Saturday, March 2, 2013
Pencinta burung di Kuala Gula
JAM menunjukkan pukul 6.30 pagi, namun kedinginan udara terasa menusuk sampai ke tulang. Suasana nyaman dan tenang menyambut kedatangan tetamu ke Kuala Gula Santuary Resort. Ia satu-satunya hotel penginapan yang terdapat di Kuala Gula yang terletak di daerah Kerian, Perak.
Perjalanan dari Kuala Lumpur sejauh 304 kilometer yang memakan masa empat jam terasa berbaloi apabila dihidangkan pemandangan indah di sekitar muara Sungai Kurau yang merupakan penempatan kampung nelayan kecil.
Menyimpan khazanah alam yang tinggi nilainya terutama keluasan hutan bakau yang mengelilingi sepanjang muara, menjadikan Kuala Gula sebagai destinasi ekopelancongan unik terutamanya pencinta alam.
Lebih istimewa, ia juga menjadi lokasi pilihan si pencinta burung. Terdapat kira-kira 200,000 burung hijrah daripada 50 spesies singgah di situ terutamanya antara Ogos hingga April setiap tahun.
Itu jugalah yang diburu oleh lebih 50 ahli kumpulan Birds, Nature and Us (BNU) untuk merakam gambar burung hijrah di lensa kamera mereka yang dijadikan hobi dan aktiviti hujung minggu.
Kamera sebagai senjata
Tepat pukul 7.30 pagi, kesemua mereka berkumpul di lobi resort dengan memikul senjata masing-masing. Apa yang dibawa bukanlah senjata api atau senjata tajam yang berbahaya, sebaliknya kelengkapan fotografi seperti kamera, tripod dan lensa yang nilainya mencecah puluhan ribu ringgit.
Hobi yang agak mahal itu, mungkin dilihat tidak berbaloi kepada mereka yang tidak meminati fotografi dan burung. Namun bagi mereka, duit bukan halangan sebaliknya kepuasan merakam gambar burung itu.
Pada hari itu, lokasi pertama yang dituju, di tepi tasik bakau yang terletak di pintu masuk resort iaitu kira-kira 300 meter dari lobi. Misinya adalah merakamkan burung hijrah spesies burung raja udang (kingfisher) dan Indian Muller yang banyak terdapat di India.
Dua tahun BNU
Mempunyai keahlian di seluruh negara, BNU yang ditubuhkan sejak dua tahun lepas berjaya mengumpulkan 573 ahli. Kebanyakan merupakan pencinta alam dan burung serta peminat fotografi.
Pada awal penubuhan, ia hanya disertai oleh enam orang antaranya, Muhammad Isa Saat yang juga penaung BNU selain penasihat teknikal, Muhammad Alzahari Darus dan Rosmadi Hassan.
Berkongsi koleksi gambar burung yang diambil melalui facebook, ia telah menarik lebih ramai yang mempunyai minat dan hobi serupa.
Ia secara tidak langsung mendidik masyarakat melalui gambar yang dipaparkan untuk mengenali dan mencintai burung.
Pada mata kasar, bagaikan tiada yang istimewa mengenai seekor burung. Namun dengan menggunakan kamera dan lensa yang sesuai, ia dapat merakamkan gambar burung secara terperinci, menurut Muhammad Isa.
"Contohnya, burung gagak jika dilihat pada mata kasar, kita nampak ia berwarna hitam. Namun apabila dirakam melalui lensa kamera, terdapat warna lain pada burung gagak. Itulah yang menyebabkan seorang pencinta burung seperti ketagih untuk merakamkan gambar burung," katanya.
Memilih lokasi Kuala Gula Santuary Resort untuk acara tahunan kali ini, ia sebagai medan ahli berkenalan dan mengeratkan silaturrahim di samping berkongsi pengetahuan tentang burung dan seni fotografi.
Etika mengambil gambar
Mengambil gambar burung bukan semudah yang disangkakan. Ia memerlukan kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Kadangkala masa yang diambil berjam-jam, malah berhari-hari untuk menunggu mendapat shot terbaik.
Ada etika yang harus diikuti untuk mengambil gambar burung kerana tidak mahu mengganggu habitat kehidupan burung tersebut.
Muhammad Isa berkata, antara masa yang tidak dibenarkan merakam foto adalah sewaktu burung sedang membuat sarang. Ini kerana jika burung berasa terancam, ia mungkin meninggalkan sarangnya.
Selain itu, terdapat juga sesetengah jurufoto yang mengambil jalan mudah dengan memberi makanan kepada burung liar semata-mata untuk menarik perhatian burung keluar dari sarang atau kawasan hutan.
Menurutnya, ia juga menyalahi etika kerana jika sudah terbiasa dengan keadaan itu, burung mungkin menjadi malas mencari makanan dan sedikit sebanyak mengganggu tabiat semula jadi burung tersebut.
Tambah Muhammad Isa, untuk menjadi bird photographer, seseorang itu perlu belajar dan memahami tentang habitat haiwan tersebut seperti waktu ia keluar mencari makan, waktu bila ua tidak boleh diganggu dan sebagainya.
Koleksi gambar-gambar burung juga dikongsi Alzahari melalui blognya arinaturephotography.blogspot.com.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: