Sunday, March 10, 2013

Momen rock dulu-dulu


EMPAT daripada vokalis handalan terlibat Konsert Gegar 5 Lagenda pada 15 hingga 17 Mac nanti.


GEMA irama rock yang disifatkan tidak akan mati seperti kata pepatah Inggeris, rock never dies nyata terus berlagu. Semakin lama kembara lagu-lagu itu menawan deria dengar khalayak pengikutnya, semakin mahal ia beraja menjadi khazanah muzik negara.
Sebagai manifestasi dan apresiasi terhadap lagu-lagu balada rock yang terus malar segar sehingga ke hari ini, lima vokalis unggul negara Salem, Aris Ariwatan, Zamani Slam, Rahmat Mega dan Ali XPDC diberi satu penghormatan kepada perintis rockers otai untuk beraksi di Istana Budaya. Bukan dibawakan oleh penganjur luar seperti yang berlaku kepada Opera Hidup atau Rockestra Wings, sebaliknya persembahan yang diberi judul Konsert Gegar 5 Legenda itu diterbitkan sendiri oleh tenaga produksi Istana Budaya.
Kelima-lima vokalis yang pernah bermain bersama-sama kumpulan masing-masing itu akan bergabung dan menjadikan Panggung Sari sebagai medan temu penuh nostalgik buat pencinta lagu balada rock 1990-an.
Sempat bertemu Aris dan Rahmat untuk bercerita tentang rasa dan persiapan, dua vokalis yang baru-baru ini muncul menggegarkan malam Juara Lagu ke-27 itu ternyata menyimpan banyak memori rock yang cukup manis untuk dikongsikan bersama peminat mereka.
Bagaimana persiapan menjelang konsert yang tinggal beberapa hari sahaja lagi?
RAHMAT MEGA (RM): Paling utama stamina kena dimantapkan. Saya memang selalu berjoging dan bersenam jadi rutin itu jugalah yang saya lakukan setiap hari.
ARIS ARIWATAN (AA): Kena jaga kesihatan agar menjelang malam konsert nanti semua yang ada dalam jiwa boleh dikeluarkan. Stamina juga kena jaga sebab kami ada malam pratonton pada 14 Mac, jadi semuanya ada empat malam konsert.
Kalian projek perintis Istana Budaya, jadi apa keistimewaan konsert kali ini?
RM: Walaupun sudah biasa menyanyi, perasaan berdebar-debar itu tetap ada, cuma tidak keterlaluan sahaja. Ini kali pertama juga saya akan menyanyi di Istana Budaya, satu tempat yang menjadi impian ramai penyanyi juga. Harapnya, bukan kami sahaja, selepas ini biarlah ramai lagi akan diberi tawaran sebegini.
AA: Sayangnya ia tidak jadi yang pertama. Persembahan sebegini nampak seperti lanjutan daripada impak besar yang dilihat pada malam Anugerah Juala Lagu ke-27 baru-baru ini. Saya tetap positif dengan penganjuran konsert ini apabila lima orang vokalis diberi peluang sama rata dengan 35 buah lagu secara keseluruhannya. Saya harap Konsert Gegar 5 Legenda akan meletup!
Bagaimana dengan seleksi lagu?
AA: Kami diberi kebebasan dalam soal pemilihan lagu dan semuanya akan disampaikan secara orkestra. Soal pemilihan lagu sudah pasti saya akan menyampaikan seleksi lagu-lagu hit sepanjang kembara muzik saya yang bermula dari tahun 1987 hinggalah ke tahun 1997.
RM: Kami akan ikut momentum yang merakamkan siapa Rahmat Mega sebelum ini. Tempoh masa sekitar 35 minit untuk setiap seorang menyanyikan lapan hingga sembilan lagu dalam konsert itu nanti sebenarnya tak cukup. Jadi, kena buat medley.
Konsert ini semacam rakaman kisah lalu, jadi kepada siapa ia mahu ditujukan?
RM: Untuk peminat rock zaman itu, lewat 1980-an dan 1990-an, saya mahu tengok mereka datang bersama keluarga dan anak-anak.
AA: Lirik lagu-lagu pada era 1990-an dahulu lebih jujur dan ikhlas sebab kami hidup pada zaman survival tak selesa macam sekarang.
Mungkin boleh ceritakan tentang episod paling sukar atau luar biasa yang pernah kalian lalui.
AA: Kena tipu oleh pihak penganjur itu biasa, makan mi segera juga biasa, tidur kaki lima pun biasa. Yang luar biasanya apabila Wings dan Search kena gunting rambut oleh menteri dan disiarkan secara langsung, satu Malaysia tengok. Seluar kulit atau jean ketat tak boleh pakai, itu luar biasa. Situasi itu yang beri ilustrasi muzik dan melodi yang ada pada zaman ini. Saya sendiri pernah dibunuh oleh industri apabila tiba-tiba syarikat batalkan kontrak.
RM: Zaman kami dahulu, muzik rock sangat produktif. Setiap studio penuh. Berbanding Aris, saya lebih junior tapi saya ada di bahagian penerbitan di studio sejak tahun 1987 lagi. Kena paksa rakamkan satu album dalam satu hari pun saya buat. Masa itulah terhasilnya album Gerimis yang kemudian terperap bertahun-tahun sebelum dilancarkan pada tahun 1989.
Berbalik kepada konsert nanti, momen bagaimana yang mahu dikongsikan atas pentas?
RM: Rasanya setiap orang ada cerita peribadi yang dikaitkan dengan lagu-lagu kami. Dahulu, pelajar sekolah tulis surat pakai lirik lagu sahaja untuk sampaikan perasaan kepada kekasih, betapa menyerap kuasa lagu pada masa itu. Sudah tentu mereka kini dewasa dan terpanggil mahu tengok kami, momen begitu yang saya maksudkan.
AA: Tahun 1997 saya muncul dengan Lamunan Terhenti, boleh dikatakan ramai peminat saya zaman itu terdiri daripada pelajar universiti. Dahulu penyampai radio Ainol Jamal Zainal ada ruangan kupasan lirik. Ada satu lagu saya, Ngajat vs Tanggo dikupas selama berbulan-bulan bersama pelajar universiti dalam slot Ainol di radio. Kupasan itu pula sangat mendalam. Setelah 15 tahun, saya harap saya masih ada peminat yang faham falsafah saya. Itu antara momen dan apresiasi tertinggi dalam dimensi muzik saya.
Beri sedikit persepsi kalian tentang muzik hari ini.
RM: Banyak bezanya. Durasi sendiri main peranan, dulu sekadar lima minit, enam dan tujuh minit pun ada, sekarang kalau boleh nak pendek-pendek sahaja.
AA: Dahulu album dedah biografi penyanyi atau kumpulan itu, sekarang mana ada album, ramai buat single sahaja. Muzik sekarang teruk, tak tahu apa cara lagi nak jual.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: