Monday, May 2, 2011

Vovinam lebar sayap ke Malaysia




SEKUMPULAN belia berpakaian seragam berwarna biru cair gagah berdiri tangkas mematahkan serangan sesama sendiri.

Sekilas pandang, wajah-wajah mereka tidak langsung mencerminkan sekelumit perasaan gentar, sebaliknya berjaya menunjukkan disiplin seni bela diri yang penuh bertenaga.

Kepantasan hayunan gerakan tangan dan kaki dilihat cukup teratur. Aspek ketangkasan begitu menyerlah sedangkan mereka baru mempelajari seni bela diri Vovinam sekitar dua bulan.

Vovinam yang berasal dari negara Vietnam itu mungkin kedengaran agak asing dalam kalangan masyarakat di negara ini. Atas sebab itulah, penubuhan Akademi Bela Diri Vovinam Malaysia antara lain mahu memperkenalkan satu alternatif bagi penggemar cabang sukan seni bela diri.

Presiden Akademi Bela Diri Vovinam Malaysia, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, seni bela diri tersebut telah diasaskan oleh Nguyen Loc di Hanoi pada tahun 1938.

"Seni bela diri Vovinam cukup sinonim dan popular dalam kalangan rakyat negara berkenaan.

"Nguyen Loc yang membesar dalam kolonial Perancis telah mempertontonkan buat julung kali seni bela diri berkenaan kepada umum pada tahun 1940 di Great Theater, Hanoi sehingga berjaya menarik perhatian ramai penonton," katanya ketika ditemui Kosmo!

Sejak peristiwa itu, dia memberitahu, seni bela diri Vovinam terus mendapat sambutan daripada rakyat negara Vietnam sehingga hari ini kerana ia amat sesuai dipraktikkan mereka.


AHMAD SHABEERY (kanan) menerima kunjungan delegasi Vovinam dari Vietnam.


Katanya, Vovinam yang berlandaskan seni tempur keras dan lembut itu turut mencuri tumpuan penggemar seni bela diri dunia apabila ia mula berkembang di beberapa negara termasuk Perancis, Amerika Syarikat, Jerman, Denmark dan banyak lagi.

"Di Malaysia pula, penubuhan akademi berkenaan telah dirasmikan pada 20 Mac lalu di Stadium Badminton, Cheras, Kuala Lumpur apabila delegasi seni bela diri Vovinam Vietnam mengunjungi negara ini.

"Mereka datang ke negara ini dalam rangka mempromosi Vovinam sempena kempen pingat emas Sukan SEA di Indonesia pada November nanti," ujar Tunku Azwil.

Sehingga kini, Akademi Bela Diri Vovinam Malaysia yang ditaja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah mempunyai 30 orang ahli terdiri daripada golongan belia berusia di antara 12 hingga 35 tahun.

Tambahnya, barisan pelatih tersebut akan menjadi perintis kepada seni bela diri Vovinam di Malaysia dan dijangka mampu menggalas tugas sebagai jurulatih pada satu hari nanti.

"Kita juga akan menerbangkan jurulatih dari Vietnam untuk melatih mereka secara intensif bagi memantapkan mental dan fizikal pelatih ini," ujarnya.


AKADEMI Bela Diri Vovinam Malaysia sudah mempunyai 30 pelatih yang terdiri daripada golongan belia.


Dengan latihan intensif berkenaan, Tunku Azwil berharap agar jaguh Vovinam tempatan dapat dibentuk dalam masa terdekat kerana terdapat 16 kategori dipertandingkan pada Sukan SEA di Indonesia November ini.

Dalam pada itu, seorang pelatih, Remy Suhaimi, 23, berkata, Vovinam memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi.

"Pelatih perlu mempunyai kaki yang kuat untuk melakukan lompatan tinggi ketika menggunakan teknik Don Chan.

"Teknik Don Chan merupakan simbol aksi seni bela diri Vovinam yang 'menggunting' pihak lawan sehingga mereka terjatuh," katanya.

Remy menambah, mereka yang berpengalaman mampu menjatuhkan pihak lawan sehingga tiga orang dengan mudah.

"Dalam pertandingan, kesempurnaan melakukan teknik berkenaan akan dinilai dalam pemberian markah kepada peserta.

"Justeru itu, ia amat penting dalam memastikan kesempurnaan dapat dilakukan ketika latihan," terang Tunku Azwil.

Menarik

Pelatih muda, Iqmal Azizi Jubail, 12, pula memberitahu, dia sudah mengikuti latihan seni bela diri Vovinam sejak dua bulan lalu dan mendapati ia amat menarik.

"Pada mulanya agak sukar juga mempelajari seni bela diri ini, namun latihan yang berterusan membantu menyempurnakan langkah saya.

"Lebih utama, kita dapat mengetahui cara-cara mempertahankan diri dan ia menyihatkan tubuh badan," ujarnya.

Dewi Murni Aminuzar, 34, pula berkata, dia dapat mempelajari pelbagai teknik pertahanan diri di akademi berkenaan.


SENI bela diri Vovinam turut mendapat tempat dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah St. Maaz, Hyderabab, India.


"Sebagai wanita, seni bela diri amat penting untuk keselamatan diri. Ia turut membantu meningkatkan stamina kerana tekniknya menggunakan seluruh pergerakan tubuh.

"Selain daripada itu, kita turut didedahkan dengan penggunaan senjata seperti pedang dan parang dalam latihan yang dilakukan setiap minggu," katanya yang merupakan salah seorang daripada enam pelatih wanita.

Hakimie Huzaimi Jubail, 13, pula berkata, dalam masa seminggu, dia perlu berlatih selama lima hari demi memantapkan teknik pergerakannya.

"Kami melakukan latihan selama dua hingga tiga jam setiap hari agar langkah menjadi sempurna. Saya juga menonton video perlawanan Vovinam di laman web Youtube untuk membantu memahirkan diri," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Vovinam Dunia, Nguyen Van Chieu, memberitahu, seni bela diri Vovinam dibangunkan berdasarkan gabungan Yin dan Yang.

"Vovinam telah berkembang di 40 buah negara sejak diasaskan pada tahun 1938.

"Malaysia merupakan negara terbaru. Kami akan sentiasa memberi sokongan dari segi pembangunan, tenaga pengajar dan teknikal," jelasnya yang baru kali pertama menjejakkan kaki di negara ini.

Dia juga melahirkan rasa terharu apabila Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sudi meluangkan masa mendengar penerangan tentang Vovinam apabila delegasi negara itu mengunjungi Putrajaya baru-baru ini.

Ujarnya, sokongan yang diberikan masyarakat, pemimpin dan media negara ini amat membanggakan. Pada masa yang sama, Van Chieu benar-benar berharap agar seni bela diri kebanggaan Vietnam itu dapat berkembang di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: