|
|
PEPATAH Inggeris ada menyebut, 'great mind thinks alike.' Daripada berkongsi tukang jahit yang sama di Bangsar, Rosyam Nor dan Datuk Kelvin Tan akhirnya bersatu. Penyatuan ini berdasarkan kepercayaan dan akhirnya membuahkan sesuatu yang berhasil untuk industri seni tanah air. Rosyam pakar dalam industri filem manakala Kelvin merupakan nama besar dunia perniagaan.
Gandingan dua nama besar dalam bidang tersendiri itu melahirkan produksi dengan nama RK Screen Sdn. Bhd. Bayi pertama kelahiran mereka akan muncul tidak lama lagi dengan dinamakan Balistik, sebuah filem yang menjanjikan aksi dan bunyi khas yang hebat.
Pratayang filem Balistik
Sebagai perkongsian awal, para wartawan dijemput oleh pihak RK Screen Sdn. Bhd. untuk menyaksikan sedutan Balistik selama 10 minit di The Post, Bangkok, Thailand sewaktu filem itu masih berada dalam pasca produksi.
Antara proses dilakukan di The Post ialah adunan, suntingan, memasukkan adunan muzik, kesan bunyi menggunakan sistem bunyi Dolby Digital dan warna. Kesan bunyi yang dihasilkan menambah debaran terhadap filem aksi drama ini.
|
|
Walaupun diberi 10 minit tontonan, namun filem ini berjaya menarik minat wartawan yang hadir malah impian pengarah aksi terkenal, Silver Yee untuk tidak membenarkan delegasi ke tandas tercapai.
Filem Balistik yang membariskan Rosyam Nor, Adi Putra dan Rita Rudaini sebagai tunggak utama mengetengahkan aspek penceritaan, kelajuan cerita, aksi lagak ngeri dan tembak-menembak. Turut menarik perhatian ialah pelakon-pelakon berketurunan Tionghua popular termasuk Jack Lim, Gan Mei Yan, Jason Phang dan Jeff Chin.
Menurut Silver yang memang terkenal dengan pengarahan aksi lagaknya, proses pascaproduksi dijalankan selama 10 hari.
Silver yang pernah bekerjasama dengan Rosyam melalui drama CID pada tahun 2006 ini menjelaskan bahawa filem Balistik memberikan keseimbangan daripada genre drama dan aksi.
"Kekuatan filem ini adalah daripada segi jalan cerita dan saya suka untuk menarik hati penonton. Saya mahu menjaga mereka," ujarnya yang turut mengarahkan filem Ah beng The Movie.
"Selain padat aksi, filem ini juga penuh dengan drama yang mampu membuatkan penonton menitiskan air mata. Semua aksi pertarungan dirancang sendiri oleh Rosyam dan Adi Putra selain menggunakan khidmat pengarah aksi Hong Kong. Malah ia turut membabitkan pelakon lagak ngeri yang ramai," ujar Silver yang mendapat kebebasan penuh daripada Rosyam untuk berkarya.
"Silver memberikan penonton aksi, emosi dan ada mesej. Jalan cerita ini juga laju. Malah Silver mempamerkan saya sebagai hero yang hebat. Pasukan dan pengarah yang membuatkan saya jadi bagus sebagai pelakon," kata Rosyam.
Belanja besar
Membawakan watak utama dengan nama Saga dalam Balistik, Rosyam turut memperkenalkan rakan kongsinya yang baharu mempertaruhkan kepercayaan dan risiko dalam bidang perfileman.
Menurut Kelvin yang turut hadir menyaksikan pratonton Balistik, pratonton tersebut membuatkan dia berasa filem itu mampu mencapai box office.
Ditanya tentang hasil kerjasama dengan pelakon filem popular tanah air, sambil tersenyum Kelvin menjawab:
"Rosyam mempunyai banyak potensi. Dia berbakat besar tetapi merendah diri. Saya sebenarnya minat dalam bidang filem dan dibawa Rosyam untuk menghadiri Festival Filem Malaysia beberapa tahun lalu. Daripada situ timbullah idea untuk menubuhkan RK Screen dan menghasilkan Balistik. Saya suka berkawan dengan Rosyam dan menaruh kepercayaan kepadanya."
Bakal melancarkan syarikat kongsi ini tidak lama lagi, Kelvin juga melihat potensi yang besar dalam filem Melayu ditokok dengan pelakon Melayu yang sangat berbakat.
"Saya yakin dengan Rosyam dan Balistik. Buat saya, filem tempatan memerlukan platform yang lebih besar untuk mempamerkan bakat-bakat besar tempatan ke mata luar," ujar Kelvin yang tidak henti-henti memuji kejujuran dan bakat Rosyam.
Sambil tersenyum, Rosyam menambah: "Ini berkat kesabaran dan restu. Akhirnya saya berjumpa dengan Kelvin yang berminat dengan Balistik. Naskhah ini sudah lima tahun disimpan malah ada yang pernah menolak. Kita tidak hanya mahu menonjolkan filem kita hanya di Malaysia tetapi juga di luar negara."
Untuk mencapai tahap kepuasan dan kualiti yang membanggakan, pihak RK Screen selaku penerbit tidak ragu-ragu untuk berbelanja besar bagi memastikan Balistik balik modal.
Menurut Rosyam, filem yang menjalani penggambaran selama 29 hari ini menelan belanja RM2.5 juta termasuk kos promosi.
"Kos filem ini mencecah RM2.5 juta di mana kita menggunakan pelakon tambahan paling ramai. Malah kami memperuntukkan kos sebanyak RM45,000 untuk senjata api termasuk 1,000 butir peluru. Begitu juga dengan penggunaan banyak kereta mewah dan membabitkan letupan yang besar," kata Rosyam tentang Balistik yang merupakan filem pertama terbitan syarikat barunya dengan kerjasama Asia Tropical Films Sdn. Bhd. (ATF).
Balistik yang bermaksud kelajuan peluru menceritakan kisah Saga (Rosyam Nor), seorang pembunuhan upahan dan juga suami kepada Salina (Rita Rudaini). Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Rykarl (Rykarl Iskandar). Kegiatan aktif Saga sebagai pembunuh memaksa dia untuk berpisah dengan Salina. Namun, anaknya dibawa bersama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: