BROMMMM... Itulah bunyi deruman ganas Gunung Bromo apabila penulis bersama teman-teman menghampiri kawah gunung berapi itu yang pernah menghamburkan isi perutnya pada November lepas ekoran sudah tiba saatnya menjadi aktif seperti ‘saudaranya’ Gunung Merapi di Yogyakarta, Indonesia.
Kesempatan menjenguk kepala melihat kawah Bromo yang masih mengeluarkan asap putih dan diiringi deruman ganasnya sudah pasti menjadi pengalaman yang begitu bermakna kerana ia tidak akan diperolehi di negara sendiri.
Kepenatan mendaki puncak gunung berapi setinggi 2,329 meter itu tiba-tiba hilang apabila berada di lereng kawah Bromo melihat pemandangan padang pasir hitam serta lereng pergunungan hijau.
Tersentak seketika melihat keindahan alam yang diciptakan Tuhan sebagai peringatan kepada umat manusia. Namun jauh di sudut hati, janganlah di saat kami sedang berehat di lereng kawah, gunung berapi itu tiba-tiba kembali memuntahkan isi perutnya.
Lawatan ke Bromo ini termasuk dalam kembara percutian lima hari penulis dan teman-teman ke Pulau Jawa merangkumi Yogyakarta, Solo, Tawangmangu sehingga ke Malang.
Perjalanan ke Bromo
Sebelum mendaki ke puncak kawah Bromo, penulis terlebih dahulu menikmati keindahannya secara jauh di kawasan tinjauan, Gunung Penanjakan yang mempunyai ketinggian 2,770 meter.
Perjalanan perlu dimulakan seawal pukul 4 pagi untuk ke sana dari tempat penginapan (Hotel Yoshi) dengan menaiki jip sambil mengharungi cuaca sejuk sekitar 0 darjah celsius.
Dalam perjalanan sejauh tujuh kilometer ke Gunung Penanjakan itu, kelihatan beberapa jip dan kuda dinaiki pelancong membelah kegelapan subuh yang diselaputi kabus kerana tidak mahu melepaskan pemandangan indah Bromo di waktu pagi.
Setibanya di sana, penulis dan teman-teman perlu mendaki pula ke kawasan tinjauan kerana jip tidak dapat sampai ke situ kerana laluan yang semakin mengecil dan curam. Walaupun begitu, para pelancong boleh memilih untuk menaiki kuda untuk ke atas.
Setelah cahaya matahari menerangi kawasan puncak tinjauan, kelihatan para pengunjung yang berada di kawasan tinjauan terpukau dengan keindahan Bromo di waktu pagi. Semuanya tidak mahu melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kenangan berlatar belakangkan Bromo
Setelah hampir sejam berada di puncak Penajakan, perjalanan perlu diteruskan untuk ke puncak kawah Bromo yang ada di depan mata bagi menyaksikan sendiri kawah bagaimana asap putih tebal keluar dari perut bumi.
Menaiki kuda melepaskan kepenatan
Setibanya di destinasi tersebut, penulis melihat ramai pelancong mengambil kesempatan untuk menaiki kuda ke puncak kawah Bromo merentasi kawasan padang pasir hitam akibat keletihan semasa mendaki Puncak Penanjakan.
Ini kerana tenaga masih perlu dikerah untuk mengharungi kawasan padang pasir hitam dan mendaki anak tangga yang sudah ditenggalami debu volkanik untuk sampai ke puncak kawah gunung berapi tersebut.
Biarpun begitu penulis dan teman-teman tidak menyerah kalah dengan pelawaan para penjaga kuda kerana mahu menikmati sendiri berjalan kaki di kawasan padang pasir hitam menuju ke puncak kawah Bromo.
Setelah mengharungi hampir 45 minit perjalanan akhirnya kami berjaya sampai ke puncak Bromo dan berasa amat puas apabila melihat sendiri bagaimana asap putih tebal keluar daripada kawah tersebut yang menjanjikan pemandangan menakjubkan apabila dilihat daripada jauh.
Memandangkan matahari kian tegak di atas kelapa dan setelah hampir 40 minit berada di lereng kawah tersebut kami mengambil keputusan untuk turun. Kali ini, khidmat kuda terpaksa digunakan kerana keringat yang ada perlu disimpan untuk menjelajah Padang Savanna bersebelahan dengan Bromo nanti.
Setibanya di tempat letak jip, kami mendapati baju, seluar dan kasut terlekat sisa-sisa pasir dan debu volkanik Bromo. Jip kami yang kami sewa terus memecut laju sambil menerbangkan debu Bromo untuk ke destinasi seterusnya.
Padang Savanna
Selepas mengharungi kawasan padang pasir hitam tandus tanpa sebarang tumbuhan-tumbuhan, kini kami berada pula kawasan lembah yang dipenuhi padang rumput hijau yang amat memukau pandangan mata.
Penulis tidak mensia-siakan kesempatan untuk meneroka kawasan lembah hijau yang termasuk dalam wilayah Taman Nasional Bromo-Tengger-Semeru itu.
Suasana kehijauan dan sapaan angin bayu di kawasan lembah tersebut benar-benar begitu mempesonakan, ternyata tidak rugi menempuh perjalanan yang begitu memenatkan apabila tiba di situ.
Ketika menaiki jip merentasi kawasan lembah hijau itu, penulis sempat menoleh ke belakang melihat pemandangan padang pasir hitam yang semakin lama semakin jauh ditinggalkan.
Memang hebat kekuasaan Tuhan, sebelah kawasan padang pasir hitam yang tandus wujud pula sebuah lembah hijau yang subur.
Pemandu jip membawa penulis dan teman-teman ke kawasan tanah tinggi bagi membolehkan kawasan Padang Savanna dapat dilihat dengan lebih jelas.
Gunung Bromo
Gunung Bromo merupakan gunung berapi yang masih aktif dan paling terkenal sebagai destinasi pelancongan di Jawa Timur. Statusnya yang aktif itu menjadi daya tarikan kepada para pelancong dari seluruh dunia untuk melihatnya secara lebih dekat.
Gunung Bromo mempunyai ketinggian 2,329 meter di atas permukaan laut itu berada dalam empat wilayah, iaitu Probolinggo, Pasuruan, Lumajang, dan Malang.
Bentuk fizikal Gunung Bromo bertautan antara lembah dan ngarai dengan kaldera atau lautan pasir seluas sekitar 10 kilometer persegi. Kawasan ini termasuk dalam wilayah Taman Nasional Bromo-Tengger-Semeru.
Gunung Bromo mempunyai sebuah kawah dengan garis tengah 800 meter (di utara-selatan) dan 600 meter (di timur-barat). Kawasan bahayanya pula berada di lingkaran jejari 4 kilometer dari pusat kawah Bromo itu.
Bromo menjadi kawasan suci penganut Hindu Tengger yang mengikut sejarahnya, mereka lari ke kawasan pergunungan semasa empayar Majapahit berpecah kesan penyebaran Islam di rantau Nusantara pada abad ke-16.
Debu volkanik Bromo jadi rezeki.
Jangan terkejut apabila melihat perbatasan kawasan pertanian di lereng pergunungan berhampiran dengan Gunung Bromo berwarna hitam semuanya. Keadaan itu berlaku disebabkan para penduduk menggunakan debu volkanik Bromo untuk tujuan pertanian.
Biarpun Gunung Bromo dilihat ganas tetapi ia sebenarnya melimpahkan rezeki kepada penduduk sekitar, lihat saja bagaimana debu volkaniknya membantu menyuburkan tanah pertanian yang mengembalikan hasil tanaman terbaik.
Selain itu, penduduk kawasan berhampiran menerima tempias rezeki daripada kunjungan para pelancong yang mahu melihat Bromo dengan lebih dekat lagi. Jelaslah bahawa manusia tidak dapat menolak begitu agungnya alam ciptaan Tuhan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: