Monday, May 2, 2011

Konsep beli-belah K11


MAURICE bergambar bersama karya Mona Lisa gergasi yang diperbuat daripada roti di KII Hong Kong.


AKTIVITI beli-belah di China tidak lagi menjurus kepada proses jual-beli sahaja. Mentaliti masyarakat China yang semakin moden telah mengubah konsep beli-belah kepada suatu yang lebih artistik.

Pewaris muda sebuah empayar hartanah Hong Kong, Adrian Cheng tidak menolak kenyataan itu apabila dia sendiri menjadi individu bertanggungjawab memperkenalkan konsep itu kepada masyarakat China.

Visi membina pusat beli-belah seni di beberapa bandar besar seperti Beijing, Shanghai dan lain-lain sedang ligat dirangka bagi menjadikannya satu realiti. Syarikat hartanah milik keluarganya, New World Development, bagaimanapun telah membuka pusat beli-belah bernama K11 di Hong Kong dan di tengah-tengah bandar Wuhan.

Jelas Adrian, K11 Hong Kong menghimpunkan karya-karya seni artis tempatan sementara K11 Wuhan mengetengahkan konsep seni berasaskan pertanian.

"Kita menjalankan kajian terperinci tentang minat dan selera seni rakyat China sebelum tampil dengan konsep ini. Masyarakat kini tidak mahu pusat beli-belah sekadar tempat tumpuan barangan berjenama. Ia perlu turut menjadi pusat kesenian," kata Adrian ketika mempromosikan konsep K11 di Paris baru-baru ini.

Adrian memberitahu, K11 mampu menarik kelompok pelanggan yang tidak pernah dimiliki mana-mana pusat beli-belah yang lain.

Kepelbagaian kategori pelanggan mewujudkan suasana luar biasa iaitu mereka terdiri daripada golongan pencinta seni yang berkunjung bukan atas dasar membeli-belah semata-mata.

Sementara itu, Adrian turut menjelaskan menerusi cara itu, karya artis-artis tempatan akan lebih dihargai seterusnya mampu menaikkan nama mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Cucu kepada Cheng Yu-tung, pengasas kepada New World Development itu menyertai perniagaan keluarganya selepas menamatkan pengajian di Universiti Harvard.

Menariknya, Adrian bukan graduan lulusan perniagaan tetapi merupakan pelajar bidang sastera.

Perspektif berbeza

Henry Cheng, Pengarah Urusan New World Development yang juga ayah kepada Adrian menyatakan anak lelakinya itu mempunyai perspektif berbeza bagi memajukan perniagaan syarikat.


K11 merupakan pusat beli-belah seni yang pertama diperkenalkan di dunia.


Keyakinan Henry terhadap anaknya membolehkan Adrian bebas bereksperimen dengan elemen seni dalam perniagaan mereka.

"Saya cuba menjadikan K11 sebagai galeri dan muzium kesenian dan berharap pelanggan dapat merasakan pengalaman serupa ketika berkunjung ke pusat beli-belah itu," ujar Adrian yang juga merupakan seorang pelukis amatur.

K11 Hong Kong yang terletak di kawasan Tsim Sha Shui mempunyai 64 tingkat. Ia merangkumi pusat beli-belah, hotel mewah dan menara apartmen.

Pusat beli-belahnya mempunyai enam tingkat yang memuatkan pelbagai kedai berjenama dan dihiasi dengan pelbagai karya seni seperti lukisan dan arca.

Sebuah lukisan potret Mona Lisa gergasi yang diperbuat dari kepingan roti oleh peniaga runcit dari New Zealand, Maurice Bennett, juga diletakkan di hadapan pintu masuk bangunan itu sebagai tarikan.

Menjelaskan idea K11 di Beijing, Adrian berkata, ia akan lebih memfokuskan kepada karya artis Beijing bagi menyerlahkan ciri-ciri setempat.

"Selain Beijing, saya turut bercadang membina K11 di Guangzhou, Tianjin, Shenyang dan Pulau Hainan," ujarnya.

Pengarah dan pengkaji Greater China dari syarikat perunding hartanah Global DTZ, David Ji pula berpendapat konsep pusat beli-belah seni itu sesuai diperkenalkan di Beijing dan Shanghai.

"Status kedua-dua bandar itu sebagai bandar elit membuatkan konsep tersebut mudah diterima umum memandangkan masyarakat mereka terdiri daripada golongan yang berfikiran moden.

"Hanya lima tahun diperlukan bagi mengukur keberkesanan konsep tersebut," jelas David,

Bagaikan sependapat dengan kata-kata David, Adrian turut menyasarkan tempoh lima tahun sebagai jangka masa ideal bagi melihat perkembangan konsep pusat beli-belah itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: