi dan malam selain flos gigi selepas makan,” ujar Jane.
Ditanya tentang pengambilan makanan bergula yang boleh mengugat kesihatan gigi, Jane berkata, dia seboleh-bolehnya cuba mengawal pengambilan makanan manis.
“Saya dikelilingi rakan-rakan sekerja yang obses dengan kesihatan mulut. Jadi mereka sendiri akan memotivasi diri saya untuk peka dan mengawasi kesihatan mulut, malah mereka akan memberus gigi setiap kali selepas makan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi wanita yang ditemui, Law Pik Wan, 29, memberitahu, sebagai seorang yang banyak terlibat dalam persembahan tarian dan teater, dia akan memastikan giginya diberus dan dibersihkan sebelum membuat persembahan.
“Lagipun saya amat trauma jika ada orang mengadu mulut saya berbau. Sayaakan pastikan ia benar-benar bersih dan segar, sekali gus menjamin senyuman yang menawan,” katanya yang juga bekerja sebagai pengurus akaun di sebuah syarikat.
Tidak pernah mengalami apa-apa masalah gigi, Pik Wan berkata, dia bagaimanapun bukanlah seorang yang rajin melawat doktor gigi. Cuma, penggiat seni itu akan memastikan kesihatan mulut serta gigi terjaga sama ada dengan memberus gigi dan mengawal pemakanan.
Singkirkan plak
Doktor gigi yang juga angkasawan negara, Dr. Faiz Khaleed, baru-baru ini dalam satu kempen penjagaan gigi juga memberitahu, betapa penjagaan mulut dan gigi boleh membina keyakinan, personaliti dan pembawaan watak yang lebih sempurna.
Dalam kempen Penjagaan Mulut Sempurna Untuk Senyuman Meyakinkan oleh pihak Oral-B yang diadakan di 1 Utama, Bandar Utama, Selangor, Faiz memberikan ceramah ringkas tentang hubungan kesihatan gigi dan manusia secara keseluruhan.
Katanya, masalah pereputan gigi serta penyakit gusi yang sering dikait dengan nafas berbau busuk mampu menjejaskan keyakinan diri seseoang. Dengan mulut yang sihat, bebas daripada penyakit gusi dan kaviti, Faiz menjelaskan kualiti hidup akan menjadi lebih baik.
Bukan itu sahaja, jangkitan gusi yang kronik juga terbukti mempunyai kaitan dengan masalah kardiovaskular seperti penyakit jantung, penyempitan salur darah dan strok. Meskipun pakar belum mengesahkan hubungan terus penyakit gusi dengan penyakit kronik tersebut, terdapat banyak kajian yang membuktikan hubung kait antara kedua-duanya.
“Bagi orang dewasa yang mengalami masalah gingivitis (gusi yang bengkak dan berdarah) mereka didapati kurang cemerlang dalam ujian daya ingatan dan ujian skil kognitif lain, berbanding mereka yang mempunyai gusi yang sihat.
“Mereka yang mempunyai gingivitis mempunyai prestasi lebih buruk dalam dua ujian pengingatan lisan secara tertunda (delayed verbal recall) dan penolakan. Kedua-dua kemahiran ini penting dalam kehidupan seharian,” kata Faiz lagi.
Mereka yang mengalami diabetes tidak terkawal sering mengalami masalah gusi. Menghidap diabetes menyebabkan seseorang itu kurang keupayaan untuk melawan jangkitan termasuk jangkitan gusi yang serius.

FAIZ percaya gigi yang cantik mampu membina keyakinan diri seseorang.


Faiz memberitahu, sesetengah pakar mendapati sekiranya seseorang mengalami diabetes, mereka lebih cenderung untuk mengalami masalah gusi berbanding mereka yang tiada diabetes. Maka, adalah lebih sukar untuk mengawal tahap gula.
“Adalah amat penting mulut dijaga bersih dengan memberus, flos dan berkumur kerana plak adalah punca masalah utama mulut seperti bau busuk, pereputan gigi dan penyakit gusi. Menggunakan berus gigi dengan teknik yang betul, flos dan berkumur mulut adalah cara termudah untuk memastikan plak disingkirkan setiap hari,” katanya.
Dalam pada itu, dalam membawa seri dalam senyuman rakyat Malaysia, Oral-B melancarkan kempen Penjagaan Mulut Sempurna Untuk Senyuman Meyakinkan.
Ia bagi meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa memberus dan memflos gigi serta berkumur mulut selepas makan adalah penting dalam penjagaan gigi.
Pengarah Jualan P&G Malaysia, Jenny Chew berkata, disebabkan kurangnya amalan penjagaan mulut secara sempurna, separuh daripada populasi penduduk mengalami isu penjagaan mulut dan ini memberi kesan secara emosi kepada mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: