Friday, March 15, 2013

Artis popular meriahkan Fiesta Taiping 2013

FARAWAHIDA


PROGRAM kemasyarakatan yang melibatkan golongan artis seringkali mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada anggota masyarakat di mana sahaja ia dianjurkan.
Orang ramai pastinya akan teruja apabila dapat bersama-sama dengan artis-artis popular dalam program kemasyarakatan yang dijalankan di lokasi mereka yang tidak semestinya melibatkan acara hiburan.
Sehubungan itu masyarakat Perak, khususnya Taiping, pastinya teruja kerana buat kali pertamanya, acara yang dinamakan sebagai Fiesta Taiping 2013 bakal berlangsung pada hari ini, 15 Mac hingga Ahad, 17 Mac.
Menampilkan lebih 10 artis untuk bersama-sama dengan anggota masyarakat selama tiga hari berturut-turut menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kerohanian, sukan dan hiburan, ia menyaksikan Kosmo! dilantik sebagai akhbar rasmi.
Bertempat di Dataran Kedamaian, Taman Tasik Taiping, acara ini menghidangkan pelbagai atur cara menarik yang terdiri daripada program bersifat kemasyarakatan, kerohanian, hiburan dan sukan pada satu lokasi yang sama.
Fiesta Taiping 2013 bakal dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, (KPDNKK), Datuk Tan Lian Hoe pada pukul 10 pagi, esok, 16 Mac di lokasi tapak pesta.
Antara atur cara menarik sempena program ini ialah ceramah agama oleh pakar motivasi terkenal, Datuk Dr. Fatma Az-Zahra pada hari ini, pukul 9 malam. Semua acara terbuka kepada orang ramai dan diadakan secara percuma.
Pada hari ini juga, diadakan pertandingan Imam Cilik yang penyertaannya terbuka kepada kanak-kanak, selain acara-acara lain yang tidak kurang meriahnya.
Antara yang menarik juga bakal menanti pengunjung ialah persembahan Pertandingan Tarian Singa, pada sebelah petang Sabtu, diikuti dengan Konsert Showcase Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Antara artis yang akan muncul dalam acara ini ialah Datuk M. Daud Kilau, Bagio (Damasutra), Aliff Aziz, Farawahida, Fazli Zainal, Azzarima Zawari, Watie Sadali dan Erry Putra.
Roslan Shah dan Ani Maiyuni pula bertindak sebagai pengacara konsert tersebut.
Bagi mereka yang berbakat dalam bidang seni suara, pencarian Taiping Idol bakal diadakan sepanjang fiesta ini berlangsung dengan menyediakan pelbagai hadiah menarik termasuk wang tunai.
Selain itu, Fiesta Taiping 2013 mencari pemenang untuk dinobatkan sebagai Ratu Kebaya, Ratu Cheongsam dan Ratu Sari dalam acara berkenaan yang bakal dianjurkan dengan penuh kemeriahan.
Tiga artis anak kelahiran negeri Perak iaitu M. Daud Kilau, Azzarima dan Farawahida adalah antara yang teruja sekali untuk muncul menemui peminat di tanah tumpah kelahiran mereka.
M. Daud Kilau beranggapan ini adalah momen terbaik untuk dirinya bertemu dengan peminat yang selama ini menyokong perjuangan seninya, tanpa henti.
"Saya harap semua peminat di Taiping amnya dan di negeri Perak khususnya dapat bersama-sama dalam acara-acara yang bakal berlangsung. Terima kasih kepada pihak penganjur kerana memilih saya untuk sama-sama terlibat dalam acara Fiesta Taiping 2013," katanya lagi.
Sementara itu, penyanyi Farawahida pula menganggap Fiesta Taiping 2013 adalah sesuatu yang sangat dinanti-nantikannya selama ini.
"Seperti orang pulang ke kampung, begitulah keadaannya setiap kali saya muncul membuat persembahan di kampung halaman sendiri. Saya sangat seronok, teruja dan tidak sabar untuk memberikan persembahan terbaik kepada Fiesta Taiping 2013 ini," beritahu Farawahida.
Sementara menurut Azzarima, dia akan terlibat dalam semua acara selama tiga hari Fiesta Taiping 2013 berlangsung. Lebih memberi makna, Azzarima juga bakal mempromosikan produk terbaharu keluaran syarikatnya yang dikenali sebagai AZ bedak sejuk.
"Datanglah ke gerai jualan bedak sejuk Azza dan ada diskaun istimewa menanti peminat yang datang ke Fiesta Taiping 2013," ujar Azzarima.
Fiesta Taiping 2013 dianjurkan bersama oleh KPDNKK dengan kerjasama Majlis Perbandaran Taiping.
Penganjur lain yang terbabit untuk acara tersebut termasuklah Bank Rakyat, Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: