Saturday, May 14, 2011

Versi Jazz terbaru lebih menyerlah


JAZZ sudah terjual sebanyak 3.7 juta unit di seluruh dunia.


HONDA Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) baru-baru ini mengumumkan kemasukan versi terbaru model Jazz ke dalam pasaran tempatan. Model generasi kedua itu menerima beberapa penambahbaikan berbanding model sebelumnya.

Rekabentuk kini lebih sporty, di samping peningkatan aspek keselamatan dan utiliti. Jentera itu turut didatangkan dengan ciri Vehicle Stability Assist (VSA). Sistem tersebut berperanan meningkatkan keselamatan dengan menstabilkan kenderaan sewaktu mengambil selekoh dan mengelakkan daripada tergelincir.

Mula diperkenalkan di pasaran global pada tahun 2001, model Jazz dikenali sebagai Honda Fit di Jepun, China dan Amerika Syarikat. Jumlah jualan generasi pertama dan kedua Honda Jazz sudah melebihi 3.7 juta unit di seluruh dunia.

Model tersebut dikatakan menjadi perintis dalam segmen tersendiri apabila membuka pasaran kenderaan kompak hatchback lima pintu di Asia dan Ocenia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno memberitahu model Jazz menjadi pilihan mereka yang mahukan kombinasi gaya dan pemanduan menyeronokkan. Pada masa sama tidak mengabaikan soal keselesaan, ruang dan prestasi sebuah kenderaan kompak.


LAMPU belakang yang kemas dan praktikal.


"Model Jazz akan memberikan lebih banyak nilai kepada peminat-peminat Honda menerusi semua penambahbaikan baru ini. Harganya juga kekal iaitu RM109,800 (di atas jalan dan insurans)," katanya.

Jazz dilengkapi dengan enjin bersesaran 1.5 liter i-VTEC. Dipadankan bersama transmisi automatik lima kelajuan, ia menawarkan pemanduan dan prestasi cemerlang selain penggunaan bahan bakar yang efisien. Enjin tersebut berupaya menjana kuasa sehingga 120 PS. Jazz juga menepati piawaian emisi Euro 4.

Menyentuh aspek keselamatan, Jazz menggunakan teknologi G-CON pada struktur badannya. Fungsi ini membolehkan impak pelanggaran disebarkan untuk mengurangkan impak ke dalam kabin. Ia mampu mengurangkan kecederaan pada pemandu, penumpang dan pejalan kaki.

Jazz dilengkapi dua beg udara SRS, sistem ABS, tali pinggang keledar tiga pin untuk penumpang tengah barisan belakang dan perehat kepala untuk semua penumpang. Perehat kepala berfungsi menyerap hentakan dan memberi pelindungan kepada kepala dan tengkuk penumpang jika berlaku kemalangan.

Jazz memiliki rekaan baru yang aerodinamik, sekali gus menyerlahkan gaya penampilan dan imej sporty menerusi bampar hadapan, belakang serta gril radiator baru.

Model itu memiliki lampu hadapan yang menonjol dengan lilitan warna perak di sekelilingnya. Sistem pencahayaan Jazz juga diberi kelainan melalui lampu kabus dan kombinasi lampu belakang yang lebih menyerlah.


JAZZ dilengkapi dengan sistem VSA untuk kestabilan pemanduan yang lebih mantap.


Rekaan bahagian dalaman membabitkan skema warna baru iaitu biru hitam pada bahagian tempat duduk serta panel pintunya. Meter kelajuan dan paparan audio diserikan dengan lampu latar berwarna oren.

Honda turut melakukan beberapa penambahbaikan hasil maklum balas yang diterima daripada pelanggannya. Antara aspek yang diberi perhatian ialah tombol kunci dalaman dengan penyerlah warna oren, bunyi ketika membuka penutup tangki dan penanda warna oren pada butang kawalan pendingin hawa.

Empat warna tersedia untuk pilihan anda iaitu perak, hitam, putih dan oren. Maklumat lanjut, sila hubungi talian bebas tol Honda 1-800-88-2020 atau layari laman sesawang www.honda.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: