Sunday, March 10, 2013

Reen Rahim tinggalkan kontroversi



NAMANYA tercalar oleh kontroversi drama Sahara. Reen Rahim terpaksa berdepan skeptikal ramai gara-gara watak wanita berpurdah yang dibawanya dalam drama itu namun dia tidak menampilkan karakter muslimah.
Dia dikatakan mempersendakan Islam dan wanita muslim yang berpurdah menerusi wataknya sebagai Sahara. Dicaci dan dicemuh sehingga drama yang disiarkan di saluran Astro terpaksa dihenti siaran sebelum episod akhir, Reen bagaimanapun akur. Salah percaturan yang dilakukan kerana tidak benar-benar meneliti permainan karakter lakonan sendiri membawa imej buruk kepada dirinya.
“Terduduk juga saya ketika dicaci dan dihimpit kontroversi begitu. Tapi sekarang, saya anggap semua kekecohan disebabkan isu Sahara itu sudah berakhir. Semua sudah dijelaskan dan saya sendiri sudah mengakui kesilapan sendiri. Sekarang, saya pandang ke hadapan dan mahu fokus kepada karier,” ulas Reen saat ditemui dalam sebuah acara hiburan baru-baru ini.
Sebagai pendatang baharu, masih banyak kekosongan dalam dirinya yang belum terisi  terutama ilmu dunia seni. Ternyata program realiti pencarian bakat lakonan, Pilih Kasih sekadar memberikan laluan untuknya masuk ke arena terbuka di pasaran industri kreatif tempatan.
“Saya belum fikir karier saya sudah berada pada tahap peningkatan, untuk mendabik sudah berjaya itu jauh sekali. Saya masih mendaki. Matlamat saya untuk bekerja, apa sahaja tawaran walaupun kerja yang mudah pun saya akan buat,” katanya yang kini sedang muncul menerusi drama bersiri Jodoh di Astro Ria.
Turut muncul membawa watak kecil dalam filem Gangster Celop yang ditayangkan di pawagam bermula 21 Februari lalu, Reen juga sedang mengisi siaran slot Telenovela bersiri berjudul Aku Tak Percaya Cinta sejak awal Februari lalu.
“Itu drama pertama lakonan saya selepas keluar daripada program Pilih Kasih. Saya pasti ada banyak kekurangan yang dilakukan semasa melakonkan watak Elia dalam drama itu.
“Elia seorang wanita yang nampak macam lemah-lembut tetapi rupa-rupanya dia mempunyai sikap yang angkuh, kasar, penggoda dan mata duitan. Bagi saya watak yang antagonis begitu beri cabaran besar tambahan pula itu kerja lakonan pertama saya selepas tamat Pilih Kasih,” katanya yang berlakon bawah arahan Harris Fadzillah Abd. Samad menerusi drama terbitan Suhan Movies itu.
Diperkuatkan oleh Izzue Islam, Sura Sujangi, Nizen Ayob, Fazlina Ahmad Daud, Tasha Ruby, Mahmud Ali Basha, Bil Azali dan Norseha Abd. Hameed, Aku Tak Percaya Cinta disiarkan setiap Isnin hingga Rabu pukul 6.05 petang di saluran TVi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: