Saturday, May 14, 2011

Fenomena disko kasut roda




KASUT roda disko bukanlah perkara baru di Malaysia. Tempat rekreasi seumpama itu pernah bertapak di beberapa negeri seperti Melaka, Johor dan Kuala Lumpur. Namun, jangka hayatnya tidak pernah lama kerana tidak mampu menangkap minat masyarakat.

Tanggapan negatif terhadap kasut roda disko sebagai pusat hiburan semata-mata sedikit sebanyak mencalarkan imej tempat tersebut yang sebenarnya bertujuan menggalakkan anak-anak muda melibatkan diri dengan aktiviti sihat.

Bermain kasut roda merupakan satu bentuk riadah namun, pendekatan yang diaplikasikan The Wheels mungkin tampak berbeza dan agak sukar diasimilasisecara drastik memandangkan terdapatnya sekatan budaya di Malaysia yang melihat tempat seperti itu penyumbang kepada masalah sosial.

Bagaimanapun itu merupakan kisah lama kerana hari ini masyarakat Malaysia terutama golongan remaja semakin berfikiran moden. Kasut roda disko kembali menambat hati mereka sebagai satu tempat bersantai bersama teman dan seisi keluarga.

The Wheels di Subang Avenue, Selangor mungkin masih baharu dalam kalangan penduduk Lembah Klang malah, ada yang tidak pernah mengetahui akan kewujudannya. Memulakan operasi awal Januari lalu, The Wheels merupakan kasut roda disko terbesar pernah dibina di Malaysia.

Dengan keluasan 1,486 meter persegi (16,000 kaki persegi), ruang buat pengunjung meluncur dengan kasut roda mereka sememangnya luas dan membuatkan pergerakan lebih lancar tanpa perlu bersesak-sesak.

Pemilik The Wheels, Thomas Ang memberitahu pusat hiburan yang juga bertindak sebagai tempat rekreasi itu hanya mengambil masa dua bulan untuk disiapkan.

“Walaupun baru sahaja beroperasi tetapi, sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Setakat ini purata kunjungan setiap bulan mencecah 5,000 orang dan saya menyasarkan untuk menerima kunjungan antara 15,000 hingga 30,000 orang pada masa akan datang,” jelasnya yang telah mempunyai pengalaman selama 25 tahun menguruskan perniagaan kasut roda disko.

Meskipun kesemua pusat kasut roda disko yang pernah dibuka Thomas sebelum ini telah ditutup namun, dia tidak pernah berputus asa dalam perniagaan tersebut malah, yakin The Wheels mampu untuk bertahan.

Platform bakat muda


THE WHEELS menjadi gelanggang anak muda mengasah bakat dalam sukan kasut roda.


Memasuki ruangan meluncur The Wheels mewujudkan kelapangan dan keterujaan luar biasa. Melihatkan aksi-aksi anak-anak muda meluncur dengan kasut roda mengikut rentak muzik yang diputarkan membuatkan penulis ingin turut serta bersama mereka.

Ada juga di antara mereka mempamerkan skil dan kehebatan masing-masing yang secara tidak langsung memberi perspektif positif terhadap The Wheels.

Sewajarnya pusat hiburan dan rekreasi seperti The Wheels dibina kerana ia dapat berfungsi sebagai medan latihan buat mereka yang mempunyai minat dan bakat dalam sukan kasut roda.

Jika kebanyakan pusat hiburan lain menyediakan bilik khas buat pengunjung yang ingin merokok, The Wheels menolak strategi itu dan memilih untuk menyediakan bilik telefon.

Menurut Thomas, sebagai pusat hiburan berasaskan rekreasi, tidak wajar baginya membuat ruangan merokok kerana aktiviti itu hanya menyumbang kepada masalah kesihatan.

Lampu-lampu pelbagai warna melimpahi segenap ruang kawasan itu nyata menghidupkan suasana menjadi lebih ceria menambahkan keseronokan pengunjung.

Di satu sudut pula kelihatan seorang deejay (DJ) begitu asyik memutarkan pelbagai jenis rentak muzik yang adakalanya merupakan permintaan daripada pengunjung sendiri.

Sajid Jahangir, DJ tetap The Wheels menjelaskan kebanyakan muzik yang dimainkan di situ tidak terhad kepada genre tertentu sahaja malah, dia mempunyai hampir kesemua jenis muzik.

“Tidak semua lagu di sini berbahasa Inggeris, ada ketika saya akan memainkan lagu Melayu dan lagu-lagu bahasa lain seperti Arab, Tamil dan Mandarin. Pengunjung juga sering membuat permintaan lagu kegemaran mereka dan saya pasti akan menunaikannya,” kata DJ berusia 26 tahun itu.

Beli kasut roda


DJ Sajid Jahangir turut memutarkan lagu permintaan pengunjung.


Kasut roda yang disediakan di The Wheels pula didatangkan dalam dua jenis bagi memberi kebebasan kepada pengunjung membuat pilihan jenis kasut roda yang bersesuaian dengan mereka.

Bagi mereka yang menggemari kasut roda yang mempunyai empat roda bolehlah memilih roller skate, sementara mereka yang lebih selesa dengan kasut roda inline disarankan menggunakan roller blade.

Menariknya, pengunjung yang berminat dengan kasut roda di The Wheels turut berpeluang memiliki kasut roda tersebut pada harga berpatutan.

Menurut Thomas, kesemua kasut roda The Wheels ditempah khas dari Taiwan dan mampu bertahan selama lima tahun bagi tujuan perniagaan dan 10 tahun untuk kegunaan peribadi.

“Pengunjung boleh memilih untuk membeli sama ada kasut roda jenis biasa yang berharga RM250 ataupun kasut roda berkualiti tinggi pada harga RM350.

“Jadi pada masa akan datang apabila mereka mengunjungi The Wheels mereka boleh memakai kasut roda sendiri,” ujarnya.

Monopoli perempuan

Tidak menolak majoriti pengunjung The Wheels merupakan golongan remaja terutama pelajar dari kolej-kolej berdekatan, ahli perniagaan dari Singapura itu menjelaskan golongan perempuan mendominasi pengunjung di situ.

Thomas menyatakan ia mungkin disebabkan sifat semula jadi golongan tersebut yang menggemari bentuk rekreasi santai seperti itu.

Seorang pengunjung yang ditemui, Rozita Mat Som merupakan antara pengunjung yang kerap meluangkan masa di The Wheels.

“Saya suka dengan suasana di sini. Daripada pergi kelab malam lebih baik pergi tempat seperti ini kerana ia merupakan aktiviti berfaedah,” katanya yang berasal dari Selangor.

Sementara itu seorang lagi pengunjung, Rahaiza Ab. Halim memberitahu, ini merupakan kunjungannya yang pertama di The Wheels.

Wanita berusia 27 tahun itu juga tidak segan menyatakan bahawa dia tidak pernah bermain kasut roda dan menjadikan The Wheels sebagai tempat untuk belajar.

“Selain dapat mengeluarkan peluh, muzik yang dimainkan di sini memang membuatkan pengunjung tidak berasa jemu untuk terus bermain,” ujarnya.

1 comment:

  1. berapa harga sepasang kasut beroda tu..bagi tau dari harga paling murah hingga ke harga tidak lebih RM250. Kalau nak beli di Sabah kat mana ya. Tolong bagi tahu ya. boleh emailkan kepada saya melalui : abdulsamat64@yahoo.com.my TQ

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: