|
KARAKTER remaja samseng kelihatan mudah untuk ditangani pemain watak Botak yang pernah popular dalam siri Juvana itu. Johan As’ari yang masih kental diingati sebagai budak jahat di sekolah pemulihan akhlak itu masih berpanjangan sehingga ke layar perak, Januari lalu.
Bukan sebuah lanjutan tapi mungkin juga sebuah naskhah yang lebih matang pendekatannya, Johan bakal membenamkan imej Botak dalam permainan terbaharunya menerusi drama Karlos. Nama watak dalam drama itu, Karlos sendiri kedengaran lebih agresif, lebih dewasa berbanding gengster kawasan seperti Botak yang menjadikan rakan sekolah sebagai mangsa.
Akui Johan, dia berasa sedikit mencabar untuk melakonkan watak Karlos kerana jalan cerita drama tersebut melalui beberapa fasa.
“Karlos hanya panggilan luaran kepada Irwan Zaid. daripada budak baik dia akhirnya terlibat dengan dengan jenayah dan kena humban ke dalam pusat tahanan. Selepas penderitaan di pusat tahanan, dia keluar dan mahu jadi manusia tapi persekitaran dan takdir sekali lagi menghanyutkan dia ke lubuk jenayah yang lebih hitam sehingga menjadi orang paling dikehendaki oleh polis,” cerita Johan yang berdepan rasa cuak akibat satu adegan liwat dalam drama berkenaan.
Sama ada lebih baik berbanding penghayatannya untuk Botak, sebagai Karlos, Johan merasakan skop wataknya kali ini lebih besar.
“Karlos ada banyak emosi dan melalui momentum dalam perjalanan hidupnya. Dia ada rasa cinta dan kasih sayang yang menebal. Dalam hidupnya, dia cuma sayangkan ibu dan kekasihnya yang dikenali sejak zaman kanak-kanak. Cerita ini beri banyak rasa kepada saya,” katanya yang turut merasa gentar untuk melalui satu lagi kembara jiwa dalam hidupnya.
Masih berada di lokasi Karlos sehingga pertengahan Mac ini, Johan turut meluahkan hasratnya untuk menunaikan umrah menjelang 27 Mac nanti. Kata Johan, perjalanannya ke Mekah kali ini lebih bermakna kerana ia atas kehendak dan perbelanjaan sendiri.
“Sebelum ini, saya menunaikan umrah di Mekah atas sebab penggambaran drama di sana, tapi kali ini berbeza. Dulu ibadah bukan utama sebab fokus banyak kepada kerja. Dulu teruja lebih sebab pertama kali dan pergi pun rasa macam main-main. Jadi saya fikir, lebih elok ke sana dulu sebelum saya berhabis duit untuk bercuti ke tempat lain. Saya mahu cari balik keseimbangan dalam diri yang mungkin selama ini sudah terlalai dan banyak buat salah,” katanya naif.
Berbalik kepada drama Karlos, siri 13 episod terbitan Neon Production itu akan menemui penonton bermula 4 Mac nanti menerusi slot Aksi di TV3 setiap Isnin pukul 9 malam. Barisan pelakon yang turut menjadi tulang belakang Karlos termasuklah Namron, Sherlie Merlis, Syazwan Zulkifly dan Azhar Sulaiman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: