Saturday, March 2, 2013

Berdiri untuk Gaza

PARA peserta pertandingan mencari harta karun menerima pek makanan dan baju T.


LEBIH RM7,000 berjaya dikumpulkan menerusi program Stand up for Gaza yang diadakan di pusat beli-belah Space u8, Taman Bukit Jelutong, Shah Alam awal Februari lalu. Kesemua hasil sumbangan itu akan disalurkan kepada rakyat Palestin di Gaza untuk meringankan beban penderitaan di negara itu.
Pengurus Jabatan Promosi dan Dana Kompleks Islam Al-I'tisam (KIAI) TTDI Jaya, Shah Alam, Mohd. Shah Sapiei berkata, sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan rakyat Malaysia terhadap kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Palestin.
“Selain mengutip dana melalui yuran penyertaan pertandingan mencari harta karun, kami turut menjual barangan seperti baju T, air Darul Shifa, dan cawan.
“Bagaimanapun, kami berharap sumbangan kewangan untuk penduduk Gaza itu akan dihulurkan secara berterusan oleh rakyat negara ini,” katanya sambil mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam program yang pertama kali diadakan itu.
Menurutnya lagi, pihaknya meletakkan sasaran untuk mengumpul dana sebanyak RM100,000 lagi pada masa depan.
“Bedilan-bedilan roket Israel telah memusnahkan pelbagai bangunan di Gaza. Kemudahan-kemudahan awam seperti sekolah, bekalan air dan elektrik banyak yang sudah menyembah bumi. Selain itu, kita juga perlu memainkan peranan dengan menghulurkan derma bagi memulihkan semangat mereka,” ujarnya lagi.
Pertandingan mencari harta karun, berjaya menarik penyertaan 80 orang dengan 15 buah kenderaan membabitkan perjalanan sejauh 45 kilometer sekitar kawasan Shah Alam.
Pertandingan itu telah dibuka kepada orang ramai dengan yuran penyertaan RM380 yang merangkumi makan, baju T dan insurans keselamatan.
Program tersebut mendapat kerjasama Honda Global Amity Sdn. Bhd., pusat beli-belah Space u8, Shah Alam, Majlis Perwakilan Penduduk Zon 16 dan TV Hikmah.
Pertandingan itu turut menawarkan hadiah lumayan dengan hadiah pertama RM2,000, kedua RM1,500, ketiga RM1,000 keempat RM700 dan kelima RM500.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: