Wednesday, May 25, 2011

Scotty, Lauren cipta rekod baru


SCOTTY McCreery sememangnya mempunyai peluang cerah untuk bergelar juara American Idol musim kesepuluh.


GELOMBANG baru telah melanda American Idol musim kesepuluh (AI10) apabila pilihan rakyat Amerika kali ini memberikan gambaran berbeza berbanding musim sebelum ini.

Buat pertama kalinya dalam sejarah AI apabila dua peserta yang terpilih ke peringkat akhir merupakan peserta paling muda sepanjang musim ini bersiaran.

Dua peserta bertuah itu, Scotty McCreery dan Lauren Alaina yang masing-masing berusia 17 dan 16 tahun ternyata mencipta rekod baru untuk program realiti paling popular di dunia ini.

Belum pernah dalam sejarah penganjuran AI, dua peserta akhir merupakan mereka yang berusia bawah 20 tahun.

Hanya Jordin Sparks sahaja yang pernah melakar kejayaan tersendiri apabila menjadi peserta paling muda dipilih juara AI pada usia 17 tahun.

Kemaraan Scotty dan Lauren ke pentas akhir itu sekali gus menghampakan harapan dan impian Haley Reinheart yang nampaknya akur dengan keputusan mutlak rakyat Amerika menerusi 95 juta undian yang diterima.

"Saya tidak kecewa mahupun marah hanya kerana gagal untuk menjadi dua peserta yang bertanding di peringkat akhir. Menjadi tiga peserta terbaik itu merupakan pencapaian terbaik buat saya.

"Setidak-tidaknya, saya dapat menunjukkan dan membuktikan bahawa dengan bakat yang ada dalam diri saya ini mampu membawa saya sejauh ini.

"Malah, saya sendiri sudah menjangkakan Scotty dan Lauren akan mara ke pentas akhir kerana mereka mempunyai penyokong serta peminat yang sangat ramai terutama golongan muda," kata Haley kepada pemberita sejurus selepas pengumuman penyingkirannya di Los Angeles, Amerika Syarikat, minggu lalu.

Diakui, Haley memiliki bakat tersendiri dan unik yang mampu membawanya pergi jauh sebagai seorang penyanyi profesional.

Atas alasan itu jugalah, ramai yang kecewa apabila peserta berusia 22 tahun itu gagal melangkah ke peringkat akhir kerana merasakan bakat Haley tidak dipandang sewajarnya.

Biar apa pun pertikaian yang dilakukan, hakikat sebenar yang harus diterima apabila tiada siapa yang dapat menghalang kuasa mengundi rakyat Amerika untuk memilih idola kesayangan mereka.

Sesungguhnya, corak pengundian musim kesepuluh ini memang cukup menarik untuk diperkatakan lebih-lebih lagi apabila AI kini sudah berupaya menarik dan 'mengunci' minat golongan muda.

Maka itu, tidak hairanlah apabila Scotty dan Lauren dirasakan dua calon paling layak untuk bergelar juara AI tahun ini.

Barangkali juga pemilihan Scotty dan Lauren ada kaitan dengan kecenderungan minat pencinta muzik di Amerika yang mahu menyaksikan bakat-bakat baru dilahirkan khususnya dalam genre country.

Perkara itu memang ada kebenarannya kerana juara AI musim keempat, Carrie Underwood sudah membuktikan kehebatannya sebagai salah seorang pelapis bintang country yang paling berjaya di Amerika.

Bukan itu sahaja, Carrie kini memegang rekod sebagai juara AI yang paling berjaya dari pelbagai aspek terutama penjualan ketiga-tiga albumnya yang melebihi 12 juta unit.

Tidak cukup dengan itu, penghibur yang cukup masyhur dengan lagu Cowboy Casanova dan Jesus, Take the Wheel itu juga kini memiliki lima trofi Grammy termasuk gelaran Vokal Wanita Country Terbaik untuk tiga tahun berturut-turut.

Kejayaan Carrie dijadikan sebagai contoh terbaik dan lantaran itu, rakyat Amerika merasakan sudah tiba masanya untuk seorang lagi bintang country dilahirkan sementelah genre itu diibaratkan sebagai muzik kebanggaan mereka.

Mungkin juga, peminat muzik dan pengikut setia AI melihat tiada lagi juara AI selepas Carrie yang berjaya mencatatkan kejayaan gemilang seperti Carrie.

Memang tidak mustahil untuk Scotty mahupun Lauren untuk mencipta nama sebagai seorang bintang mega kerana kedua-duanya memiliki bakat tersendiri.

Di antara Scotty dan Lauren, nampaknya pilihan majoriti ebih berpihak kepada Scotty yang dilihat lebih berupaya menarik perhatian peminat untuk terus mengundinya sebagai juara.

Scotty sememangnya seorang bintang yang lahir satu dalam sejuta kerana kualiti vokal yang dimilikinya itu amat jarang dimiliki oleh mana-mana penyanyi.

Sedari awal sejak muncul pada uji bakat yang diadakan di Milwaukee, Wisconsin, pemuda itu sudah berjaya menarik perhatian Randy Jackson, Jennifer Lopez dan Steven Tyler selaku juri AI.

Bukan hanya bakat semata-mata, tetapi Scotty memiliki faktor X apabila dia juga dikurniakan dengan paras rupa yang mampu menarik perhatian para pemujanya.

Trek rekod Scotty yang cukup bersih sepanjang sembilan minggu beraksi di pentas mingguan AI juga boleh menyumbang kepada kemenangannya.

Mana tidaknya. Sepanjang tempoh itu, Scotty langsung tidak pernah berada dalam mana-mana kedudukan tercorot dan ini meletakkan dirinya setanding dengan bekas juara AI yang lain termasuk Carrie, David Cook, Lee DeWyze, Jordin Sparks dan Kelly Clarkson.

Seandainya Scotty menjadi juara AI10, tidak mustahil kerjayanya akan berkembang maju dan dia mampu meletakkan dirinya sebagai salah seorang bintang ternama Hollywood dalam masa yang singkat.

Memang dari awal lagi, Scotty sudah tahu kemampuannya dan mencari hala tujunya dalam bidang muzik. Nyanyiannya penuh jiwa dan dia juga bijak mewarnakan karakternya mengikut emosi setiap lagu yang dinyanyikannya.

Bagaimana pula dengan Lauren? Mampukah dia dijulang sebagai juara untuk musim ini? Siapa tahu mungkin rezeki akan berpihak kepada gadis gebu ini.

Vokal Lauren memang cukup sesuai dan serasi dengan genre country. Ditambah pula dengan personalitinya yang manja itu pastinya memberikan kelebihan kepada Lauren untuk terus menjadi seorang bintang popular.

Namun, rekodnya tidak sebaik Scotty kerana Lauren pernah berada di kedudukan dua tercorot. Tetapi, tidak mustahil untuk peminatnya menebus kekecewaan itu dan gigih mengundinya untuk bergelar juara.

Dalam aspek lain pula, AI pastinya tidak mahu mencipta seorang lagi Carrie Underwood dan atas alasan itu, Lauren perlu dibimbing untuk mencari hala tuju yang sesuai untuk menjadi seorang bintang.

Tidak kisah siapa pun akan menang nanti, realitinya, perjalanan Scotty dan Lauren masih jauh walaupun masing-masing sudah pun menempah tiket untuk menjadi seorang superstar masa depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: