Sunday, May 8, 2011

Vila mewah ala kampung


Vila yang mengekalkan ciri-ciri rumah reka bentuk Melayu.


SELANGKAH ke alam kayangan adalah ungkapan yang mula-mula sekali terdetik di hati ketika kaki melangkah masuk ke vila mewah bak kampung ini. Gabungan antara dua unsur iaitu fantasi dan realiti menjadikan keindahan vila mewah ini begitu sukar untuk digambarkan.

Bermotifkan rumah Melayu, vila mewah ini seakan-akan mengajak kita untuk menempuhi satu pengalaman baru dan meninggalkan segala kekusutan ketika berada di kota.

Vila ini terletak di tempat peranginan terkenal, Port Dickson, Negeri Sembilan menempatkan penginapan eksklusif yang diberi nama Residence Desa Lagoon Resort.

Tempat peranginan di tepi laut ini mempunyai ciri yang sungguh eksklusif hasil kombinasi tradisional dan moden.

Vila yang berkonsepkan resort sememangnya sesuai untuk mereka yang mengidamkan layanan mewah dan suasana damai lagi menenangkan.

Walaupun berfungsi sebagai tempat peranginan, hiasan dalamannya lebih bercirikan sebuah kediaman. Pengurus resort, Zaihan Salleh mahukan sesiapa sahaja yang hadir dapat menikmati ketenangan di situ seperti berada di kediaman sendiri.

Bukan itu sahaja, vila mewah ini juga sesuai untuk keluarga yang inginkan kedamaian hidup di samping menikmati keindahan panorama reka bentuk binaan berasaskan kayu yang diserikan dengan tumbuhan hijau.

Ia tampak lebih menarik dengan tumbuh-tumbuhan hijau kecil dan besar yang terdapat di setiap ruang.

Landskap

Pengalaman indah pasti terpahat sebaik sahaja melihat keindahan landskap lagun yang dikelilingi taman botani.

Memberi pandangan lagun iaitu kawasan air laut yang tenang dan terpisah daripada laut oleh beting pasir atau terumbu, pengunjung pasti terpukau dengan keindahannya.

Pohon kelapa yang tumbuh tinggi dan besar mewujudkan suasana kampung dan tepi laut yang nyaman.

Sesuai buat mereka yang mahu mencari persekitaran yang segar dan semula jadi, resort ini melengkapkan percutian anda sekeluarga.

Pada bahagian luar vila, hampir sebahagian keluasan tanah dipenuhi dengan landskap yang indah, titian atau laluan kayu dan kolam yang meredupkan mata memandangkan.

Lebih mengasyikkan vila yang indah mempunyai tiang-tiang yang terbina di atas air seperti sebuah kediaman terapung. Biarpun sederhana, ternyata vila berwarna biru muda dan putih sesuai untuk menyambut ketibaan tetamu.

Eksklusif

Mengintai ke dalam vila, kita seperti berada di dalam kediaman sendiri.

Ruang tamu dan bilik tidur kelihatan tenteram dan eksklusif.

Vila yang mempunyai 40 unit ini menempatkan 13 unit dengan satu bilik tidur, 20 vila dengan dua bilik tidur dan tujuh unit dengan tiga bilik tidur.

Tidak mahu ruang menjadi sempit dengan terlalu banyak barangan, pihak pengurusan vila hanya meletakkan barangan dan perabot memadai dengan apa yang perlu sahaja.

Ketenangan dapat diperolehi apabila melihat vila berkenaan bersih, kemas dan tidak terlalu berserabut.

Pilihan cat berwarna krim juga sesuai dengan warna perabot yang berilhamkan warna kayu, coklat, susu dan kehijauan.

Lihat sahaja dekorasi ruang tamu dan bilik tidur yang lapang dan elegan mampu memberi ketenangan.

Dengan pemandangan menerusi beranda setiap vila, tetamu dapat mengamati keindahan tempat peranginan ini.

Tetamu dijanjikan dengan kebebasan dan penghormatan dalam hak untuk bersendirian. Pada masa yang sama tetamu dimanjakan dengan pengalaman yang khusus dicipta untuk keseronokan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: