Saturday, March 2, 2013

Hakikat tugas ahli psikologi

PERBUATAN seperti buli atau sering bergaduh mungkin disebabkan oleh tekanan anak-anak di rumah.



PAKAR psikologi biasanya akan menganalisis simptom atau masalah yang dihadapi oleh pesakit sebelum menghuraikan penyakit yang dihidapi.


KITA selalu mendengar perkataan psikologi, walaupun tidak semestinya kita memahami istilah tersebut. Secara umum, psikologi adalah bidang yang berkaitan dengan kajian berkaitan hal kejiwaan manusia.
Dalam konteks budaya kita, ahli psikologi biasanya jarang menjadi tempat rujukan sekiranya ada individu yang mempunyai masalah berkaitan emosi atau psikologikal.
Sebaliknya yang selalu dirujuk ialah mereka yang mungkin tidak ada kepakaran khusus dalam bidang itu.
Walaupun pesakit boleh merujuk masalah mereka kepada sesiapa yang mereka rasakan sesuai, bagaimanapun, adakalanya ia berakhir dengan masalah yang lain pula.
Selalu terjadi ada individu tertentu mengaku bahawa mereka berupaya menyelesaikan masalah psikologikal yang dihadapi oleh pesakit. Bagaimanapun, kerana mereka ini tidak pula dilatih dengan aspek etika, kerahsiaan dan profesionalisme sewajarnya ada pesakit yang dijadikan mangsa.
Seperti yang selalu dilaporkan dalam akhbar, ada pesakit telah menjadi mangsa gangguan seksual atau diperdayakan oleh bomoh atau pawang yang mengaku mampu memulihkan pesakit.
Apatah lagi, kalau ia melibatkan masalah rumah tangga atau konflik keluarga yang menyebabkan pesakit dengan mudahnya diperdaya oleh individu terbabit.
Malah, dalam banyak keadaan, apabila seseorang menghidap penyakit seperti tekanan atau kemurungan, masyarakat dengan cepatnya membuat kesimpulan bahawa ia adalah penyakit misteri atau disebabkan buatan orang.
Baca fikiran
Hakikatnya ia mungkin sekadar simptom psikologikal yang boleh dirawat. Salah tanggapan itu kemudiannya telah menyebabkan ada pesakit yang menanggung derita penyakit mental yang semakin sukar untuk dirawat.
Di negara kita, memandangkan pekerjaan sebagai ahli psikologi tidaklah sepopular pekerjaan lain, selalu terjadi apabila orang beranggapan bahawa ahli psikologi mampu untuk 'membaca' pemikiran orang lain.
Hakikatnya, ahli psikologi juga seperti manusia yang lain. Mereka tidak mampu membaca pemikiran orang lain. Apa yang mampu dilakukan hanyalah meramal tingkah laku berdasarkan simptom atau gejala tertentu.
Ia sama seperti doktor yang menjangkakan seseorang menghidap penyakit dengan melihat kepada tanda-tanda tertentu.
Misalnya orang yang mengalami kemurungan biasanya lebih kerap terjaga daripada tidur atau mengalami mimpi buruk. Maka apabila seseorang pesakit memberitahu tanda-tanda yang mereka alami, maka ahli psikologi menjangkakan bahawa pesakit tadi mungkin sedang dilanda kemurungan.
Bagaimanapun, untuk mengesahkannya ia perlu dilanjutkan dengan ujian-ujian tertentu.
Adakah ahli psikologi mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh semua manusia?
Masyarakat perlu berubah
Sebenarnya tidak. Apa yang dilakukan oleh ahli psikologi hanyalah sekadar membantu individu yang bermasalah dengan nasihat dan panduan tertentu.
Biasanya, dalam banyak keadaan, pesakit itu sendiri perlu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
Berbeza dengan penyakit fizikal, masalah mental biasanya melibatkan konflik pemikiran yang wujud di dalam minda pesakit itu sendiri. Ia tidak dapat dilihat oleh orang lain, termasuk ahli psikologi. Apa yang mampu dilakukan hanyalah sekadar memberitahu pesakit agar terus bertahan dan menafikan 'hujah-hujah' tidak rasional yang wujud dalam diri pesakit.
Kebanyakan pesakit yang berdepan dengan masalah psikologikal biasanya berdepan dengan dua keadaan. Pertamanya adalah penolakan.
Pada tahap ini, pesakit biasanya tidak berupaya menerima hakikat bahawa mereka sedang menerima ujian yang teruk.
Mereka yang menjadi mangsa rogol misalnya, menganggap bahawa apa yang berlaku ke atas diri mereka sebagai satu bala dan mereka menjadi manusia yang sangat keji serta tidak berguna.
Penolakan inilah yang akan menyebabkan mangsa lebih mudah memilih jalan yang memudaratkan seperti mencederakan diri sendiri atau membunuh diri.
Menjadi tugas ahli psikologi untuk mengubah perspektif itu dengan meyakinkan pesakit bahawa mereka bukanlah manusia terbuang.
Pada tahap kedua, pesakit biasanya sudah mampu menerima kenyataan dengan apa yang telah berlaku ke atas diri mereka. Pada tahap ini, tugas ahli psikologi menjadi lebih mudah berbanding tahap sebelumnya kerana pesakit sudah mula dapat menerima saranan yang dikemukakan oleh pakar yang membantu.
Sebenarnya itulah tugas ahli psikologi. Mereka membantu manusia lain dengan kaedah rawatan tertentu. Pakar psikologi bukanlah manusia 'ajaib' yang mampu membaca pemikiran orang lain.
Sudah sampai masanya, ahli masyarakat yang berdepan dengan masalah psikologikal tertentu mendapatkan khidmat ahli psikologi. Tidak semua masalah manusia yang terjadi ini adalah disebabkan hal misteri yang tidak dapat dihuraikan sebab musababnya.

1 comment:

  1. Salam Saudara . Terima kasih atas penerangan saudara tentang bidang psikologi ini . Sebenarnya saya mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang ini . Namun minat itu timbul setelah saya bergelar bakal guru apabila memasuki institut perguruan . Menjadi seorang guru bukanlah pilihan saya . Ia berlaku disebabkan beberapa perkara yang saya anggap sebagai takdir . Dan sekarang saya masih menuntut di maktab dalam jurusan TESL (degree). Oleh itu , saya mahu bertanya kepada saudara , adakah saya masih berpeluang untuk menyambung master dalam bidang psikologi di IPTA ?

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: