Monday, March 11, 2013

Produksi sensitif Ida Nerina


IDA NERINA kini muncul dengan produksi arahannya, She.


TIDAK dinafikan sudah beberapa tahun, umum sudah tidak melihat atau mendengar sebarang perkembangan daripada pelakon yang berbakat besar, Ida Nerina.
Setelah lama menyepikan diri daripada sebarang aktiviti seni, Ida kini tampil dengan sebuah projek filem pendek sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac pada setiap tahun.
Apa yang menarik, projek tersebut bukan menghasilkan hanya sebuah filem, sebaliknya sebanyak 15 buah filem pendek dihasilkan membabitkan 15 pengarah berlainan yang terdiri daripada barisan aktres ternama Malaysia.
Mereka termasuklah Datin Sofia Jane yang pertama kali mengarah, Sharifah Amani, Vanidah Imran, Elaine Daly, Fauziah Nawi, Dira Abu Zahar, Melissa Saila dan Susan Lancanster.
“Ia merupakan sebuah projek menggabungkan 15 wanita hebat yang mengekspresikan cerita mereka melalui karya filem pendek.
“Projek yang diberi nama Ikal Mayang ini adalah untuk memberitahu kepada masyarakat supaya menghentikan stereotaip terhadap kaum wanita dan membuktikan kami bukan kaum yang lemah.
“Dengan kewujudan projek ini, kami berharap masyarakat akan melihat wanita juga mampu mencapai cita-cita mereka dan kami bukan merupakan kaum yang lemah,” ujar salah seorang penerbit eksekutif Ikal Mayang, Low Ngai Yuen pada sidang akhbar dan pratonton lima buah filem pendek di GSC, Pavillion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, Ida kelihatan ceria dan tidak lagi menggunakan kerusi roda seperti tahun lalu selepas mengalami kemalangan jatuh tangga di kediamannya pada tahun 2009.
Namun pada majlis sidang akhbar tersebut, pelakon filem Selubung dan Layar Lara itu bagaimanapun menolak untuk ditemu bual tentang perkembangan kisah peribadinya yang terkini.
Cuma selaku pengarah kreatif projek produksi tersebut, Ida sebaliknya hanya bercakap tentang Ikal Mayang. Dia menjelaskan, apa yang ingin disampaikan melalui projek tersebut adalah tentang realiti kaum wanita yang jarang dipaparkan di kaca TV mahupun medium lain.
Malah jelasnya, daripada 15 buah karya yang dihasilkan, lima filem pendek yang dipertontonkan kepada media pada hari tersebut diklasifikasikan sebagai sensitif. Ia termasuklah karya hasil arahannya yang berjudul, She.
“Memang lima buah filem pendek yang kami tayangkan ini, mungkin agak sukar untuk ditayangkan dan mempunyai kemungkinan besar ia akan disunting.
“Bagaimanapun, jika disunting bahagian tertentu, maka mesej yang ingin diceritakan tidak dapat disampaikan dengan baik. Jadi, lebih baik ia tidak ditayangkan di TV,” jelasnya.
Ida memberitahu, She merupakan filem terakhir dihasilkan daripada kesemua 15 buah karya tersebut.
“She berkisar tentang karakter manusia yang jarang disentuh oleh pembikin filem. Ini kerana, menjadi kebiasaan bagi saya untuk memerhati gerak geri atau perincian karakter manusia.
“Ia merupakan sebuah filem yang menggabungkan kesemua lima belas karakter. Ini kerana, She dalam filem ini ialah seorang penulis. Jadi dia banyak memerhati keadaan sekelilingnya untuk dijadikan sumber untuk karyanya,” jelas Ida tentang filem pendek yang dihasilkannya itu.
Tambahnya, jika diberi peluang, berkemungkinan mereka ingin menjadikan Ikal Mayang ini sebagai projek tahunan setiap kali menjelang Hari Wanita Sedunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: