Saturday, May 14, 2011

Bukit Broga uji fizikal Mohd. Noor


PENUNTUT universiti tempatan tidak melepaskan peluang bergambar bersama pendaki solo negara ketika sampai ke puncak Bukit Broga.


IMPIAN pendaki solo, Mohd. Noor Mat Amin untuk memecahkan rekod dunia tidak pernah pudar walaupun tarikh pendakian Menara Kuala Lumpur terpaksa ditunda sekali lagi kepada 16 dan 17 Julai ini ekoran kekurangan dana untuk menampung kos yang agak tinggi.

Masalah penajaan daripada pihak korporat tidak melemahkan semangat pendaki solo itu walaupun pendakian untuk memecahkan rekod dunia terpaksa ditangguhkan lagi kepada Julai ini.

Walaupun masuk kali keempat pendakian ini terpaksa ditunda, Mohd. Noor tetap cekal dan akur dengan suasana masa kini dan menganggap ia satu cabaran yang harus dihadapi sebelum melakukan cabaran untuk mengharumkan nama negara.

Beliau akan melakukan percubaan dengan mendaki sebanyak 70 kali anak tangga Menara Kuala Lumpur selama 24 jam tanpa henti bermula pukul 10 pagi pada 16 Julai dan akan berakhir tepat pukul 10 pagi dan 17 Julai.

Rekod lama yang dilakukan oleh pendaki Switzerland, Kurt Hess yang berjaya melakukan pendakian di Menara Esterli, Switzerland pada tahun 2007 bakal dicabar oleh beliau.

"Sebenarnya, jika nak memecahkan sesuatu rekod dunia, saya perlu buat di menara yang sama di Switzerland, tetapi saya berjaya memberi keyakinan kepada Guinness World Records bahawa tangga Menara Kuala Lumpur mempunyai cabaran sekali ganda jika dibandingkan dengan di Menara Esterli.

"Ini kerana suhu di dalam Menara Esterli lebih sejuk dan udara atau angin dapat keluar masuk dengan ketinggian hanya 45 meter, sedangkan keadaan di dalam Menara Kuala Lumpur lebih panas kerana ia tertutup dan saya akan naik turun setinggi 282 meter minimum sebanyak 70 kali dalam tempoh 24 jam," ujarnya.

Latihan tingkatkan semangat

Mohd. Noor tetap melakukan latihan mingguan seperti biasa dan ia tidak sama sekali melemahkan semangat untuk mencipta nama untuk negara.

Beliau bersama urus setia telah menjalani latihan pendakian di Bukit Broga, Semenyih setinggi 400 meter dengan jarak pendakian sejauh 1.7 kilometer.

Selain itu, beliau juga mengadakan latihan pendakian di Bukit Tabuh yang terletak di Ulu Kelang bersebelahan dengan Taman Melawati.

Setiap latihan diadakan di dua lokasi itu, pendaki solo terus mendapat sentuhan semangat oleh ramai pendaki dan orang ramai termasuklah penuntut universiti tempatan yang melakukan riadah pendakian mingguan untuk kecergasan.

Program pendakian solo tangga menara Kuala Lumpur ini dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Kota dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Menara Kuala Lumpur.

Sementara itu, pelbagai program sampingan telah disusun oleh pihak Total Sports Asia yang diberi tanggungjawab untuk menjayakan program yang bertaraf dunia itu.

Antara acara sampingan yang boleh menarik perhatian golongan muda seperti pameran bertajuk rintangan di sebalik kejayaan, pertandingan mendaki tembok tiruan, karnival jualan dan klinik mendaki turut diadakan pada tarikh tersebut.

Kepada syarikat korporat yang ingin turut sama menjayakan program yang bertaraf dunia ini boleh menghubungi terus kepada pihak Total Sports Asia di talian 03-7660 9661 (Nina Mohd. Noor) atau team pendaki solo di talian 03-9284 0619.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: