Sunday, May 22, 2011

Suntikan telur ayam


MARTYN dilahirkan selepas ibunya menjalani rawatan intolipid dengan menyuntik kuning telur ayam bagi membunuh sel yang mengancam kesuburan telur.


LEANE BLACKWELL, 38, hampir berputus asa apabila usahanya untuk hamil selama ini tidak mendatangkan hasil.

Dalam tempoh lapan tahun itu, pelbagai usaha telah dilakukan bersama suaminya, seorang tukang paip, Andy, 48, termasuk menjalani prosedur persenyawaan in-vitro (IVF) bernilai £15,000 (RM73,500) pada tahun 2003 namun gagal.

Bagaimanapun, pada tahun 2010, seorang pakar dari Care Fertility Nottingham, Dr. George Ndukwe, mendapati pasangan terbabit mempunyai sistem imun yang tidak sepadan.

Sistem imun Leanne yang terlalu aktif dikatakan telah menghasilkan sel-sel yang berupaya membunuh telur sebelum ia sepatutnya matang.

Ndukwe menyarankan Leanne supaya merendahkan sistem imun tubuhnya melalui suntikan protein yang diambil daripada telur ayam.

Dia juga telah diberi solusi intralapid yang merupakan kombinasi antara ekstrak telur dan minyak soya yang disalurkan melalui drip sebelum disenyawakan dengan telur pasangan yang menetap di Lincolnshire, England ini.

Kajian menunjukkan kandungan asid lemak yang terdapat dalam telur ayam dapat mengurangkan jumlah sel yang membunuh sistem imun.

Akhirnya, pada Mei 2010, Leanne mendapati dirinya hamil dan pada Februari lalu, dia selamat melahirkan seorang bayi lelaki seberat 2.7 kilogram yang diberi nama Martyn.

Leanne yang merupakan seorang tenaga pengajar di sebuah akedemi memandu berkata, mendukung Martyn selepas kelahirannya adalah perkara yang sangat menakjubkan.

"Kami menunggu sangat lama untuk meraikan momen indah ini. Saya akan menghargai anak ini kerana sebelum ini saya sering sedih dan kecewa apabila dikatakan tidak mampu melahirkan zuriat," katanya yang mengelak untuk pergi ke tempat umum selama beberapa tahun gara-gara tidak mahu terserempak dengan wanita hamil.

Positif


SEBELUM ini, pasangan ini pernah menjalani dua rawatan IVF, namun Leanne tidak berjaya hamil. Kini hidup mereka sempurna dengan kehadiran Martyn.


Selepas menjalani pemeriksaan kesuburan dan mendapatkan bahan bacaan berkaitan sistem imun dan kehamilan, Leanne memohon untuk menjalani ujian imunolgi.

Hasil ujian yang dilakukan di The Chicago Test mendapati tubuh Leanne memiliki sejumlah besar sel pembunuh yang mengancam kesuburan embrio.

Bercerita tentang usaha untuk hamil, pasangan ini telah menjalani percubaan IVF sebanyak dua kali namun gagal. Enggan beralah, Leanne dan suaminya mencuba pula mengambil makanan tambahan.

"Kami memang berusaha bersungguh-sungguh dan setiap kali mencuba, saya dan Andy berharap ia akan berhasil.

"Kami juga ada berbincang untuk mengambil anak angkat. Namun, itu tidak akan menyekat usaha kami untuk memiliki anak sendiri," katanya.

Selepas menjalani satu sesi intralipid, saya menunggu dua minggu sebelum boleh menjalani ujian kehamilan.

"Pada hari ke-14, saya sangat teruja untuk menjalankan sendiri ujian kehamilan. Saya bangun seawal pukul 5 pagi untuk lihat sendiri keputusan itu.

"Selepas lapan tahun mencuba dan menunggu, saya macam tidak percaya percubaan kami kali ini berhasil. Saya menangis kesyukuran di dalam tandas," katanya.

Sementara itu, menurut Pengarah Perubatan Kumpulan Care Fertility, Simon Thornton, mereka percaya rawatan kesuburan penting bagi wanita dan keluarga kerana ia dapat mengesan ketidaksuburan sama ada dalam kalangan wanita ataupun lelaki.

"Rawatan ini tidak mahal dan mudah untuk dijalani," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: