Saturday, May 14, 2011

Xiao Jun ada banyak hobi


Fan Xio Jun menunjukkan salah satu hobinya iaitu ukiran potongan kertas di asrama penginapannya di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


TIDAK semua orang memiliki hobi, lebih-lebih lagi jika anda sudah mula bertapak di alam pekerjaan. Kesibukan yang menghimpit diri kadang-kala menyebabkan kita tidak mempunyai masa yang cukup untuk mempunyai walaupun satu hobi.

Namun berbeza dengan atlet ping pong wanita negara, Fan Xiao Jun.

Dia tidak tahu bagaimana untuk menyatakan kepada penulis mengenai senarai hobinya yang banyak untuk dikongsi bersama dengan pembaca S2.

Setelah berfikir panjang, Xiao akhirnya memilih tiga hobi yang biasa dilakukan pada masa lapang, sekiranya tidak terlibat dengan latihan bersama skuad kebangsaan atau pun mengikuti kuliah di Universiti Malaya (UM).

Antara hobi serta koleksi yang dimiliki oleh gadis yang berasal dari Kampung Lapan Bacang, Melaka itu ialah membuat ukiran melalui potongan kertas. juga mengumpul duit kertas dan syiling lama, memiliki koleksi setem, mengumpul kad tambah nilai pra-bayar, mengait serta bermain puzzle.

Siapa sahaja sudah tentu tergamam seketika apabila mengetahui seorang atlet sepertinya mempunyai hobi yang sebegitu banyak dan masih lagi aktif dilakukan sejak di bangku sekolah rendah hinggalah kini.

Daripada tujuh hobi Xiao Jun itu, ukiran melalui potongan kertas, mengumpul duit lama dan mengumpul setem adalah antara yang mampu mencuri tumpuan penulis kerana keistimewaan dan keunikan yang terdapat pada barangan tersebut.

Menurut Xiao Jun, kebanyakan koleksi tersebut diperoleh melalui pertukaran dengan rakan-rakan yang mempunyai minat sama, selain daripada orang lama seperti neneknya.

"Antara barangan paling lama yang saya ada ialah mata wang syiling daripada Dinasti Manchu Qing yang ketika itu diperintah oleh Maharaja Guangxu sekitar tahun 14 Ogos 1871 hingga 14 November 1908.

"Syiling tersebut sebelum ini di simpan oleh nenek saya dan kemudian ia diberikan kepada saya apabila nenek mengetahui saya minat mengumpul syiling lama.

"Selain itu, ada beberapa setem lama yang menjadi koleksi saya terutama setem Tanah Melayu dari tahun 1952 hingga 1957.

"Koleksi setem ini saya kumpul sekiranya ada rakan-rakan yang ingin bertukar-tukar setem dan hobi saya tidak terhad kepada setem dan duit syiling sahaja.

"Saya juga gemar melakukan ukiran melalui potongan kertas yang saya pelajari dari nenek ," kata Xiao Jun yang merupakan mahasiswa pengajian undang-undang di UM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: