HALEEDA mengakui teringin untuk muncul dengan single baharu.
|
SELEPAS tiga tahun memencilkan diri daripada dunia hiburan, akhirnya pelakon Haleeda Mazlin membuat kemunculan semula dalam dunia lakonan menerusi drama terbaharunya iaitu Bangkitnya Seorang Perempuan.
Ketika ditemui semasa majlis pelancaran drama berkenaan baru-baru ini, Haleeda yang pernah popular selaku penyanyi menerusi lagu Setia Kasih itu menyatakan dia sendiri tidak menyangka untuk berlakon semula.
Bekas isteri kepada pemain bola sepak negara, Azman Adnan itu menjelaskan setelah agak lama berehat, kini sudah tiba masanya untuk dia kembali aktif berlakon.
Namun begitu, Haleeda menjelaskan dia bersedia menerima sebarang watak yang ditawarkan kepadanya, asalkan ia memenuhi kriteria tertentu sebelum memberikan persetujuan. Ikuti temu bual selanjutnya.
Kosmo!: Bolehkah Haleeda jelaskan tentang pembabitan semula dalam bidang lakonan?
HALEEDA: Semuanya bermula apabila adik angkat saya telah dihubungi oleh pihak produksi drama Bangkitnya Seorang Perempuan, Orang Tree Production Sdn. Bhd. yang mahu menawarkan saya berlakon. Apabila saya diberitahu mengenai perkara tersebut, saya mengambil masa untuk mempertimbangkannya. Tidak lama kemudian saya telah memberikan persetujuan untuk menerimanya.
Apakah yang membuka pintu hati Haleeda untuk berlakon semula?
Ketika berehat buat sementara waktu, saya lebih banyak memberikan tumpuan membesarkan anak saya iaitu Amirah Amani Azman. Kali terakhir saya muncul di kaca televisyen menerusi drama Kecuali Cintamu yang disiarkan di Astro Prima beberapa tahun lalu. Bagaimanapun, sepanjang tempoh berehat panjang, saya akui sangat merindui dunia lakonan. Kini, setelah anak saya tamat sekolah barulah saya bersedia kembali berlakon.
Bagaimanakah pula dengan kehidupan Haleeda bersama suami sekarang. Adakah suami memberi sokongan kepada Haleeda untuk berlakon?
Rasanya tentang perkara peribadi saya tidak mahu memberi sebarang kenyataan kerana tiada apa yang menarik untuk saya bercerita mengenainya.
Sepanjang tempoh tiga tahun berehat, adakah Haleeda mengikuti perkembangan dunia seni?
Biarpun tidak terbabit dalam sebarang aktiviti lakonan, saya masih lagi ambil tahu tentang apa yang berlaku dalam dunia hiburan tempatan sekarang ini. Sebenarnya saya cukup bangga kerana kini sudah semakin ramai pelakon baharu yang muncul mewarnai industri seni. Saya lihat ada beberapa pelakon yang cukup berbakat dan ada sebilangannya yang bakat mereka masih boleh dicungkil dan digilap lagi.
Bagaimanakah pula dengan tawaran berlakon yang diperoleh Haleeda sekarang?
Buat masa ini saya semakin banyak mendapat tawaran lakonan, cuma ada yang terpaksa ditolak kerana beberapa faktor. Antaranya, imej saya yang kini sudah bertudung. Pernah ada beberapa syarikat produksi yang menghubungi saya dan menawarkan berlakon, tetapi apabila diberitahu saya bertudung, mereka menyatakan watak yang ditawarkan tidak sesuai pula dengan saya. Mungkin dengan penampilan sekarang akan membataskan pembabitan saya dalam lakonan, tetapi saya lebih selesa untuk membawakan watak yang sesuai dengan imej saya seperti watak ibu yang dibawakan dalam drama Bangkitnya Seorang Perempuan.
Adakah Haleeda tidak teringin untuk menyanyi semula memandangkan anda terlebih dahulu dikenali sebagai penyanyi?
Selain rindukan dunia lakonan, saya juga memang teringin untuk menyanyi semula. Mungkin kalau ada rezeki saya memang berhasrat untuk melahirkan sebuah single yang berkonsepkan balada.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: