Thursday, May 26, 2011

Tabung prihatin mangsa tanah runtuh sasar RM1 juta


AHMAD ZAHID (kanan) memasukkan sumbangan derma ke dalam Tabung Prihatin Mangsa Tanah Runtuh Hulu Langat yang dibawa oleh Ikon Belia Negara, Suhail Mohd. Kamaruddin (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Ahmad Shabery (dua dari kanan) di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Derma sekurang-kurangnya RM1 seorang.

Itu harapan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mengumpul derma sekurang-kurangnya RM1 juta bagi Tabung Prihatin Mangsa Tanah Runtuh Hulu Langat sempena sambutan Hari Belia Negara 2011: Himpunan Sejuta Belia yang akan berlangsung selama tiga hari di sini bermula esok.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, tabung prihatin itu diharapkan dapat membantu keluarga mangsa dalam kalangan penghuni Rumah Anak Yatim Al-Taqwa, Hulu Langat yang terlibat dengan bencana tanah runtuh pada Sabtu lalu.

Menurutnya, pihaknya positif dapat mengumpul derma sekurang-kurangnya RM1 juta sebelum majlis penutup perhimpunan itu pada Ahad depan memandangkan (KBS) telah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM13,000 sebaik tabung itu dilancarkan semalam.

Malah, kata beliau, pihaknya percaya orang ramai yang hadir terutamanya golongan belia yang prihatin dapat menghulungkan sumbangan sekurang-kurangnya RM1 seorang.

"Jika seorang bagi RM1 kita akan dapat RM1 juta, atau 50 sen pun kita dah dapat RM500,000, kalau 10 sen pun kita akan dapat RM100,000," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan tabung tersebut di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: