Sunday, May 22, 2011

'Harimau bintang' wanita berpurdah


HEZLIN begitu mengagumi corak-corak pada badan kucing Bengal.


DI sebalik jendela cermin dari ruang tamu rumahnya, wanita berpenampilan serba hitam itu mengintai telatah ‘anak-anaknya’ yang liar tetapi manja di dalam sebuah binaan kaca di luar rumah.

Meskipun dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), sepasang matanya masih mahu terus melirik ke dalam rumah kaca itu untuk melihat keadaan 50 ekor kucing Bengal yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

“Rumah kaca itu membolehkan saya memantau semua kucing saya dari dalam rumah. Walaupun selalu masuk ke dalam rumah kaca itu untuk ‘bersembang’ dengan kucing-kucing itu lebih-lebih lagi selepas Subuh dan sebelum tidur malam, saya masih nak jenguk dari dalam rumah sepanjang hari,” kata wanita itu, Hezlin Fazrina Abdul Hadi Nor. Ada tawa yang terdengar di sebalik purdah yang menutupi wajahnya.

Haiwan eksotik yang dipelihara Hezlin itu jarang-jarang kita dengar di negara ini. Rupa kucing itu mirip harimau bintang. Kalau tidak diberitahu yang ia kucing Bengal, pasti ada yang menyangka ia anak harimau bintang.

“Saya suka harimau. Nak bela harimau tidak boleh, jadi saya belalah benda yang menyerupai harimau tapi manja. Tiada apa yang perlu ditakutkan, kucing takkan jadi harimau!” ujarnya bernada jenaka ketika ditemui Jurnal di kediamannya di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Hezlin, 30-an, yang senang digelar Ummu Kittun (ibu kucing) itu memelihara kucing Bengal sejak enam tahun lalu. Dia bermula dengan membela tiga pasang kucing Bengal yang dibeli dari Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan Britain. Kini, dia juga merupakan pembiak (breeder) kucing Bengal.

Menurut wanita yang berasal dari Kuantan, Pahang ini, kucing Bengal ialah kacukan antara kucing hutan atau Asian Leopard Cat (ALC) dengan kucing domestik (di luar negara) dan ada antaranya telah mencapai lima generasi.

Kucing hutan


SEBANYAK 50 ekor kucing Bengal ditempatkan di sebuah rumah kaca di luar kediaman Hezlin di Kota Bharu, Kelantan.


Katanya, kucing hutan atau ALC adalah hidupan liar yang dilindungi dan memeliharanya memerlukan permit. Namun, kucing Bengal sama seperti memelihara kucing yang lain.

Hezlin merupakan pemilik kucing yang berdaftar dengan Pertubuhan Kucing Antarabangsa (TICA).

Setiap minggu, dia akan memastikan kesihatan kucingnya diselia oleh doktor haiwan, Dr. Palanisamy Karuppanan bersama pegawai Jabatan Haiwan Negeri Kelantan.

Bagi penggemar kucing di negara ini, pasti tidak asing dengan Hezlin yang kerapkali menyertai pertandingan kucing. Pada April tahun lalu, salah seekor kucing Hezlin memenangi Grand Champion dalam satu pertandingan kucing antarabangsa di Kuala Lumpur.

Terbaru, Disember lalu, Birzaun Warrior, seekor kucing jantan yang dibeli di Florida, AS menjadi johan bagi kategori kucing berbulu pendek dalam Pertandingan Kucing Antarabangsa, juga di Kuala Lumpur.

Kata wanita yang sudah berumah tangga itu, dia meminati kucing Bengal disebabkan corak-corak yang ada pada badan haiwan itu selain mudah diurus kerana bulunya pendek.

“Saya suka tengok coraknya yang bulat-bulat. Saya suka yang bentuk donat iaitu Donut rosetted.

“Kalau ada anak kucing nak lahir, saya tak sabar nak tengok coraknya dan biasanya coraknya akan dapat dilihat dengan jelas pada usia enam bulan,” katanya yang tidak boleh tidur malam kalau ada kucingnya yang hendak beranak.

Hezlin yang merupakan peniaga kain secara dalam talian mengakui, dia lebih pentingkan kucing-kucingnya daripada dirinya sendiri.

Banyak wang dilaburkan untuk kucing-kucing itu tapi dia memilih untuk merahsiakan angkanya.

Rumah kaca yang dinamakan Kittunkatz Bengals Cattery itu memang syurga haiwan itu.

Ia lengkap dengan sistem pendingin hawa lima kuasa kuda, kipas serta sistem pencahayaan. Makanan kucing dipastikan yang terbaik. Dia juga mengupah seorang pembantu Indonesia yang kerjanya hanya menjaga kucing-kucingnya.

Setiap hari, seluruh rumah kaca itu akan dibasuh dengan detergen untuk mengelak kuman. Tanggungjawab membelek, memandikan, potong kuku dan lap telinga kesemua kucingnya sudah menjadi rutin Hezlin.


HEZLIN menunjukkan buku rekod kesihatan kucing-kucingnya.


Setiap minggu cermin akan dilap. Hezlin juga akan memastikan dia, suami dan anak-anaknya mengenakan cecair nyahkuman sebelum menyentuh kucing. Dia menatang kucing bagai minyak yang penuh.

Ditanya apa yang hendak dilakukannya dengan kucing-kucing itu setelah ia semakin membesar, kata Hezlin, dia akan menjaganya sampai akhir hayat haiwan itu.

Tetapi dia tidak menolak untuk menjualnya jika menemui pembeli yang benar-benar diyakini mampu menjaga haiwan tersebut.

“Kalau saya nak jual, saya perlu pastikan ia diserahkan kepada tangan yang boleh menjaganya sebaik-baiknya. Saya tidak mahu baka kucing saya rosak.

“Saya juga ingin menegur masyarakat negara ini agar lebih menyayangi haiwan. Masyarakat di luar negara sentiasa memerhati tindak-tanduk kita.

“Saya juga berharap kerajaan sediakan perkhidmatan seperti pusat pemeriksaan kardiomiopati hipertrofi (HCM) untuk memastikan kucing kita mendapat rawatan yang berkualiti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: